Lilin Wangi Harumkan Rumah, Tapi Selamat Ke?

Lilin berbau harum sangat terkenal dengan mereka yang sukakn rumah berbau harum. Malah ada juga yang berpendapat bahawa lilin yang wangi ini mempu memberikan rasa tenang kepada orang dikawasan tersebut. Namun, timbul satu persoalan berkenaan pembakaran lilin di dalam rumah. Adakah nyalaan lilin ini boleh memberikan sebarang kesan negatif terhadap kesihatan kita?

Jika ia dibakar sekadar untuk menerangi rumah disebabkan ketiadaan elektrik, mungkin tidak menjadi satu masalah. Tetapi, bagaimana pula jika ia dibakar semata-mata untuk tujuan wangian dalam tempoh yang lama?



Adakah lilin wangi bersifat toksik?

Kebanyakan lilin yang kita gunakan sama ada lilin biasa mahupun lilin pewangi rumah diperbuat daripada lilin parafin.
Lilin parafin ini dihasilkan daripada sumber petroleum.

Pada tahun 2009, ada satu kajian yang mendakwa bahawa pembakaran lilin parafin ini boleh melepaskan jenis bahan kimia berbahaya seperti toluena.



Namun, kajian tersebut tidak pernah diterbitkan dan juga telah dipertikaikan oleh National Candle Association dan juga European Candle Association yang berpengkalan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Menurut European Candle Association, kajian tersebut tidak menyediakan sebarang data untuk diulas dan kesimpulan berkenaan bahaya lilin hanya dakwaan yang tidak berasas.

Pada tahun 2007, European Candle Association telah melakukan satu kajian yang memeriksa setiap jenis lilin utama untuk 300 bahan kimia beracun.

Hasil daripada kajian tersebut mendapati, tahap bahan kimia yang dilepaskan oleh setiap jenis lilin berada pada paras yang selamat dan tidak membahayakan kesihatan manusia.

Sehingga kini, tidak terdapat sebarang bukti bersifat menyeluruh yang boleh mendakwa nyalaan lilin seperti lilin wangi boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Bagaimana pula dengan asap lilin yang dibakar?

Berlainan pula dengan asap yang terhasil akibat daripada pembakaran lilin tersebut. Asap ini berisiko untuk membahayakan kesihatan manusia jika dihidu dengan terlalu banyak. Asap yang terhasil daripada pembakaran lilin boleh disamakan dengan asap hasil daripada enjin diesel.

Oleh itu, jika anda ingin menyalakan lilin, cuba nyalakannya dalam bilik dengan laluan pengudaraan yang baik agar asap lilin dapat keluar dengan lancar. Cuba buka tingkap agar asap lilin tidak terkumpul di dalam bilik tersebut.



Selalu pakai lilin wangi, okay ke tidak?

Penggunaan lilin wangi mungkin akan melepaskan sebatian organik yang mudah meruap seperti formaldehid. Ia berkemungkinan meningkatkan risiko untuk anda mendapat kanser.

Namun, walaupun lilin pewangi rumah melepaskan sebatian seperti ini, ia masih tidak jelas sekiranya benar-benar boleh menjejaskan kesihatan anda atau sebaliknya.

Selain itu, ada sesetengah individu yang mungkin mempunyai reaksi alahan dengan penggunaan lilin wangi. Ini termasuklah bersin, hidung berair dan juga sinus yang tersumbat. Jadi, apakah lilin yang sesuai digunakan di rumah?

Tidak kira apa sekalipun yang dibakar, ia pasti akan melepaskan bahan kimia berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan anda.

Namun, jika ingin mengurangkan risiko menghidu bahan-bahan yang mungkin berbahaya kepada diri anda, cuba gunakan jenis lilin yang dihasilkan daripada bahan semula jadi.

Ada satu kajian menyatakan bahawa, lilin yang diperbuat daripada stearin sawit hanya melepaskan kira-kira separuh daripada jelaga berbanding lilin yang diperbuat daripada parafin.

Selain itu, lilin yang diperbuat daripada bahan-bahan semula jadi hanya melepaskan bahan kimia berbahaya dengan jumlah yang paling sedikit berbanding jenis lilin yang lain.



Antara contoh lilin yang bersifat semula jadi ialah:

• Lilin kelapa
• Lilin lebah
• Lilin soya
• Lilin kelapa sawit
• Lilin sayuran

Kesimpulan

Membakar lilin sememangnya akan melepaskan beberapa bahan kimia berbahaya di persekitaran. Akan tetapi, tidak terdapat bukti jelas yang menunjukkan bahawa anda akan mengalami risiko penyakit apabila terdedah kepada asap lilin.

Namun begitu, menghidu sebarang jenis asap dengan jumlah yang banyak tetap akan membahayakan kesihatan anda. Jika anda benar-benar ingin membakar lilin wangi di rumah, pastikan aliran pengudaran berjalan dengan baik agar asap lilin tidak berkumpul di dalam rumah.

Anda juga boleh cuba melihat kepada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat lilin tersebut sebelum membeli. Mungkin inilah masanya untuk anda mencuba jenis lilin lain yang lebih bersifat semula jadi.




Artikel Lain

Tinggalkan Komen