Gunakan 'Isteri Gomen' Buat Loan, Peguam Ini Ajar Tuntut Hutang Dari Bekas Pasangan.

Orang sekarang ini kalau nak ambil kesempatan, memang akan pelbagai cara dan taktik. Kadang kala langsung tak sedar kerana percaya akan keikhlasan yang ada. Akan tetapi, ‘ingatkan panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan ditengah hari’.

Begitu jugalah dalam perkahwinan, mungkin saat percintaan anda lihat dirinya begitu jujur untuk mengambil anda sebagai pasangan hidup, akan tetapi rupanya terdapat agenda yang tersembunyi yang anda tidak sedar. Selepas kahwin, anda dipaksa berhutang beratus ribu malah ada yang berjuta hanya ingin senangkan lelaki tak ikhlas dengan diri anda.


Buat isteri-isteri yang terpaksa menanggung beban hutang suami, malah ibu-ibu tunggal yang dulunya berhutang kerana suami, kini anda boleh tuntut segala hutang anda pada bekas suami anda itu dengan cara yang betul seperti yang dikongsikan oleh Peguam Syarie ini, Fahmi Ramli.



"Saya ada terbaca satu berita di akhbar tentang lelaki yang mengambil kesempatan untuk berkahwin dengan wanita yang berpangkat atau kakitangan kerajaan yang mempunyai pendapatan yang bagus. Tujuannya adalah untuk ‘pow’ duit atau mintak isteri ni buat pinjaman peribadi untuk hal tertentu."

"Pada saya, perkara ni bukan berlaku pada orang ‘gomen’ ja. Kadang-kadang ada juga kes suami kikis duit isteri yang ‘janda kaya’ atau wanita yang mempunyai pendapatan bagus untuk kesenangan hidupnya. Ini realiti yang berlaku."

Jadi, ada ramai wanita yang mungkin pernah lalui situasi ini tak tahu, apa yang boleh dan perlu untuk dia buat bagi mendapatkan semula haknya itu.

Dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang, seksyen 61(3)(b)(ii) dinyatakan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes yang berkaitan dengan tuntutan harta yang berbangkit di dalam perkahwinan dan perceraian. (ringkasan bacaan seksyen).

Sama juga bagi negeri-negeri lain cuma mungkin ada beza dari segi pemakaian Enakmen seperti Kedah, perkara ini dinyatakan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah Kedah 2008. Yang pasti, setiap negeri akan ada peruntukan tentang isu ini, tuntutan harta dalam perkahwinan & selepas cerai.

Jadi, hak disisi undang-undang itu ada untuk seorang isteri menuntut hutang yang diberi olehnya kepada suami sebagai pinjaman. Perkara tersebut ada di Mahkamah Syariah. Syaratnya mesti hutang dalam perkahwinan. Bukan hutang masa ‘couple’, tunang atau selepas cerai. Yang tu tak dikira dan perlu berlaku di Mahkamah Sivil.




Tip-tip Untuk Buat Tuntutan Hutang Dalam Perkahwinan

Perjanjian bertulis

Kalau kita beri orang pinjam duit, Al-Quran pun cakap suruh tulis dan catat hutang walaupun hutang itu kecil nilainya. Jadi, kalau hutang yang dibuat oleh suami terhadap isteri juga perlu ada hitam putih sebaiknya supaya ada bukti yang jelas dan perlu disaksikan oleh sekurang-kurangnya seorang saksi lelaki. Itu memang paling kuat la.

• Dokumen pinjaman

Kalau pinjaman itu dibuat terhadap bank, mesti akan ada satu salinan dokumen pinjaman yang dibuat bagi membuktikan tentang pinjaman itu dibuat oleh pihak isteri. Cuma, masalah besar lah kalau buat pinjaman Ah Long. Mana nak ada dokumen rasmi diberi. Sebaiknya, jika isteri membuat pinjaman untuk diberi kepada suami tu, simpan baik-baik bukti bersurat tentang duit yang dibuat pinjaman tu.

• Transaksi ke bank suami

Kalau buat pinjaman duit, jangan bagi cash by hand. Itu cari nahas sebabnya memang tak ada bukti la nak tunjuk kata ada serah duit pada suami. Pastikan apa-apa transaksi pemberian duit itu dibuat ke akaun suami dengan transaksi online. Tolong jangan pilih untuk bagi byhand atau cash deposit.

Kalau cash deposit, resit yang keluar tu lama-lama akan pudar. Sekarang ni dah zaman online, memang pelik kalau sesetengah orang tak ada akaun online. Boleh dikatakan setiap bank dah ada. Jangan lupa, nyatakan juga alasan untuk transfer ke akaun suami tu dengan perkataan ‘Pinjam ke suami untuk.....’

• Saksi

Di dalam syarak, saksi ini merupakan pembuktian yang cukup kuat dalam apa-apa tuntutan. Sebaiknya, setiap pinjaman kepada suami itu disaksikan oleh seseorang atau lagi bagus dengan dua orang lelaki. Kalau pinjam sikit-sikit tu mungkin tak ada la saksi, tapi kalau nak buat apa salahnya.
Yang penting pastikan, saksi ini orang yang baligh, berakal, tak ada niat jahat atau apa-apa kepentingan, lelaki kalau boleh. Senang nanti nak bawak ke Mahkamah kalau melalui proses bicara.

• Whatsapp/Email/Mesej

Ini pun salah satu bentuk bukti yang boleh diterima. Sebab ada orang dia maklum kata bagi pinjam itu melalui telekomunikasi. Ada perbualan tentang pinjaman yang isteri bagi kepada suami. Jadi, pastikan perbualan-perbualan berkaitan hutang ini tidak dipadamkan daripada mesej yang asal. Yang penting kena ada pembuktian jelas tentang identiti orang yang isteri mesej tersebut adalah suaminya. Mesej-mesej tu pastikan ada di dalam perbualan asal daripada handphone kerana itu yang bakal menjadi bukti primer semasa bicara. Bukan sekadar screenshot sahaja.

Ok, saya rasa setakat itu sahaja tip-tip yang mungkin boleh saya kongsikan kepada isteri-isteri khususnya untuk tahu dan faham tentang hak mereka dalam tuntutan hutang semasa perkahwinan. Kes ini jarang dituntut sebab ada yang tidak tahu dan banyak juga yang ditolak oleh Hakim sebab gagal dibuktikan.

Jadi, tak salah kalau niat isteri tu baik untuk bagi suami pinjam duit sebab nak bantu suami, cuma pastikan kita sediakan payung sebelum hujan. Kalau tidak, sia-sia sahaja menanggung hutang kalau berlaku perceraian. Ingat, langit tidak selalu cerah yer wahai wanita.

Apa kata anda? Ada dapat apa-apa tak daripada sharing ni? Kalau ada cuba bagitau FAHAM kat komen tu. Boleh ke boleh?

Hati-hati Cari Calon Suami
Fahmi Ramli

Artikel Lain

Tinggalkan Komen