Cinta Tepuk Sebelah Tangan

Oleh: Bella Bahrin

Aku tak tahulah kalau semua orang pernah ada one-side love tapi aku pernah dan ni kisah aku. Aku suka dekat seseorang ni. Aku suka dia dari umur kami 13 tahun lagi. Kecil-kecil lagi dah menggatal. Tapi, tulah perasaan aku. Bila ingat kembali kisah ni, aku rasa kelakar dengan diri sendiri.

Aku ni jenis yang kuat berangan dan selalu perasan nak jadi heroin macam dalam drama pukul 7. Tak pun jadi wanita melayu terakhir macam novel cinta yang aku baca. Gedik sangat perangai dulu. Aku suka sangat membaca dan buku bacaan aku memang tak lain buku novel cintan cintun lah. Setiap kali pergi perpustakaan, aku mesti pinjam novel cinta. Yelah, budak-budak baru nak up lah kata kan.

Nama budak yang aku suka tu, Aiman. Aiman ni biasa-biasa saja pada pandangan orang tapi pada aku dia berbeza sikit. Dia pendiam, bijak dan jenis tak suka bergaul sangat. Sebabkan sifat dia ni aku jadi semakin tertarik dengan Aiman. Mungkin aku akan terdengar seperti obses tapi masa tu aku sanggup buat apa saja untuk tarik perhatian Aiman.

Aku dan Aiman ni bukan saja satu kelas malah kami tinggal dalam kawasan perumahan yang sama. Dia ni umpama jiran jauh lah. So, aku selalu juga lalu rumah dia semata-mata nak tengok dia tengah buat apa. Mak ayah aku ni jenis tegas, so masa aku umur belasan tahun aku tak ada telefon dan intai-intai dekat rumah sajalah cara nak stalker.

Selain tu, aku punya tahap suka dengan Aiman ni, aku sanggup beli baju warna sama dengan dia masa hari raya walaupun family aku pakai warna sedondon. Aku tak kisah kalau warna aku berbeza dengan family aku yang penting warna sama dengan dia. Teruk sungguh tahap aku suka dekat dia. Tapi, walaupun aku ni memang suka sangat dekat si Aiman tu aku tetap tak ketepikan minat aku sendiri. Aku seorang yang aktif di sekolah dan juga troublemaker so, Aiman ni dia tahu lah perangai buruk aku. Lagi pun, Aiman ni rapat juga dengan aku dan sebenarnya dia tahu saja aku ni ada perasaan dekat dia. Yelah, aku pernah luahkan perasaan dekat dia depan kawan sekelas aku dan dia Cuma diam sebab dia rasa aku bergurau. Aku pernah tanya,

“Kau ada suka siapa-siapa, ke?”

“Tak ada. Lagi pun, aku datang sekolah nak belajar,” Jawabnya sambil baca buku.

Aku senyum meleret. Walaupun dia tak suka aku tapi masih ada harapan. Gitu ye semangat aku.

Aku tak pernah lepaskan peluang untuk satu kumpulan dengan dia. Kalau cikgu bahagikan group dan aku tak satu kumpulan dengan dia, aku akan mintalah dekat sesiapa dalam group tu untuk tukar dan pastinya aku kenalah bagi mereka ganjaran. Paling pun aku janjilah belanja milo ais ke, nasi lemak ke yang penting aku satu group dengan Aiman.

Masa aku tingkatan 2, kami dah jadi senior untuk sesi petang dan masa ni aku pula dah jadi ketua pengawas. Selain daripada berangan nak jadi heroin macam dalam drama, aku juga berangan nak jadi senior yang ditakuti ramai. Jalan paling sah sekali adalah kau kenalah ada jawatan dan itulah yang aku buat. Di sekolah tu, orang selalu panggil aku poyo tapi aku tak kisah sampailah, Aiman tu nasihat aku.

“Kau ni, tak baik jadi macam tu. Kita ada jawatan sebab baik bukan macam ni,” Ujarnya.

Aku terkejut juga bila dia kata macam tu sebab, yelah dia tu bukan jenis ambil kisah pun pasal aku. Dia cuma buat hal dia sendiri dan tak pernah nak ambil tahu hal orang lain. Sejak tu, aku dah berubah. Tak adalah berubah terus, cuma semakin lunturlah sikap tak baik aku tu. Aku boleh dengar nasihat tapi aku jarang nak terima dan perkara tu berbeza kalau orang yang cakap tu adalah Aiman.

Aku selalu fikir yang betul ke si Aiman ni langsung tak suka aku, sebab pernah satu hari tu ada seorang senior datang kelas aku bagi surat dan kebetulan Aiman pun ada dekat situ. Aku pelik juga kenapa tiba-tiba bagi surat. Aku ingatkan surat cuti sakit yelah, mana tahu nak suruh aku pass dekat cikgu ke walaupun aku tak tahu siapa guru kelas dia tapi rupanya surat cinta. Aku gelak juga masa dapat tu dan rasa gembira jugalah sebab ada juga orang suka dekat aku. Tapi, sejak tu Aiman jauh daripada aku. Aku terus tak happy dan bila aku cakap dengan dia… dia macam buat-buat tak dengar. Sampailah, aku dengan senior tu menjauh dan senior tu pun pindah sekolah. Barulah si Aiman tu nak bercakap dengan aku.

Bila kami dah naik menengah atas, Aiman dah bercinta dengan seseorang. Masa aku dapat tahu tu, kecewa lah juga dan aku ambil keputusan untuk pindah sekolah. Kawan-kawan aku ada juga tanya, kenapa aku pindah tapi aku kata ayah aku dapat kerja tempat lain. Walaupun sebenarnya tu alasan saja.

Sejak aku pindah, aku tak ambil tahu dah pasal Aiman sampailah sekarang. Aku cuma harap dia bahagia dengan hidup dia dan semoga dia sihat selalu. Aku rasa, aku dah jadi heroin dalam drama pukul 7 yang lari bila kecewa. Aku gurau.

Terima kasihlah sebab sudi baca cerita aku ni walaupun tak adalah menarik sangat. Terima kasih!

 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen