Tidur Orang Yang Berpuasa Adalah Satu Ibadah? Ikuti Penerangan Ini.

Sering kita mendengar, tidur orang yang sedang berpuasa adalah ibadahnya kepada Allah SWT. Sejauh mana kebenaran tersebut? Dan adakah hadith atau dalil yang menyebut tentang isu ini. Ketahui keterangan dan penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan.

Daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)]

HUKUM HADITH.

Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf.

Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta.

Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif.

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami cenderung kepada kedhaifan hadith ini kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.

Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi.

Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa.

Adapun berkaitan, doa orang yang berpuasa adalah mustajab ada dinyatakan di dalam hadith yang lain iaitu:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tiga doa yang mustajab: Doa orang yang berpuasa, doa orang yang bermusafir dan doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3323)][Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]

Di dalam riwayat yang lain pula, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Tiga doa yang tidak akan ditolak: Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan juga doa orang yang dizalimi.” [Riwayat al-Tirmizi (3598)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

Berdasarkan kepada dua hadith ini, para ulama melihat sunat bagi orang yang berpuasa untuk memperbanyakkan berdoa bermula daripada awal hari (bermula puasa) sehingga ke akhirnya.

Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.” [Riwayat Muslim (1151)]

Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat hadith-hadith lain yang menyokong makna hadith tersebut. Ini menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.

Kesimpulannya;

Puasa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berpuasa ini. Di samping itu juga, bulan Ramadhan merupakan bulan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka cinta kepada ibadah.

Oleh itu, marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita mengumpul sebanyak mungkin kebaikan dan amal soleh untuk kita jadikan bekalan ketika bertemu dengan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diampuni dosanya serta diterima setiap amalannya. Amin.

Wallahua’lam.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen