Songket Kini Diketepikan Pengantin Melayu.

Oleh: Rafi

TIDAK lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Demikian ibaratnya keindahan songket warisan bangsa yang kini telah dimartabatkan sebagai ratu fabrik yang tiada tolok bandingnya. Diangkat sebagai busana untuk upacara-upacara penting seperti pertabalan raja dan majlis perkahwinan, songket kini melangkah ke persada dunia melalui keindahan dan keunikannya. Namun, kehadiran fabrik moden yang menjadi kegilaan pengantin masa kini menyebabkan songket semakin tercicir daripada menjadi pilihan raja sehari untuk meraikan saat bahagia mereka. Generasi hari ini nampaknya tidak begitu menghargai songket sebagai fabrik warisan. Menyingkap sejarah songket, fabrik ini mempunyai sejarah tersendiri sebagai pakaian raja sehari di kalangan masyarakat Melayu. Fabrik songket Melayu adalah lambang kemegahan golongan bangsawan dan istana. Keunggulan tradisi orang Melayu terserlah melalui motif-motif songket.



Dahulu, penghasilan songket meluas di bawah naungan istana dalam kerajaan dan Kesultanan Melayu pada kurun ke-14. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa. Memasuki era abad ke-20, songket bukan lagi milik mutlak golongan istana dan bangsawan, sebaliknya ia semakin meluas dipakai sebagai busana pengantin di kalangan masyarakat kebanyakan. Boleh dikatakan pada era inilah kegemilangan songket begitu terserlah. Namun, sekarang ini kehadiran fabrik-fabrik luar seperti sutera Thai, renda Perancis dan sebagainya seolah-olah telah mengambil alih takhta songket sebagai fabrik utama busana pengantin. Bagi menyingkap kembali kegemilangan pengunaan songket di kalangan pengantin Melayu, salah seorang tukang andam pengantin terkenal di Kuala Lumpur, Mehran Sedit atau lebih dikenali sebagai Kak Yan dari Yan Seri Andam di Taman Berlian, Gombak, Selangor berkongsi pengalaman tentang keunikan songket sebagai busana pengantin.



Sejarah ringkas pemakaian songket sebagai busana pengantin.

Mehran: Asalnya songket merupakan pakaian istana. Golongan biasa hanya memakainya apabila menjadi pengantin. Sebab itulah kita gelarkan pengantin ini raja sehari. Songket dihasilkan daripada benang emas. Cuma sayangnya sekarang ini anak-anak muda yang bergelar pengantin terpengaruh dengan fabrik Barat untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka. Sementara itu, ibu bapa mereka pula menyokong perubahan cita rasa ini.

Apakah kesan yang ketara apabila songket dilupakan sebagai pakaian rasmi raja sehari?

Situasi ini bahaya kerana ia melibatkan kesan-kesan dalam jangka masa panjang. Generasi kita yang akan datang akan kehilangan nilai-nilai budaya tinggalan nenek moyang kita. Mereka akan kehilangan identiti bangsa yang boleh dibanggakan ke seluruh dunia.

Bagaimana pula dengan pengusaha-pengusaha industri songket? Adakah mereka turut mendapat implikasi yang buruk?

Ya, industri songket yang sekarang ini malap akan pupus terus apabila sudah tidak ada lagi anak muda yang berminat untuk menyambung kerja-kerja menenun songket. Masa depan perniagaan songket tidak menjanjikan masa depan yang gemilang, berbanding ketika zaman nenek moyang mereka yang boleh hidup mewah dengan perniagaan songket.



Bagaimana dengan pengalaman anda sebagai mak andam apabila pelanggan-pelanggan masa kini tidak lagi memilih songket sebagai busana pengantin Melayu?

Perniagaan mak andam yang rata-ratanya dijalankan oleh orang Melayu juga terjejas apabila pengantin-pengantin sekarang beralih arah menggunakan renda Perancis, sutera Thai, sutera Shantung dan kain-kain lain yang diimport. Ini kerana modal untuk menyediakan pakaian daripada kain jenis tersebut mahal tetapi nilai keuntungannya kecil. Kain jenis tersebut mudah rosak kerana terlalu lembut apabila dijahit dan selepas itu terpaksa pula dibuat pengubahsuaian mengikut saiz pelanggan lain. Akibatnya, kain tersebut akan rosak dan apabila rosak sudah tentu pelanggan lain tidak mahu menyewanya. Itulah sebabnya kita tidak dapat meraih keuntungan. Lebih malang lagi apabila modal belum dapat balik tetapi pakaian sudah nampak susut nilai yang ketara.

Apabila mengalami kerugian, bagaimana anda mengatasinya?

Biasanya saya akan menyuruh pelanggan membeli sendiri kain dan mengupah saya atau pereka fesyen lain menjahitnya. Secara tidak langsung kita menolong pereka fesyen dan tukang jahit mendapat perniagaan. Sekiranya pengantin tetap ingin menyewa, saya terpaksa mengenakan sewa yang tinggi agar berbaloi dengan usaha dan modal yang dikeluarkan. Secara umumnya apakah nasihat anda kepada orang Melayu supaya membudayakan semula pemakaian songket di kalangan pengantin?

Pertama, kita perlu memupuk perasaan sayang dan menghargai warisan sendiri di kalangan anak-anak muda kita. Gunakan semua saluran untuk kempen ini seperti mana yang telah dibuat oleh isteri Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood ketika hayat beliau dahulu. Seharusnya dipergiatkan lagi usaha-usaha seperti ini. Kita sebagai orang Melayu akan rugi jika satu-satunya warisan agung itu terus malap dan berkubur. Bagaimana hendak mengetengahkan songket kita ke peringkat dunia jika kita tidak berasa bangga menggunakannya? Cuba kita lihat orang India betapa mereka bangga dengan produk sendiri. Semoden mana pun mereka tetapi apabila tiba majlis perkahwinan, mereka tetap dengan pakaian sari atau lengga dan meriah dengan aksesori, manakala lelakinya tetap dengan sut Nehru atau pakaian tradisional mereka. Begitu juga dengan masyarakat Cina, walaupun mereka gah di mata dunia, tetapi pakaian tradisi ketika majlis rasmi perkahwinan tetap dikekalkan demi memelihara warisan nenek moyang mereka.



Sebaliknya, anak-anak muda Melayu sekarang dengan bangganya membuang songket dan menggantikannya dengan produk luar. Lebih menyedihkan apabila pilihan tersebut mendapat sokongan padu daripada ibu bapa mereka. Tidak mustahil identiti pengantin Melayu akan hilang, dan pada masa depan apabila disebut pengantin Melayu, sudah tidak ada apa yang dapat dibanggakan sebagai warisan agung.

Bagaimana pula dengan peranan mak andam?

Di kalangan mak andam, mereka seharusnya sentiasa beringat bahawa mereka berperanan sebagai pendukung budaya dalam masyarakat. Jadilah perunding yang baik kepada bakal-bakal pengantin.

Apakah saranan anda kepada golongan muda yang bakal melangsungkan perkahwinan?

Jadikan songket sebagai pakaian rasmi pengantin agar dunia tahu itulah pengantin Melayu sebagaimana dunia mengenali pengantin India dan pengantin Cina. Pakaian lain boleh dijadikan sampingan tetapi kemuncak persandingan adalah songket. Tidak salah bergaya, tetapi jangan sampai membuang adat warisan Melayu. 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen