Berikutan kes Covid-19 semakin membimbang seluruh negara, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan masjid negeri, bandar, jajahan serta mukim di seluruh negeri mengadakan solat hajat, bacaan surah Yasin dan doa selamat selama 40 malam bermula semalam.
Menurut Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, bagaimanapun arahan berkenaan dikecualikan kepada masjid yang terletak di kawasan yang disahkan terdapat kluster Covid-19.
Tambahnya, perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan supaya diadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat di masjid negeri, bandar dan jajahan, serta mukim di seluruh negeri.
"Pendekatan ini diambil memandangkan sejak akhir-akhir ini berlakunya peningkatan dalam kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan menyebabkan MAIK memutuskan untuk diadakan solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bagi membendung penularan wabak berkenaan," katanya.
Di samping itu, MAIK juga menjelaskan bahawa akad nikah yang diadakan di masjid hanya dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang.
Dalam kenyataan itu, beliau turut mendoakan moga segala usaha dan langkah yang diambil akan diperkenankan oleh Allah SWT dan wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat olehNya.
Tinggalkan Komen