"Kenal 2 hari terus melamar..." - Adam Corrie imbau detik awal kenal isteri

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Hidup berumah tangga kadang kala memang akan ada turun naiknya namun bagaimana mengendalikan itulah yang akan membuatkan rumah tangga lebih bahagia dan kekal lama.

Mencecah usia perkahwinan ke 12 tahun, Adam Corrie meluahkan rasa bersyukur dapat menjalani hidup berumah tangga bersama isteri tercinta.


Bersempena ulang tahun kelahiran isterinya, beliau berkongsi detik perkenalan dengan isteri, Fazeema Fuad yang melamar isterinya selepas tiga hari berkenalan, malah tak sampai dua bulan mereka telah menjadi pasangan suami isteri.

Rahsia rumah tangga bahagia

Sering kali ditanya mengenai rahsia rumah tangga, Adam Corrie menjelaskan bahawa beliau tiada tips yang sebenar kerana merasakan rumah tangganya sama seperti orang lain yang masih dalam proses belajar mengenali pasangan.

Menerusi laman Facebooknya beliau menyatakan bahawa dalam rumah tangga ini perlu tahu rasa tanggungjawab, jangan marah pasangan terlalu lama serta segera meminta maaf jika melakukan kesalahan.

Berterus terang elak membanding

Katanya lagi, elakkan ungkit mengungkit serta lebih berterus terang dalam rumah tangga itu.

“Cakap jangan berkias-kias.. cakap terus terang, pendek tapi padat dan sampai maksudnya.”


Tambahnya lagi, jangan biarkan pasangan keseorangan dan selalu lakukan aktiviti bersama, tak lupa jangan ambil hati sangat dengan pasangan dan elakkan lakukan perbandingan.

“Elakkan bandingkan hidup kita dengan orang lain, elakkan bandingkan pasangan kita garang dengan pasangan orang lain romantik .. kita sedih, elakkan bandingkan orang lain ada anak, kita pula tak ada anak.. begitulah sebaliknya....”

Jaga solat, aurat

Menurutnya, kalau nak rumah tangga lebih berkat jangan tolak agama ke tepi. Malah sentiasa menjaga solat, tutup aurat dengan sempurna, tunai perintah Allah dan tinggalkan larangannya.

Jelasnya setiap orang ada lebih dan kurangnya namun bagaimana mencorakkan dan menceriakan hidup itu adalah diri sendiri.

“Terus bergantung kepadaNya. Jadikan rumah tangga jambatan kita semua ke syurga. InsyaAllah aamin allahumma aamin.” kongsinya.


Artikel Lain

Tinggalkan Komen