Jiranku Jodohku

Nama aku Aina, berusia 27 tahun. Aku merupakan anak tunggal dan memilih untuk hidup berseorangan. Maksud aku, aku tak terfikir lagi untuk berkeluarga tapi ibu selalu bertanya bila aku akan berkahwin kerana katanya dia tak sabar nak ada menantu. Aku sentiasa memberi alasan sibuk bekerja atau tidak bersedia kepada ibu, namun ibu masih bertanya akan hal yang sama.

Sejujurnya aku agak penat dengan situasi ni, tapi aku juga tak nak memaksa diri untuk mencari jodoh kerana aku belum bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Demi mengelakkan situasi tegang antara aku dan ibu, aku memilih untuk menyewa sebuah rumah pangsa berdekatan dengan tempat kerja. Ibu dan ayah membenarkan sahaja walaupun aku tahu ibu sebenarnya agak berat hati.

Yalah aku ni anak tunggal dan tak pernah lagi duduk berjauhan daripada mereka. Masa zaman belajar dulu pun, setiap hujung minggu aku wajib balik. Nasib baik aku belajar di negeri yang sama jadi tak ada masalah untuk aku ulang alik.

Seminggu kemudian aku berpindah masuk rumah sewa dan aku terserempak dengan seorang lelaki ni. Dia hanya memandang ku dengan pandangan kosong dan masuk ke rumahnya yang berada di sebelah rumah ku. Aku pun buat tak tahu sajalah, mungkin dia memang tak berminat nak ambil tahu tentang orang lain. Bagus juga dapat jiran macam ni, tak sibuk  jaga tepi kain orang. Rumah ni agak kecil tapi aku rasa sesuailah untuk aku yang tinggal seorang tak adalah penat sangat nak kemas.

Aku ingatkan nak berehat lepas kemas dan bersihkan rumah tapi tiba-tiba aku dengar jiran sebelah buka lagu volume full. Telinga aku rasa sakit sangat ditambah lagi dengan suara bising mereka. Macam karokae pun ada. Aku menutup telinga dengan bantal dengan harapan suara mereka tidak lagi kedengaran namun rupanya tak berhasil. Aku tak tahu nak buat apa lagi selain pergi ketuk pintu jiran sebelah supaya senyap sikit tapi dalam masa yang sama aku berasa segan juga. Aku orang baru dekat sini tapi suka hati nak tegur orang. Namun suara mereka memecahkan rasa segan aku.

 Aku pun mencapai tudung dan menekan loceng rumah jiran sebelah dengan harapan dia dengarlah bunyi loceng ni. Beberapa saat kemudian, seorang lelaki membuka pintu dan dia lelaki yang aku jumpa siang tadi.

“Awak, boleh perlahankan sikit tak volume tu?”

“Kenapa? Menganggu awak ke?”

Soalan dia membuatkan aku sedikit geram. Yalah, siapa yang tak rasa terganggu dengan bunyi bising ni?  Dan aku pun cakaplah yang aku terganggu dengan bunyi bising tu, lepas tu dia boleh tutup terus pintu tu. Aku tergamam sekejap dan masuk ke dalam rumah. Rasa macam nak marah dengan jiran sebelah ni, geram betul aku!

Selepas kejadian tersebut aku pantang bertemu dengan dia. Ada saja masalah yang timbul. Setiap kali aku nak pergi kerja, aku mesti terserempak dengan dia dan masa tu jugalah kami akan bergaduh .

Ada masanya aku malas ingin bertekak dengan jiran aku ni, tapi perangai annoying dia tu selalu membuatkan aku tak tahan. Kadang suka hati dia pergi tekan loceng rumah aku banyak kali, mula-mula aku ingatkan budak-budak sekali aku jengah rupanya dia. Namun, ada satu hal yang baik juga tentang dia. Setiap kali aku balik daripada kerja dan bertembung dengan dia, dia selalu tanya macam mana kerja aku hari ni. Aku malas nak layan tapi kalau dia dah tanya baik-baik, aku pun jawablah baik-baik tu pun sekejap. Lepas tu adalah ayat annoying dia muncul.

Suatu hari, aku keluar beli barang dan secara kebetulan aku terserempak dengan jiran aku. Pada awalnya aku abaikan saja kewujudan dia tapi tiba-tiba dia menegurku dan mengajakku untuk makan bersama. Aku pun setuju dengan ajakkan dia walaupun sebenarnya aku rasa agak janggal dengan ajakan tersebut. Kami pun berbual sementara menunggu makanan dan dia ingin bertanya tentang sesuatu kepada aku serta meminta aku memberikan jawapan yang jujur.

“Kalau ada orang ajak kau kahwin, kau nak tak?”

Tanpa berfikir panjang aku menjawab ya. Dia bertanya adakah jawapan aku serius atau sekadar jawapan dan aku mengatakan aku serius dengan jawapan aku. Dia hanya tersenyum dan perbualan tersebut tidak lagi bersambung. Sebelum kami pulang, dia meminta nombor telefon ku dan aku memberikan kerana aku mula rasakan bahawa aku selesa berteman dengannya walaupun dia sedikit annoying. Sejak pertemuan tersebut, kami semakin akrab dan kurang bertikam lidah. Dia juga semakin sibuk dengan kerjaya dan sering bekerja luar daerah.

Selang beberapa minggu, dia mengajak aku bertemu dengannya di sebuah restoran. Aku menerima ajakkan dengan hati yang terbuka, lagi pun kami sudah jarang bertemu kerana semakin sibuk. Entah kenapa, pertemuan kali ni aku rasa berdebar mungkin kerana sudah lama tidak bertemu jadi aku berasa sedikit janggal. Dia menyapa ku dengan senyuman. Kami berbual santai sebentar sebelum dia mengatakan tujuan sebenar dia ingin bertemu dengan ku.

“Aina, kau ingat tak aku pernah tanya kau tentang kalau ada orang ajak kau kahwin tu?”

“Oh, ingat. Kenapa?”

Aku berdebar sangat tapi dalam masa yang sama aku tak sabar nak dengar tujuan sebenar dia Tanya soalan tu.

“Sebenarnya… aku nak ajak kau kahwin.”

Aku terkedu tapi ada perasaan berbunga-bunga juga. Aku cuba mengawal senyum dan debar di dada dan aku katakan kepada dia, pergilah jumpa ibu dan ayah aku. Sejujurnya, aku memang dah suka dengan jiran aku ni cuma aku segan nak luahkan perasaan. Yalah, takut juga kena tolak nanti malulah aku.

Dua bulan kemudian, aku pun bertunang dan bernikah seminggu selepas itu. Ibu adalah insan yang paling gembira kerana anak dia akhirnya dah bersedia dan memberikannya menantu. Aku pun tak sangka, jodoh aku rupanya dengan jiran sebelah. Kepada yang masih single tu, bolehlah intai-intai jiran tu. Manalah tahu rupanya dia tulah jodoh kau.  

Artikel Lain

Tinggalkan Komen