Bila Gaduh Jangan Cerita Aib Pasangan Pada Orang Luar, Nanti Kalau Dah Berbaik Tetap Dipandang Buruk.

Oleh: Zuzu Yasmine

Jika hanya lihat dari luaran sahaja, perkahwinan ini sememangnya kelihatan indah, serta membahagiakan. Sebab itulah ramai yang masih bujang mudah rasa cemburu melihat pasangan yang sudah berkahwin ini. Mana tidaknya kemesraan dan kasih sayang antara suami isteri itu membuat ramai berlumba-lumba untuk berkahwin.

Tetapi dalam kemanisan yang ada itu sudah tentu ada ujian dan cabaran untuk merasai kemanisan bersama. Biasalah hidup inikan penuh dengan ujian barulah kita merasakan ia lebih bermakna dan mensyukurinya sama seperti perkahwinan.

Kadang kala rasa tidak tahan dengan perangai pasangan kita tetapi dalam marah-marah itu ada manisnya pula pasangan kita ini. Seperti yang dikongsikan oleh Puan Intan Dzulkefli ini, perkahwinan itu sebenarnya rumit.



Rumahtangga ni sebenarnya adalah sangat 'complicated'. Kita sendiri sahajalah, bila waktu marah, sakit hati dengan pasangan, nak lihat muka si dia pun kita tak sudi. Marah punya pasal.

'Hei kenapalah aku kahwin dengan dia niiii...' getus hati yang panas, tapi mampu terdetik sekejap sahajalah sebab takutkan dosa kufur nikmat.

Namun, mungkin setelah pasangan memujuk, diberi ruang untuk menerangkan apa yang sebenarnya yang membuat dia buat sesuatu itu, akhirnya rajuk kita pun hilang, senyum kita pun melebar. Syukur sangat... Allah jodohkan kita dengan pasangan.

Tengok? Sekejap sahaja persepsi 180 darjah berubah.

Sebab itu ramai orang 'alim menegah kita untuk meluahkan perasaan, bercerita kisah rumahtangga, buka aib pasangan/bekas pasangan SEMASA SEDANG EMOSI di media sosial atau bercerita kepada orang luar yang tidak faqqih, kerana bimbang reputasi rumahtangga kita, pasangan kita, hatta diri sendiri jadi bualan dan fitnah kepada orang.

Sedangkan mungkin beberapa minit atau jam atau hari setelah kita bercerita itu, rumahtangga kita sudah pun kembali baik. Tetapi persepsi orang luar terhadap pasangan kita telah pun buruk.

Contohnya kalau suami ada masalah dengan isteri, dia balik cerita keburukan isteri pada mak dia, walhal selepas dia pulang semula ke rumah, dia berbaik dengan isteri, tetapi di mata dan hati mertua, sudah meluat dengan menantu perempuannya tadi.

Oleh itu, bila dilanda krisis dalam rumahtangga, SABAR DAN BERTENANG SERTA CARI ALLAH DAHULU.

Seperti kata ustazah Norhafizah Musa dalam satu ceramahnya dahulu.

Bila mana pasangan kita buat silap, anak kita buat silap, atau mereka lukakan hati kita. Hal pertama yang kita kena buat ialah, SOLAT TAUBAT. Sebab ada kemungkinan ada 'bahagian' silap dan salah kita pada kesilapan mereka itu.
Allahu...

Cantik sangat pesanan ini.

Orang luar tidak faham 100% apa yang berlaku dalam sesebuah institusi rumahtangga. Oleh itu, sebagai orang luar pun, sekiranya ada yang mengadu hal rumahtangga atau terbaca kisah rumahtangga orang lain, jagalah tangan dan mulut dari komen sesuka hati berkaitan rumahtangga dan pasangan orang lain.

Jangan bongkak seolah kita takkan diuji. Boleh jadi kita cuma belum diuji dan juga bakal diuji selepas ini. Cukup penyataan ini sebagai peringatan.

Pasangan, anak-anak bukanlah hak mutlak kita. Mereka adalah milik Allah selamanya.

Jangan lupa untuk ingatkan diri, segala pengorbanan serta usaha untuk kita bahagiakan pasangan adalah semata-mata untuk mendapatkan redha Ilahi. InsyaAllah.

Ingatan untuk diri saya yang selalu lalai dan leka.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen