Walaupun sesetengah tempat masih dibenarkan mengadakan majlis pernikahan dan perkahwinan tetapi perlu dilaksanakan dalam norma baharu bagi membendung wabak Covid-19 semakin menular semula.
Dalam keadaan serba berjaga-jaga ini, sentuhan seperti bersalam adalah tidak digalakkan. Namun bagaimana pula jika pengantin lelaki tidak bersalam dengan tok kadi ketika akad nikah dijalankan?
Perkara sebegini tentunya menimbulkan tertanya-tanya oleh pelbagai pihak. Sebelum membuat kesimpulan sendiri, ikuti perkongsian dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi membuang segala keraguan.
Nikah sah kalau patuhi perkara ini
Seseorang yang hendak kahwin wajib mematuhi rukun dan syarat pernikahan supaya ia menjadi sah.
Seperti yang diketahui, rukun nikah ini ada lima iaitu Sighah, pengantin perempuan, pengantin lelaki, wali dan dua orang saksi.
Jadi bersalam atau tidak sah ke nikah?
Tidak bersalaman ketika menyebut lafaz akad nikah adalah sah disisi syarak. Ini kerana syarat sah lafaz akad nikah hanya dengan menyebut lafaz ijab dan qabul dan bersertakan kalimah kahwin atau nikah sahaja.
Justeru, walaupun bersalaman ketika akad nikah bukan merupakan syarat akad nikah, namun ia merupakan Sunnah yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW ketika berbai’ah atau berjumpa dengan sahabatnya yang lain. Begitu juga, Imam Badruddin al-A’ini menaqalkan pandangan al-Karmani menyatakan bahawa bersalaman adalah sebagai tanda atau isyarat memilikinya sama ada pada pernikahan atau perjanjian. (Lihat Umdah al-Qari syarh Sahih al-Bukhari, 24/277)
Selain itu, bagi mengesahkan akad nikah tersebut mestilah melengkapi syarat-syarat serta rukun akad nikah yang lain seperti adanya wali, dua orang saksi, bakal pengantin lelaki dan perempuan di dalam majlis akad nikah tersebut.
Bagi memahami lebih lanjut boleh baca di laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.
Tinggalkan Komen