Suami Pinjam Wang Hantaran Isteri Semasa Kahwin, Wajib Bayar Walaupun Beri Nafkah Setiap Bulan Pada Isteri.

Usaha menghalalkan seorang wanita itu bukanlah satu perkara yang mudah. Banyak pengorbanan dan cara yang perlu dilakukan. Tersangat beruntunglah lelaki kalau bakal isterinya dengan rela hati mengurangkan beban serta memberi pinjam wang untuk melangsungkan majlis kahwin mereka.

Orang kata, sama-sama nak dirikan rumahtangga lagi bagus kalau sama-sama ada kerjasama dan usaha sama. Lagi cepat masjid yang diangankan itu terbina. Tapi, bila dah kata pinjam kenalah pulangkan semula.

Ramai suami-suami yang hanya penjam mata saja bila pinjam duit isteri sebagai hantaran tetapi tidak memulangkan kembali. Walaupun beri nafkah pada isteri tapi hutang tetap hutang.

Ini penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus.

SUAMI PINJAM WANG HANTARAN ISTERI, ENGGAN BAYAR DENGAN ALASAN SUDAH WAJIB BERI NAFAQAH

Suami saya ada meminjam wang hantaran pernikahan saya sebanyak RM2500 untuk keperluannya.

Masalahnya sampai sekarang suami saya tidak membayarnya. Bila saya minta suami saya kata dia telah banyak mengeluarkan belanja sara hidup nafaqah saya jadi sudah kira tertolak hutang dengan saya itu.

Adakah benar seperti itu ustaz?



JAWAPAN:

Jika suami berhutang dengan isteri samada dari wang hantaran atau lainnya milik isteri sebab ada keperluan terdesak nescaya wajib dibayar kembali oleh suami.

Jika isteri menghalalkannya maka terlepas kewajipan membayar oleh suami tetapi jika isteri tidak menghalalkannya maka suami tetap wajib membayar hutang tersebut.

Jika suami sengaja tidak mau membayarnya sedangkan suami mampu untuk membayarnya maka hukumnya adalah haram.



Memakan harta yang haram sekalipun harta isteri menyebabkan amalan suami tidak diterima.

Apabila suami meninggal dunia sedangkan hutang isteri tersebut belum dijelaskan maka hendaklah diambil dari harta peninggalan si mati bagi membayar hutang tersebut dan jika tidak ada harta maka hendaklah para waris membayarnya bagi pihak si mati dan jika tidak dibayar nescaya mayatnya dikira berhutang.

Islam mengharamkan perbuatan berhutang tanpa mahu membayarnya sebagaimana mengharamkan perbuatan mengambil harta orang lain tanpa hak seperti mencuri dan merompak dan menyamun atau dengan jalan menipu dalam berniaga dan sebagainya.

Allah Taala memberi ancaman di dalam Al-Quran :

وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَّاكَسَبَتْ وَهُمْ لاَ يُظْلَمُونَ
Artinya : “Barangsiapa yang berkhianat (mengambil hak orang lain dengan cara batil) dalam urusan harta maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) yang setimpal sedangkan mereka tidak akan dizalimi. (Ali-Imran 161)

Dari ayat di atas jelas bahwa hukumnya adalah haram siapa sahaja yang meminjam harta orang lain dan sengaja tidak mahu mengembalikannya atau mengambil hak orang lain secara batil dan sengelat dan sebaginya.



Jika suami berkata bahawa suami tidak wajib lagi membayar hutang tersebut sebab suami selalu memberi nafaqah makan minum dan belanja keperluan dapur selama mereka bersama maka perkataan suami itu adalah batil dan tidak ada ulama yang mengeluarkan hukum seperti itu. Semua itu adalah kewajipan yang berasingan tidak sekali-kali termasuk hutang.

Memberi nafaqah adalah satu kewajipan manakala membayar hutang adalah satu kewajipan yang lain. Suami tetap wajib membayar hutang isterinya walaupun sudah bertahun memberi nafaqah dan hadiah dan harta kepada isterinya.

Kesimpulannya suami wajib membayar hutang dengan isterinya melainkan jika isterinya menghalalkannya maka terangkatlah kewajipan membayar hutang dari suaminya dan itulah yang sebaiknya.

wallahua’lam




Artikel Lain

Tinggalkan Komen