Reject Bakal Isteri Sebab Tak Cantik, Adakah Lelaki Sekarang Terlalu Mewah Dengan Pilihan?

Usia seperti Salwani ni memang terdesak, jadi kalau hendak bersuami, ikutlah syarat yang ditetapkan. Tak payah berkira sangat dengan duit, bukan boleh dibawa ke kubur!



Alhamdulillah, saya memanjatkan syukur kepada Allah kerana anugerah kesihatan yang diberikan. Pada usia 30-an, saya belum lagi diserang dengan penyakit-penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung atau gangguan emosi. Jangan ketawa tau kerana ada teman-teman saya pernah melalui saat kemurungan. Emosi juga adalah sebahagian daripada kesihatan kita. Yang saya nak kongsi ni adalah dari perkongsian cerita antara saya dan rakan-rakan. Sesekali coffee coffee bersama teman-teman seronok juga. Mulalah macam-macam cerita berbangkit yang dibincangkan. Yang menarik perhatian ialah mengenai rakan salah seorang BFF saya. Salwani namanya, seorang eksekutif muda di salah sebuah syarikat penerbitan yang berusia 37 tahun. Penampilannya tidaklah seglamor teman sekerja lain. Maklumlah, di syarikat penerbitan terutamanya, penampilan itu menjadi hakim pertama. Tetapi, Allah mengurniakan kepadanya budi pekerti yang cukup indah. Pada pandangan mata saya, sempurna sudah kejadian Allah seandainya disulami hati yang baik. Nak dijadikan cerita, Salwani menyampaikan berita gembira kepada BFF saya. Katanya, keluarga lelaki yang diintai ibu bapa Salwani akan datang merisik dua bulan lagi. Hadir bersama bakal suaminya, Helmi. Kata orang, ia umpama sesi taaruf. BFF ini menjadi ensiklopedia kecantikan untuk Salwani. Apa sahaja produk kecantikan yang disyorkan, semuanya diterima bulat-bulat. Fitrah wanita, begitulah... tetapi hanya produk yang bagus. BFF saya pun tidak kedekut ilmu orangnya. Beberapa minggu penggunaan, alhamdulillah Salwani semakin berseri, sungguhpun rupa parasnya tidak cantik tetapi kulit dan bentuk tubuh ada perubahannya... pada pandangan mata saya.



Diketepikan.

Tiba hari yang dinanti. Keluarga kecil Salwani sudah berkumpul. Anak kedua dari tiga beradik ini sudah mempersiapkan diri untuk menerima tetamu istimewa. Hijab dililit ala Hana Tajima, busana disarung rekaan Cosry manakala wajah dirias nipis, namun masih nampak keayuannya. Salam dihulur maka perbincangan bermula. Sehinggalah mereka bertemu bakal suaminya. Bukan kepalang kegembiraan Salwani, kerana calon suami itu manis orangnya, walaupun hanya seorang budak pejabat. Dipendekkan cerita, hampir dua minggu tidak ada sebarang berita dari keluarga pihak lelaki. Dengan keberanian yang ada, Salwani menghubungi Helmi. Hampir empat kali telefon berdering namun tiada jawapan. Salwani cuba menghantar kiriman SMS tetapi balasan yang diterima dua jam selepas itu berbunyi, ' Sorry, saya tidak berminat dengan awak. Mungkin pertemuan ini satu kesilapan. Saya mencari wanita yang cantik di pandangan mata. Baru hilang penat bila balik dari kerja. Sekalipun awak berjawatan tinggi tidak bermakna saya akan terima awak begitu saja. TQ!' Ringkas, tetapi boleh membelah hati kecil seorang wanita. Pada usia begini, tidak mungkin Salwani dapat menerima kekecewaan lebih-lebih lagi dari seorang budak pejabat! Salwani tidak mengadu domba tetapi semakin hari dia semakin hilang tumpuan. Sebelum ini jika dia ke pejabat dengan solekan nipis, sekarang langsung tidak ada secalit solekan! Pucat dan tidak bermaya. Fitrah seorang wanita, mahu kelihatan cantik di mata suami dan dipuji olehnya. Tetapi kata-kata Helmi terus menerus menyinggahi fikiran Salwani.



Helmi tidak ada hak untuk mengatakan demikian. Dia tidak ada hak untuk mengeji malah jauh sekali menghina dan mengaibkan makhluk Allah yang bernama wanita! Ya, mungkin atas prinsip 'demokrasi' mereka boleh mengatakan demikian tetapi itu tidak bermakna ia sebagai hakikat yang boleh diimami. Perasaan ingin cantik adalah nikmat dari Allah tetapi sematkan dalam hati bahawa kecantikan bukan hanya dari luaran tetapi dalam hati masing-masing. Berbalik pada kisah Salwani, saya kecewa dengan sikap sesetengah lelaki, hanya sesetengah. Mereka sering memandang keindahan rupa paras berbanding hati budi seorang wanita. Saya risik juga khabar dari BFF saya yang mengenali Helmi tu. Katanya, Helmi ni tidaklah hensem mana, gelap dan gempal. Rupanya, beberapa hari sebelum bertemu dalam majlis merisik tu, Helmi ada menghubungi Salwani, menyampaikan sedikit hajat, nak pinjam duit untuk rombongannya datang merisik! Katanya, kerja sebagai budak pejabat bukan banyak sangat pulangannya. Cukup sekadar untuk diri sendiri. Bukan hanya untuk tujuan perjalanan rombongan keluarganya, Helmi juga meminta wang pendahuluan untuk dia membeli pakaian yang hendak dipakai pada hari kunjungan itu nanti.



Syarat yang diberi Helmi bukan lahir dari hatinya sahaja tetapi pakcik dan makciknya yang mengajar dia supaya berbuat demikian. Kata mereka, usia seperti Salwani ni memang terdesak, jadi kalau hendak bersuami, ikutlah syarat yang ditetapkan. Tak payah berkira sangat dengan duit, bukan boleh dibawa ke kubur! Aduh! Rasa berpinar mata menahan marah pada si Helmi ni. Bukan sahaja Helmi, malah kaum keluarganya! Ingat murah sangat ke maruah seorang wanita yang belum berkahwin? Kita sebagai wanita tidak perlu hidup dalam bayangan negatif. Selangkah tersalah jejak, selamanya menanggung derita. Kalau setakat hendak bersuami dan terima lelaki yang asal ada saja umpama menyerahkan kepala untuk dibaham buaya. Cukup-cukuplah tunduk pada lelaki yang tidak sedar di untung. Buat Salwani, bersabarlah kerana Allah pasti menunaikan janjinya pada hamba-hambanya.

'Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati kekuasaan Kami.'

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen