Lambat bertemu jodoh, terlalu memilih atau...

Melihat rakan-rakan sudah mendirikan rumah tangga, tentu sedikit sebanyak timbul rasa dalam diri untuk mendirikan rumah tangga juga. Tapi masalahnya, dengan siapa bakal berkongsi hidup?


Kadang tertanya-tanya, apa kurangnya diri ini sampaikan jodoh masih tak kunjung tiba lagi. Pastinya ramai yang bujang berdepan dengan masalah seperti ini.

Menurut pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi, jodoh setiap orang itu telah ditetapkan sebelum seseorang itu lahir lagi.

"Sebelum seseorang itu lahir, telah ditetapkan tiga perkara buatnya iaitu pertama rezeki, kedua jodoh dan ketiga ialah umurnya. Ada orang mungkin sudah buat pelbagai usaha, tetapi jodoh tiada. Kemungkinan jodoh yang ALLAH telah tetapkan itu telah meninggal dunia atau syahid dan mereka akan bertemu di dalam syurga nanti," katanya.

Dua sebab jodoh seseorang tak sampai lagi

Jelasnya lagi, ada dua sebab mengapa seseorang itu masih belum bertemu jodohnya lagi. Boleh jadi Allah yang beratkan jodohnya serta sikap seseorang itu sendiri.

"Pertama, kemungkinan besar jodohnya 'berat' kerana ALLAH SWT 'memberatkan' jodohnya dan kedua barangkali kerana sikap seseorang itu sendiri.

"Mungkin seseorang itu terlalu memilih atau malas mencari jodoh. Dalam bab jodoh itu, ada dua istilah kita selalu dengar iaitu satu apabila kita terjumpa jodoh dan satu lagi ialah mencari jodoh.

Tambahnya, hukum mencari jodoh ini adalah wajib, Allah akan tunjukkan jalan kalau kita berusaha.

"Jadi nasihat saya, jangan mengeluh, tetapi berusaha dan jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Sebaliknya, teruskan berdoa dan senyum selalu, insya-ALLAH jodoh (kita) itu ada," katanya.

Panduan mencari jodoh

Beliau turut berkongsi beberapa panduan mencari jodoh dalam Islam. Antaranya mencari lelaki yang soleh, keturunan yang baik, harta dan juga rupanya.

"Pertama ialah agamanya yang mana wanita perlu carilah lelaki yang soleh. Tidak salah kita meminang lelaki kerana dalam Islam dibenarkan. Kemudian, lihatlah solatnya. Kalau lelaki itu boleh jaga solatnya, insya-ALLAH dia boleh jaga kita. Kalau dia tak jaga solat iaitu hubungan ALLAH, bagaimana dia hendak jaga kita? (Sedangkan) Janji dengan ALLAH pun dikhianati, apatah lagi janji dengan kita.

"Kedua, carilah mereka yang mempunyai keturunan yang baik. Ketiga, jangan lupa kahwin sebab hartanya. Yang terakhir sekali, barulah rupa," katanya.

Penggunaan laman cari jodoh

Dalam era serba morden ini, beliau juga menjelaskan tentang penggunaan platform portal mencari jodoh juga.

"Hukum asal menggunakan portal mencari jodoh ialah harus. Ia satu usaha era moden untuk mencari jodoh. Namun, kita kena ingat, bila gunakan platform tersebut, mesti niat kerana ALLAH untuk mencari jodoh.

"Tak salah guna portal tersebut. Cuma isunya kalau hendak bagi gambar, janganlah gambar yang menjolok mata atau mendedahkan aurat. Sebaiknya, berilah gambar yang betul, jangan tampal 'simen' pada muka dengan mekap berlebihan. Ingat, jangan ada unsur penipuan dan mengambil kesempatan," jelasnya.




Artikel Lain

Tinggalkan Komen