5 Amalan Agar Anak Tidak Mewarisi Maksiat Ibubapanya - Intan Dzulkefli.

Oleh: Zuzu Yasmine

Mintak dijauhkan perkara sebegini, namun inilah perkara yang membimbangkan hati-hati ibu bapa. Menerima kehadiran cahaya mata itu sememangnya besar rahmat-Nya, tetapi dalam mendidik serta mengasuh sudah tentu satu cabaran yang hebat.

Tiada sesiapa pun di dunia ini yang terlepas dari melakukan dosa serta kesalahan tetapi apabila tersedar segeralah bertaubat jangan dilengahkan lagi. Siapa kita untuk menghukum seseorang berdasarkan latar belakangnya malah mungkin dia lebih baik dari diri kita. Akan tetapi apa yang dibimbangkan adalah anak-anak yang mungkin mewarisi kenakalan ibu ayah mereka. Semoga dijauhkan perkara sebegini.

Bagaimana caranya untuk anak-anak kita nanti tidak megikuti jejak langkah serta kesilapan sama seperti ibu bapanya? Sama-sama kita ikuti dan kongsi amalan yang dikongsi oleh Puan Intan Dzulkefli ini.



Seorang wanita yang waktu masih muda remaja, liar pergaulannya dengan lelaki ajnabi, aurat, bahasa dan adabnya dengan orang lain pun tidak dijaga, akhirnya dia berkahwin dan mempunyai anak gadis. Apabila semakin anak gadisnya meningkat dewasa mungkin akan terdetik ketakutan dalam hatinya andai anaknya mengulang semula 'skrip hitam' masa lalunya.

Seorang lelaki yang waktu masih muda belia, amat suka mempermainkan anak gadis, rasa puas sekiranya berjaya meragut maruah anak-anak dara tanpa perlu bersusah payah menikahi mereka. Apabila dia berkahwin dan menjadi seorang bapa, ada anak lelaki dan perempuan, tentu sedikit sebanyak terbit kebimbangan andai anak lelakinya akan bersikap jahat sepertinya waktu muda. Tentu dia bahkan lebih bimbang andai anak gadisnya bertemu lelaki perosak sebagaimana dia waktu muda dahulu.

Seorang wanita yang waktu masih cantik dan muda, bertukar teman tidur bagaikan bertukar pakaian hingga tahap menggugurkan kandungan berkali-kali, kemudian direzekikan suami yang baik apabila berkahwin, diuji pula dengan belum menjengah satu nyawa dalam rahim walau telah lama menanti, tentu terdetik, apakah ini adalah kifarah dari dosa lampaunya yang suka berzina dan melakukan pembunuhan janin hasil penzinaannya?

Astaghfirullahal adzhim...

Ya Allah... Kalaulah masa boleh diundur... Pasti takkan sesekali dilakukan segala dosa itu. Rasa seronok kemaksiatan hanya seketika, tetapi rasa berdosa sentiasa mengekori bagaikan bayang, bertahun-tahun.

Takut...

Bimbang...

Takut dan bimbang seandainya dosa di waktu jahil akan diwarisi oleh anak-anak nanti.

Takut dan bimbang seandainya dosa waktu silam akan menjadi penghalang rezeki pula.

Maka, bagaimana untuk mengelakkan dari anak-anak agar tidak mewarisi kejahatan dan kemaksiatan yang pernah kita buat sewaktu jahil?

Ingin saya kongsikan tips yang saya dapat melalui pembacaan serta mendengar ceramah ustaz dan ustazah. Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan agar anak kita menjadi anak yang bertaqwa ialah,

1) BERTAUBAT.

Ya, suami isteri tadi wajib bertaubat. Penzina tadi wajib bertaubat. Penzalim tadi wajib bertaubat. Taubat yang sebenar taubat, takut kepada Allah. Bukan semata-mata takut malu anak menconteng arang ke wajah, tetapi sebab takut kepada Allah kerana kita telah bermaksiat kepadaNya selama ini.

Taubat adalah tingkat pertama sebelum dapat kita merasai kenikmatan beribadah kepadaNya. InsyaAllah.



2) MUHASABAH KEMBALI TUJUAN PERKAHWINAN.

Ramai sahaja penzina lelaki dan wanita yang berkahwin tanpa bertaubat dan menyesal pun atas kesilapan mereka waktu silam. Tujuan mereka berkahwin pun tidak disandarkan seperti yang disunnahkan Rasulullah SAW, cuma follow the flow tanpa ada niat nak dapatkan keberkatan dan keredhaan Allah.

Maka, sekiranya sudah datang kesesalan, duduk berdua bersama pasangan, bicaralah hati ke hati.

"Sayang, sayang rasa Allah redha tak dengan perkahwinan kita selama ini?"

"Jom sayang, kita sama-sama bertaubat dan betulkan semula semua silap salah kita selama ni,"

Suami isteri kena sepakat dengan matlamat yang jelas tentang pernikahan mereka, pendidikan anak-anak mereka.

3) SEDEKAH MENJEMPUT REZEKI.

Niatkan supaya Allah tingkatkan ketaqwaan diri, isteri, anak-anak. Minta Allah rawat semula hati yang rosak. Doa sungguh-sungguh semoga Allah benteng hati diri dan keluarga agar jadi orang yang baik, orang yang benci nak buat maksiat, tak terpesona dan tergoda nak buat tak baik.

Yang masih menunggu kehadiran si comel, niatkan sedekah untuk buka pintu rezeki agar dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Amiin.



4) BANYAKKAN BERDOA.

Wahai ibu, sekalipun waktu lalumu penuh kisah hitam, tetapi setelah bertaubat, doamu sama sahaja maqamnya seperti ibu-ibu solehah yang lain, insyaAllah. Banyakkan berdoa semasa anak menyusu, anak tidur, suapkan anak makan, atau semasa mencium anak.

Doa agar Allah lindungi mereka dari buat silap dan terjebak maksiat yang sama seperti kalian waktu muda dahulu. Doakan anak-anak agar diberikan ketaqwaan dan kefahaman agama. InsyaAllah doa ibu adalah mustajab.

5) SABAR DIDIK ANAK-ANAK. ELAK UCAP HAL YANG TAK BAIK.

Apabila kita berhijrah, dugaan sekeliling pasti akan datang, terutamanya dari orang yang bersikap judgemental. Ada yang akan menyindir dan mengungkit kisah silam kita seolah mereka tak pernah melakukan dosa. Jangan putus asa. Rezeki dan taqdir milik Allah. Teruskan sabar didik anak-anak. Sekalipun marah jangan terdetik kesudahan yang tidak baik untuk anak-anak.

Bagi pendosa yang bertaubat, Allah SWT akan menggantikan setiap dosa lalu dengan kebaikan seperti Firman Allah SWT;

“Kecuali orang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh. Maka kejahatan mereka akan Allah gantikan dengan kebaikan.” (Al-Furqan, ayat 70)

Firman Allah SWT lagi; “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan orang menyucikan dirinya sendiri.” (Al-Baqarah ayat 222)

Subhanallah. Oleh itu, jangan putus asa dengan rahmat Allah. Dosa kita walau sebesar gunung pun Allah akan ampunkan seandainya kita bersungguh meminta keampunanNya..


Muhasabah kita sama-sama, terutamanya saya yang menitipkan pesan ini. Semoga Allah lindungi anak-anak dan zuriat keturunan kita dari kemaksiatan yang menutup jalan keberkatan hidup hingga menjauhkan kita dari ampunan dan keredhaanNya. InsyaAllah.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen