Memilukan, hanya jenazah isteri sambut kepulangan suami selepas setahun terpisah

Orang kata kalau nak jadi isteri tentera kena hati kental, ditinggalkan jauh berbatu-batu dan bertahun tak jumpa. Tapi pada masa yang sama juga, seorang tentera hati kena kuat nak berjauhan dengan anak dan isteri.

Lebih menyedihkan lagi bila mana, pertemuan yang ditunggu berlaku bukan disambut oleh senyuman isteri tercinta tapi tinggal jasad yang sudah tidak bernyawa lagi.


Pertemuan yang memilukan itu dilalui sendiri oleh anggota pengaman MALBATT 850-7, Lans Kopral (LKpl) Mohd Noh bin Samsudin menjalankan amanah negara dalam melaksanakan Misi UNIFIL di Selatan Bumi Lubnan selama setahun.



Berdasarkan perkongsian MyJointForce, kepulangan yang ditunggu-tunggu menjadi penghormatan terakhir seorang suami buat isteri tersayang, Norhidayah binti Amishammudin yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.



Dalam perkongsian itu juga menjelaskan, perpisahan selama setahun demi tugas bertukar menjadi perpisahan selamanya.

“Isteri beliau, Allahyarhamah Norhidayah binti Amishammudin telah pulang ke Rahmatullah pada 17 Sep 20, jam lebih kurang 7.01 malam di Hospital Besar Kuala Pilah akibat jangkitan kuman pada paru-paru.”



Dengan keadaan Pandemik ketika ini lagi menambah pilu bila mana beliau juga tidak terkecuali melalui prosedur kuarantin seperti yang ditetapkan.

“Perjalanan beribu batu dari Lubnan ke Malaysia dan takdir ketentuan Ilahi yang mengatasi segalanya tidak mengizinkan LKpl Mohd Noh bin Samsudin berada di samping isteri ketika isteri menghembuskan nafas terakhir 4 jam setibanya beliau di KLIA.”



Lebih memilukan, beliau berpakaian penuh Personal Protective Equipment (PPE) dan dibenarkan untuk menziarahi serta memberi penghormatan terakhir buat isteri tercinta lagi disayangi dengan bantuan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jenazah Allahyarhamah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Yoh, Johol, Negeri Sembilan pada 18 Sep 20.

Semoga terus kuat dan redha akan perpisahan yang berlaku.


 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen