Teruja sambut Deepavali dengan keluarga baru, anggap macam mak ayah sendiri walaupun lain agama

Oleh: Zuzu Yasmine

Perbezaan agama bukan penghalang untuk saling menolong dan menjalinkan hubungan kasih sayang. Seperti keluarga ini, walaupun berbeza agama tetapi mereka tetap bahagia hidup bersama.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai kisah sebuah keluarga beragama Hindu yang bakal menyambut perayaan Deepavali dengan kehadiran ‘ayah dan ibu baru’ yang berbeza bangsa dan agama.


Menerusi laporan Bernama, L. Linda Kasturi, 39, dan R. Karthik, 35, telah tinggal bersama Mohamad Fakhrulzaman Abdul Malik, 57, dan Rohayati Salleh, 46, yang mesra dipanggil ayah dan ibu sejak enam bulan lalu.

Bermula dengan jual beli peti sejuk

Mereka ini tidak saling mengenali antara satu sama lain sebelum ini, namun saling berkenalan atas urusan jual beli peti ais yang dijual oleh pasangan itu ekoran kesempitan hidup.

Kehidupan mereka terjejas teruk selepas Fakhrulzaman yang bekerja sebagai tukang masak diberhentikan kerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Niat saya ketika itu hanya untuk membeli peti ais, namun terbit rasa simpati terhadap nasib ‘ayah’ kehilangan kerja di sebuah restoran sejak PKP dan keadaan itu memaksa mereka menjual barangan dan perabot untuk menyara hidup dan membayar sewa rumah.

“Saya kemudian mengajak ayah dan ibu tinggal bersama kerana rumah mempunyai ruang yang cukup luas dan selesa baginya,” katanya.

Tiada masalah dalam rutin harian

Menurut Linda, kehidupan mereka penuh dengan bertolak ansur dalam semua aspek malah soal soal keagamaan dan makanan meskipun berbeza agama dan bangsa.

“Soal makan minum tiada masalah kerana penyediaan makanan di rumah adalah halal dan bersih.

“Saya dan keluarga juga menghormati kepercayaan dan agama dianuti oleh ibu dan ayah dengan menyediakan ruang khas solat kepada mereka,” katanya yang turut menjaga ibunya, S.Kamala Devi, 60.

Ibu kepada dua orang anak itu yang berusia 10 bulan dan 11 tahun itu berkata kehadiran pasangan berkenaan telah ‘melengkapkan’ lagi keluarganya dan bertekad untuk menjaga mereka selama yang mampu.

“Biarlah ibu dan ayah berada di sini.Saya juga ada niat untuk membina sebuah rumah di sebelah rumah saya ini kerana anak-anak sudah mula rapat dan sangat menyayangi mereka,” katanya dan menambah sambutan Deepavali kali ini akan disambut secara sederhana berikutan pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

Selesa tinggal bersama

Sementara itu, Fakhrulzaman yang menghidap angin ahmar sejak tahun lepas berkata keluarga berkenaan melayannya dan isteri seperti keluarga sendiri malah dia sendiri berasa selesa dan tidak kekok bergaul walaupun berlainan bangsa dan agama.

“Linda dan keluarganya banyak membantu saya dan isteri selain menjaga kami dengan baik. Saya amat terhutang budi kepada Linda kerana sanggup membawa saya tinggal bersama dengan keluarganya dan makanan diberikan halal. Saya tidak kisah apa orang luar nak kata tetapi saya dan keluarga ini sahaja yang tahu betapa erat dan kasihnya kami sekeluarga,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun itu berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kesemua anak-anaknya dengan empat daripadanya berada dalam jagaan ibu kandungnya di Maran, Pahang, manakala seorang lagi di bawah jagaan ibu kepada isterinya di Indonesia kerana bersekolah di sebuah madrasah di Jawa Timur.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen