"Tak Salah Memilih Pasangan Hidup", Lelaki Ini Kongsi Tips Tapis Bakal Suami Yang Sangat Berguna Buat Wanita Bujang.

Oleh: Zuzu Yasmine

Ketakutan wanita yang masih bujang adalah tersalah memilih pasangan hidup iaitu bakal imam dan suami mereka. Sebab itu ramai yang memilih untuk berkahwin agak lambat agar dapat bertemu dengan pasangan yang betul-betul tepat dan sesuai buat diri mereka. Walaupun ada yang menganggap bahawa perkahwinan ini ibarat “perjudian” tapi itu semua tidak menghalang untuk mereka mencari seseorang yang dirasakan paling sesuai.

Bukan alasan terlalu memilih atau inginkan yang sempurna tetapi inginkan seseorang yang tepat membuatkan wanita merasakan bahawa bersikap terlalu memilih itu perlu.


Nak pilih seorang suami ini bukan mudah sebenarnya. Walaupun bercinta sudah bertahun-tahun, belum tentu dia itu orang yang paling anda kenali, boleh jadi selepas kahwin dia akan berubah. Namun begitu, anda boleh memilih seseorang itu berdasarkan sikap dan cara layanan mereka terhadap anda.

Menapis calon suami ini bukan kerana terlalu memilih tetapi lebih berhati-hati kerana tak nak menyesal dikemudian hari. Bukan ke itu lebih menakutkan. Seperti perkongsian dari Akhtar Syamir atau lebih dikenali sebagai BroOhsem mengenai tapisan calon suami sebelum berkahwin sememangnya sangat berguna buat mereka yang masih tercari-cari lagi.



Bagaimana Nak Tapis Bakal Suami?

Khas buat yang belum berkahwin. Baca penulisan ini sebelum terlambat. Kerana apa yang bakal anda baca ini adalah realiti kekesalan yang dialami oleh kebanyakan isteri selepas berkahwin.

Antara punca kenapa isteri tidak bahagia selepas berkahwin adalah kerana mereka berkahwin dengan lelaki yang salah. Apabila sedar, segalanya sudah terlambat. Proses untuk berpisah bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

Jadi, sebelum berkahwin, tapislah dahulu. Tidak salah memilih. Perkahwinan adalah untuk selama-lamanya, bukan sehari dua.

Ini antara sikap teman lelaki yang perlu ditapis.

1. Dia tiada masa untuk anda. Sentiasa sibuk, sentiasa ada hal lain, sentiasa tidak sempat, sentiasa terlupa, sentiasa ada alasan. Selepas berkahwin, masa ini tidak akan ada dengan tiba-tiba.

2. Dia pernah curang lebih dari sekali. Jika anda seorang yang penyabar dan boleh memberi peluang bila teman lelaki curang buat kali pertama, jangan sabar tak bertempat bila dia curang lagi. Itu tandanya dia takkan berubah. Perkahwinan belum tentu akan buat dia berubah.

3. Anda bukan keutamaan dia. Jika ibu-bapa itu boleh terima lagi. Tetapi apabila hampir kesemua orang lebih penting dari anda, percayalah yang anda tidak akan jadi yang utama selepas berkahwin nanti.



4. Anda sering direndah-rendahkan. Ini perangai yang akan menjadi lebih teruk apabila sudah berkahwin nanti. Dia akan meyakinkan anda yang tiada siapa pun akan terima anda. Lebih lama anda bersama teman lelaki seperti ini, lebih lemah anda akan jadi.

5. Dia baran. Baran bukan penyakit. Baran ialah sikap. Orang yang menjerit pada pasangan adalah orang yang tidak menghormati pasangan. Orang yang sebelum kahwin pun dah mula menyakiti pasangan secara fizikal adalah orang yang tidak layak dipersuamikan. Dia tidak akan berubah.

6. Dia membenci keluarga anda. Sepatutnya perhubungan antara teman lelaki dan keluarga anda berada di tahap yang terbaik sebelum anda disatukan. Tetapi jika ianya semakin teruk dan tiada usaha untuk memperbaikinya, fikirlah semula.

7. Anda hanya diperlukan ketika dia susah. Dia akan selalu pinjam duit, dia akan selalu bawa anda ke dalam masalah dia dan anda akan menjadi tempat dia menyelesaikan masalah. Ini adalah satu tanda yang anda perlu hindarkan diri dari teman sebegini.



8. Dia suka menipu. Hari-hari dia menipu. Anda sampai tak tahu bila dia bercakap benar. Jika anda masih terus bersama dengan orang sebegini, anda sebenarnya hidup dalam penipuan dia.

9. Dia suka berahsia. Telefon dia tidak boleh disentuh. Jika dia benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu bersama anda, dia pasti tidak akan merahsiakan apa-apa pun. Jika dia tidak bersedia bermakna dia belum bersedia. Mudah sahaja.

10. Dia tidak bertanggungjawab dalam pengurusan kewangan. Ada duit joli sakan. Lepas tu berlapar sampai hujung bulan. Selepas berkahwin, sikap ini akan menyumbang kepada banyak masalah. Menguruskan diri seorang pun sudah gagal, inikan pula dua, tiga, empat orang nanti.



Nak perkahwinan yang bahagia?

Jauhi orang dengan sikap sebegini. Memang tiada lelaki yang sempurna, tetapi lelaki yang tak berguna itu ada. Kalau anda tetap memilih untuk berkahwin dengan lelaki seperti ini, jangan menyesal di kemudian hari. Jangan nanti baru nak mengeluh dan kecewa dengan kebahagiaan orang lain.

"Tak salah memilih. Tak salah memilih." Ulang ayat ni dalam kepala anda. Kalau dia berubah, pilih dia. Usaha untuk berubah itu patut dihargai, tetapi jangan biar diri dimanipulasi.

Memang semakin lama semakin susah untuk mencari pasangan. Tetapi lambat ada pasangan lebih baik dari berpasangan tetapi setiap hari menderita.



Buatlah keputusan yang bijak. Berhenti mensia-siakan cinta anda. Ada yang lebih baik menanti.

Kongsikan penulisan ini supaya lebih ramai yang sedar kepentingan memilih pasangan yang baik.

Sila tag anak, adik beradik dan kawan perempuan anda yang belum berkahwin lagi tu. Mereka perlu tahu mengenai perkara ini.
Kepada lelaki bujang, gunakan senarai ini sebagai benda yang perlu dibuang jauh dari diri anda.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen