Ibu Tak Suka Menantu, Suruh Anak Lelaki Ceraikan Isteri. Wajib Ke Ikut Perintah Ibu Kalau Bab Ini?

Restu ibu bapa adalah perkara yang sangat penting untuk mendirikan sebuah rumahtangga. Sebelum anda ingin meminang pilihan hati atau menerima pinangan seseorang, anda patut tahu bahawa ibu bapa anda bersetuju atau tidak dengan pilihan anda. barulah dapat elakkan masalah dikemudian hari.

Dengan restu ibu bapa ini, hubungan suami isteri yang terbina lebih bahagia, malah hubungan pasangan dengan keluarga anda juga tiada masalah.

Tapi bagaimana pula dengan kes, ibu bapa beri restu pada awal perkahwinan namun setelah lama berkahwin ibunya menyuruh agar menceraikan isterinya kerana ibunya tidak menyukainya.



Sebagai anak dan suami tentunya akan berbelah bagi. Sayangkan ibu dan sayangkan juga pada isterinya. Namun begitu, adakah wajib dia ikut perintah ibunya itu sedangkan dia tidak mahu bercerai dengan isterinya?

Menurut pendapat sebahagian ulamak jika orang tua menyuruh anaknya menceraikan isterinya dan isterinya memang perempuan yang jahat perangainya maka wajib anak itu taat pada perintah orang tuanya.



Akan tetapi jika isterinya bukan perempuan yang jahat perangainya sekali pun bukan perempuan yang solehah maka anak tidak wajib taat kepada suruhan orang tua untuk menceraikan isterinya dan anak itu tidak dikira derhaka pada tidak taatnya itu.

Telah berkata oleh Imam Ahmad :

لا تجب طاعة الوالدين بطلاق امرأته
Artinya : “Tidak wajib seorang itu taatkan kedua ibu bapa dengan menceraikan akan isterinya.” (Kitab Adab As-Syar’iyyah)

Dan begitu juga jika kedua orang tua adalah orang yang tidak cerdik atau kurang aqalnya dalam melakukan suatu perkara.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

ولكن لو كان -الوالد- في غاية الحمق أو سفاهة العقل، فأمر أو نهى ولده بما لا يعد مخالفته فيه في العرف عقوقاً، لا يفسق ولده بمخالفته حينئذ لعذره، وعليه فلو كان متزوجاً بمن يحبها فأمره بطلاقها، ولو لعدم عفتها، فلم يمتثل أمره لا إثم عليه كما سيأتي التصريح به عن أبي ذر رضي الله عنه، لكنه أشار إلى أن الأفضل طلاقها امتثالاً لأمر والده، وعليه يُحمَل الحديث الذي بعده: أن عمر أمر ابنه بطلاق زوجته فأبى، فذكر ذلك لرسول الله صلى الله عليه وسلم فأمره بطلاقها
Artinya : “Akan tetapi kalau bapanya seorang yang tidak cerdik atau bodoh aqalnya lalu menyuruh anaknya dengan suatu perkara yang tidak dikira derhaka pada adat kalau tidak mentaatinya maka anaknya tidaklah berdosa dengan sebab tidak mentaatinya pada ketika itu kerana uzurnya.

Dan atasnya juga andai anaknya berkawin dengan seorang perempuan yang dia sukai lalu disuruhnya anaknya menceraikannya sekali pun isterinya ketiadaan solehah lalu anak itu tidak taatkan suruhannya itu nescaya tidaklah anak itu berdosa sebagaimana akan datang sebutnya pada kisah Abu Zarr r.a. akan tetapinya mengisyaratkan kepada yang afdhal ialah mentaati suruh bapanya itu kerana menjunjung perintah orang tua. Dan atasnyalah ditanggungkan hadith Umar r.a. menyuruh anaknya menceraikan isterinya lalau enggan ia dan bertanyakan kepada Nabi saw dan baginda menyuruhnya menceraikan.” (Kitab Az-Zawajir)



KESIMPULAN


Jika ibu bapa menyuruh ceraikan isteri dan memang isteri itu seorang yang jahat peranaginya maka hendaklah ditaati akan suruh ibu bapanya itu.

Ada pun jika isterinya bukan perempuan yang jahat maka suami tidak wajib taat suruhan ibu bapa menceraikannya dan mintalah uzur kepada ibu bapa dengan perkataan yang baik dan beradab.

Ibubapa yang tidak puas hati dengan menantu hendaklah bersabar dan selesaikan dengan jalan yang baik kerana menyuruh cerai adalah memberatkan akan hidup anaknya.

wallahua’lam




Artikel Lain

Tinggalkan Komen