Kisah Kembara Mencari Cinta.

Mengembara harus semacam itu. Kalau ia mengajar kita, maka kita harus bersedia. Ada yang tidak akan kita gadai, mudah-mudahan; ada yang harus kita jual kerana dalam rantaunya seorang lelaki akan menjadi lebih lelaki. Seorang pengarang yang baik, saya kira, adalah seperti sebuah buku; setiap bab dalam hidupnya memberi cerita atau naratif baharu. Dalam hidup yang kian singkat ini seingat saya, selain membaca serta meneroka pelbagai kejutan dan harapan daripada mereka yang terdahulu; saya telah belajar menjadi manusia menerusi kembara. Ada dua jenis lelaki pengembara. Set pertama, Ibnu Batuttah dan Marco Polo. Set kedua, Salman al Farisi (saya memikirkan nama kedua untuk digandingkan dengan sahabat Nabi Muhammad ini tetapi saya tidak berjumpa). Yang pertama mempelajari bentuk muka bumi, merakami budaya negeri dan menjadi pemerhati. Yang kedua mempelajari pemikiran, jasad dan jiwa; seluruh hidupnya turut berkelana, kadang tercabar berhijrah merubah masa lampaunya. Kembaranya adalah ‘divina’ kerana ia atas titah langit, gerak hati yang membawanya kepada kebaikan dan kesempurnaan.



Saya tidak mengingat berapa ceruk, penjuru, bucu, atau solok yang telah saya jejaki dengan telapak ini. Ada banyak sepatu telah berganti; ada yang koyak, ada yang mengenakannya melecet di tumit kaki, ada yang tali untuk mengikatnya sudah bersepahan, ada yang melewati selera zaman malah ada juga yang hilang diambil orang. Akan tetapi sepatu tidak menjadi saksi untuk kembara saya. Tidak juga pada buku kemerah-merahan yang pihak berkuasa namai pasport. Kita tidak memerlukan buku rasmi untuk mengenal dunia, dan kemudian manusia yang mewakilinya.

Bertemu recep di bumi Turki.

Ada sebuah kampung kecil yang tentu hulu kerana untuk tiba kepadanya saya harus menaiki bas selama lapan jam, berpindah menaiki sebuah van selama tiga jam, berpindah pula ke dalam geladak lori kira-kira satu jam, masuk ke dalam perut traktor dan bermotor mengharung lecak sebelum kemudiannya berjalan. Entah mengapa saya menyusahkan diri memanjat sebuah kampung yang tidak ada elektrik dan bekalan air. Saya tidak pernah sampai ke Bakun di Sarawak, tetapi saya sudah menimba harga diri di Cide, Turki. Dia adalah seorang remaja yang kacak, namanya Recep. Dia belajar bahasa Inggeris daripada saya. Saya pernah bermukim seketika di Sifa, Istanbul. Ada dua tahun agaknya di situ meladeni sejumlah remaja Turki. Mereka memanggil saya hoca. Satu penghormatan. Satu istilah yang bermaksud guru. Recep suka meniup ney, seruling sufi yang mengalun indah di asrama. Kadang ia menyanyi dengan suara lunak. Saat cuti panjang hampir tiba ia memujuk saya untuk mengikutnya ke kampung halaman. Terlebih dahulu dia memohon maaf, kerana katanya, kampung tersebut terlalu jauh, namun, berbaloi, kerana akan ada gunung-ganang yang berkopiah salju, dari puncaknya akan tampak Laut Hitam, lalu ia berlucu, jika hoca bernasib baik akan terlihat Rusia dari kejauhan. Saya mengambil risiko tersebut.



Bapa Recep sudah melebihi 70 tahun. Tetapi, mungkin kerana ia seorang peladang dan penternak, ia memang masih kuat. Kerana guru Recep yang berasal dari sebuah negeri yang kurang dikenalinya akan mampir, ibu Recep membasuh tangga rumah. Bapanya menyembelih ayam. Dan dia melayan saya dengan sungguh mesra. Keluarga ini pengamal tarekat. Saya terpesona, saat kami berkitar di ladang epal yang buah-buah manisnya masih bergantungan di dahan, bapa Recep memetik sebiji yang ada hijau dan ada pula tompok coklat perangnya. Selamba ia menggigit sedikit, kemudian mengunjukkan kepada Recep, tanpa memikir panjang sang anak menggigit pada bekas yang sama lalu menyuakan pula kepada saya; menyangka ia satu ritual kekampungan yang indah saya juga menggigit hingga ke empulur dan bijinya. Bapa Recep tersenyum puas kepada saya dan ia menuturkan ayat berbunyi, “Lihat hoca,sebiji epal ini telah ditulis di bawah arasy Tuhan dengan tiga nama. Ia adalah rezeki kita bertiga kerana ia tertulis begitu lama dahulu, sebelum kita ditiup ke dalam rahim ibu. Ia sudah termaktub, kerana itu hoca datang dari negeri jauh beribu batu untuk datang mendapatkannya. Makan, makanlah epal itu, ia akan menjadi bukti dan saksi silaturrahmi.” Di ladang itu saya rasa amat kerdil. Begitu menjadi seorang sufi rupanya, kecil dan merasa-rasa, lantas dalam ketar air mata saya menitik. Kalau saya pernah belajar menjadi seorang hoca, saya juga pernah belajar menjadi bangga selaku seorang Timur sejati.

Berkenalan dengan lelaki-lelaki Serbia…

Begini, saya pernah mengembara ke Belgium, sebuah kota kecil di tengah jantung Eropah. Resam pengembara di Eropah saya menyewa sebuah katil murah di dalam sebuah dorm sesak tatkala musim dingin sedang mengganas di luar. Di dalam kamar tersebut, di sisi saya, ada dua orang lelaki yang saya waspadai. Orangnya berbadan besar. Kemudiannya saya baru mendapat tahu mereka berasal dari Serbia. Saya memang tidak berani menegur kedua-duanya. Bukankah etnik Serbia pernah melakukan penghapusan berdarah ke atas etnik Bosnia yang beragama Islam beberapa tahun lalu? Tampaknya mereka juga tidak berani menegur saya entah kenapa. Menjeling pun tidak. Satu malam yang mana salji turun bertimpa-timpa, saya memilih untuk menghirup kopi panas di kafe hostel yang saya diami. Kerana kafe itu agak penuh, kedua-duanya tiada pilihan melainkan duduk menghadap saya pada dua buah kerusi yang kebetulan kosong. Di situ entah bagaimana mulanya, kami berkenalan. Seorang bernama Boris dan seorang bernama Bojan. Kedua-duanya berasa kagum kerana dapat mengenal seorang lelaki Asia.

Kata Boris, “Saya tidak berani menegurmu di kamar, kerana citra lelaki Asia dalam kotak fikiran saya ada pada Bruce Lee. Lelaki Asia rendah kecil tetapi boleh terbang melibaskan kaki!” Saya tertawa dan berjujur bahawa saya sendiri gerun memikirkan mereka di katil sisi kerana terkenangkan watak-watak agam dalam epic Tolkien, Lord of The Rings. Tidak semena-mena Bojan bertanya, mengerling ke arah cangkir kopi saya yang kian kosong, “Mahu minum bir?”

Saya cuma menggeleng. Boris menyahut, “Mengapa kau tidak minum bir? Kerana kau seorang Muslim?”

Saya angguk. Dan kedua-duanya berkerut. Selang beberapa jenak, Boris tersenyum lalu bersuara, “Tidak apa-apa. Kau adalah pengembara dengan kepercayaan dan budaya. Tidak kalah menjual pada setin bir. Tahukah engkau kawan, bir tidak melambangkan kemodenan atau nilai-nilai Barat yang mana jika seorang Asia ingin meraihnya haruslah meneguk atau mencicip air ini. Tidak sama sekali. Untuk kami, bir hanyalah peneman untuk berbual, tidak lebih dari itu.” Saya angguk dan kemudian berjanji, ya, kalau ditakdirkan Boris dan Bojan datang ke Kuala Lumpur nanti, saya akan membawa mereka ke kedai mamak dan minum teh tarik sampai pagi.



Cicak mainan, imam dan pengajaran kembara.

Beberapa tahun lalu saya suka mengembara ke Parsi. Di sebuah kota tidak jauh dari Tus dalam wilayah Khorasan, ada sebuah kota yang tiada kata-kata untuk menggambarkannya. Pemuda yang saya kenali itu namanya Ali. Dia melayani saya baik sekali. Dia membawa saya dengan kereta kecilnya ke makam Ferdaousi penyair dan pengarang Hikayat Shahnameh, dia membawa saya menikmati jamuan dan hidangan 1000 satu malam yang mengenyangkan sebelum memberi saya seekor cicak mainan sebagai tanda hati. Dia masih muda. Tetapi keikhlasannya amat berbekas dalam hati. Bagaimana kami berkenal? Dua hari sebelum tiba di Mashad, saya berada di Qom. Saya ingin sekali ke Mashad, tetapi saya tiada sesiapa di sana. Di Qom, setelah berdoa panjang supaya Tuhan dan Nabi memelihara saya, seorang lelaki memberikan saya nombor telefon Ali. Saya teragak-agak menelefon dan kurang mempercayai ada orang akan menerima seorang manusia asing sebelum mengenali.

Masih adakah manusia sebaik itu?

Tetapi, saat saya menjejak kaki di Mashad, Ali sudah menunggu dengan senyuman dan lekuk membelah dagu. Dia menjadikan saya abangnya meski saya tidak berkongsi satu ibu. Saya menjadi begitu terpesona lalu bertanya, “Mengapa kau melayan aku sebaik ini sedang kau tidak pun mengetahui apa yang aku lakukan dalam hidupku?”

Ali mengaku, “Engkau diutus Imam untukku menjagamu.”



Saya berkerut, “Imam? Siapa itu? Adakah ia penting?” Ali menjawab dengan hati penuh gelora, “Ia sangat penting. Kerana kata as-Sadiq, bumi tanpa sang Imam adalah bumi yang akan cair kerana ia berasa sia-sia wujud.”

Saya adalah pengembara set kedua. Saya ingin menjadi Ibnu Battutah, berfoto, merakam saat-saat peribadi, mengenal bermacam-macam di keliling, mengintimi teman; dan menulis sebuah atau mungkin lebih buku tentang kembara tersebut. Sebagai pengarang, semua itu amat menjanjikan. Akan tetapi saya juga mahu menjadi Salman al-Farisi, kalau pun tidak dapat banyak. Dalam kembaranya, Salman mencari. Dan dia redha lagi rela berpindah dan membuang seluruh hidupnya kalau ada keperluan. Di Madinah dia berhenti mengembara, melutut berteleku di hadapan Nabi kita lalu memberi seluruh hidupnya. Mengembara harus semacam itu. Kalau ia mengajar kita, maka kita harus bersedia. Ada yang tidak akan kita gadai, mudah-mudahan; ada yang harus kita jual kerana dalam rantaunya seorang lelaki akan menjadi lebih lelaki tatkala ia mengenal seluruh maruah manusia dan dunia yang menampungnya. Saya ingin seperti itu…

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen