3 Gaya Asuhan Yang Ibu Ayah Perlu Tahu Dalam Mendidik Anak-Anak.

Oleh: Zuzu Yasmine

Impian setiap pasangan suami isteri mahukan kehadiran cahaya mata yang akan mengeratkan hubungan serta memeriahkan hidup sebagai suami isteri. Tahap persediaan untuk miliki anak sudah tentulah telah dibincangkan bersama pasangan masing-masing, bahkan berapa ramai anak juga sudah tentu telah ditentukan.

Namun sebagai bakal menjadi ibu dan ayah, anda perlu mula mengenali gaya asuhan yang sesuai buat anak-anak anda. Gagal mengasuh anak dengan baik merupakan antara punca biasa yang menyebabkan berlakunya kegagalan sebuah rumahtangga. Disebabkan itu, sebagai ibu bapa, anda dan pasangan perlu mencapai satu sepakat untuk mengatasi masalah ini.

“Attachment Parenting”: teori kelekatan ibu bapa dengan anaknya

“Attachment parenting” merupakan sebuah teori kelekatan ibu bapa dengan anaknya. Ini juga adalah sebuah teknik yang digunakan untuk mencipta satu hubungan yang erat di antara anak dengan ibu bapanya. Teknik ini bertujuan untuk membuat anak tersebut berasa selamat apabila di sisi ibu bapa mereka. Berikut merupakan prinsip paling asas teknik kelekatan:



Bersedia untuk kehamilan, kelahiran dan keibubapaan

Tempoh kehamilan sebenarnya merupakan waktu untuk ibu bapa yang sedang menunggu kelahiran anak membuat keputusan mengenai kelahiran dan penjagaan anak. Ketika ini juga, mereka perlu membuat persiapan untuk melangkah masuk ke alam keibubapaan. Ini juga merupakan permulaan untuk ibu bapa mula menjalin kelekatan antara mereka dengan anak mereka. Antara persiapan utama yang perlu dibuat adalah menyediakan pakaian, mainan, tempat tidur serta lain-lain keperluan untuk anak anda. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan diri mereka sendiri untuk menyambut kelahiran anak mereka, dengan melakukan perkara-perkara berikut:

• Mengamalkan diet yang seimbang
• Melakukan senaman
• Mencari informasi mengenai penyusuan anak
• Belajar bagaimana untuk menguruskan bayi seperti cara memandikan bayi dan lain-lain
• Minta bantuan profesional jika memerlukan



Apakah jenis gaya asuhan ibu bapa yang wujud?

Apabila anak semakin meningkat usia, cara dan gaya keibubapaan juga perlu berubah. Ini adalah untuk membantu menyesuaikan diri anak anda dengan dunia sebenar di sekeliling mereka. Cara didikan dan asuhan yang salah mungkin akan menjadikan anak anda tidak dapat atau sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya.

Terdapat 3 jenis utama gaya asuhan, iaitu:

i. Autoritarian

Ibu bapa yang bersikap autoritarian adalah sangat tegas dengan anak dan tidak akan membenarkan sebarang rundingan berlaku antara mereka dengan anak. Mereka tidak akan mendengar sebarang keluhan anak malah lebih cenderung mengawal anak mereka untuk mengikut arahan.

ii. Permisif

Ibu bapa yang bersikap permisif adalah sangat santai dan jarang menetapkan apa-apa peraturan tegas terhadap anak mereka. Disebabkan ini, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa permisif dibenarkan untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa merisaukan akibat daripada perlakuan mereka itu.

iii. Autoritatif

Ibu bapa yang bersikap autoritatif pula menggabungkan kedua-dua gaya asuhan. Mereka tidak cenderung untuk mengawal dan tidak juga cenderung membenarkan anak mereka melakukan apa-apa sesuka hati. Teknik keibubapaan yang bersikap autoritatif ini akan bersama-sama dengan anak untuk membuat peraturan yang menyenangkan kedua-dua belah pihak.



Apakah kelebihan mengamalkan teknik keibubapaan yang tegas?

Setiap kanak-kanak pasti tidak mahu ibu bapa mereka bersifat tegas. Walau bagaimanapun, mengamalkan teknik atau gaya keibubapaan tegas sebenarnya akan mendatangkan kelebihan apabila mereka dewasa kelak. Ini kerana ibu bapa yang tegas cenderung mempunyai piawaian dan jangkaan yang tinggi ketika mendidik anak mereka. Disebabkan itu, ia akan membantu anak mereka untuk berkembang sebagai modal insan yang akan berjaya di kemudian hari.
Kelebihan menjadi ibu bapa tegas:

1. Pencapaian akademik

Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang tegas cenderung menjadi model kepada kanak-kanak lain kerana pencapaian akademik mereka yang sering cemerlang. Ini kemungkinan berlaku disebabkan oleh persekitaran kanak-kanak ini yang perlu mencapai piawaian ibu bapa mereka yang tinggi. Selain itu, mereka juga lebih cemerlang kerana disiplin diri tinggi yang sudah tertanam dalam diri seawal usia lagi. Bagi kanak-kanak ini, belajar bersungguh-sungguh adalah suatu kewajipan.

Pelbagai kajian juga telah membuktikan bahawa perkara ini adalah benar belaka dan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang tegas lebih cemerlang dalam akademik mereka.

2. Keyakinan diri

Ibu bapa yang tegas akan mengajar anak mereka untuk lebih bertanggungjawab terhadap setiap kelakuan mereka. Disebabkan itu, kanak-kanak yang sedang membesar akan mula memahami kerja keras akan membuahkan hasil yang setimpal, sesuai dengan piawaian ibu bapa mereka. Pada masa yang sama, mereka juga mampu untuk belajar kebolehan untuk menilai situasi sebelum membuat keputusan. Ibu bapa yang tegas akan sentiasa mendorong anak mereka untuk menjadi versi diri mereka yang terbaik. Ini akan menjadi punca utama anak mereka tidak takut akan cabaran serta kuat pada mental.

3. Kawalan diri

Kanak-kanak akan belajar mengawal kelakuan sejak mereka kecil lagi jika mereka mempunyai ibu bapa yang tegas yang selalu menetapkan peraturan. Ibu bapa yang tegas juga akan mengenakan hukuman kepada anak mereka yang melakukan kesalahan. Disebabkan itu, anak mereka mampu mengawal diri ketika berusia kanak-kanak lagi. Karakteristik ini akan menjadikan mereka lebih cepat matang.

4. Berdikari dan bertanggungjawab

Paling penting, kanak-kanak dengan gaya asuhan keibubapaan yang tegas adalah lebih berdikari berbanding kanak-kanak lain. Ini disebabkan oleh mereka perlu bertanggungjawab dengan tindakan mereka sejak awal usia lagi. Ini juga menyebabkan mereka lebih mudah berkompromi apabila berlaku konflik dengan rakan-rakan mereka. Apabila kanak-kanak ini sudah cukup dewasa kelak, mereka akan cenderung untuk hidup berasingan daripada ibu bapa mereka lalu menyebabkan mereka lebih menghargai kehidupan sekali gus menjamin kejayaan mereka pada masa hadapan.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen