Elakkan Lakukan 7 Kesilapan Ini Ketika Berbuka Puasa.

Oleh: Zuzu Yasmine

Bulan Ramadhan ini adalah bulan menaha lapar dan dahaga. Namun itu tidak bermakna kita tidak boleh melakukan rutin harian kita seperti biasa malah berpuasa ini tidak akan mengganggu aktiviti harian. Dalam bulan puasa ini, waktu berbuka adalah waktu yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua orang.

Tidak hanya berkumpul dengan ahli keluarga mahupun sahabat andai, pelbagai jenis juadah yang terhidang pasti akan menaikkan selera sesiapa sahaja. Sudah letih, lapar dan dahaga berpuasa sepanjang hari pasti membuat anda begitu teruja untuk menikmati makanan. Namun, dalam keseronokan untuk berbuka puasa dan menjamu selera, terdapat beberapa kesilapan ketika berbuka puasa yang sering dilakukan tanpa sedar, yang akhirnya akan membawa mudarat kecil. Apakah antara kesilapan yang sering dilakukan ketika berbuka? Ikuti artikel ini.



Kesilapan ketika berbuka puasa

1. Makan secara gelojoh

Tidak dinafikan, ketika perut kosong dan anda berasa lapar, keinginan untuk makan pastinya membuak-buak. Tetapi, harus berhati-hati. Makan secara gelojoh adalah sangat tidak baik untuk perut anda menjadi kembung dan tidak selesa. Terdapat kajian mengatakan, makan secara cepat boleh meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit gastroesophageal reflux (GERD) atau refluks asid perut.

2. Minum air sejuk

Sememangnya apabila berpuasa pada cuaca yang panas, keinginan untuk minum minuman yang sejuk adalah sangat tinggi. Apatah lagi jika ianya adalah air manis dan berperisa. Namun, kebiasaan ini adalah tidak baik untuk sistem pencernaan. Ini kerana keadaan perut anda untuk seharian adalah kosong tanpa makanan mahupun minuman. Sebaliknya, memilih untuk meminum air suam kosong untuk berbuka puasa adalah yang terbaik sebelum anda mengambil sebarang minuman manis dan sejuk.



3. Makanan manis

Sewaktu berpuasa, tahap gula dalam darah berada pada tahap yang rendah, memandangkan anda tidak mengambil sebarang makanan atau minuman, yang akhirnya membuatkan badan terasa lemah. Tetapi sewaktu berbuka, dengan pengambilan pelbagai makanan dan minuman, menjadikan tahap gula dalam darah meningkat secara mendadak. Tetapi untuk kesihatan badan, anda dinasihatkan untuk tidak mengambil makanan atau minuman manis dalam jumlah yang tinggi untuk mengelakkan kejutan kepada badan. Makan dan minumlah secara bijak untuk memberikan peluang kepada tahap gula dalam darah untuk meningkat secara perlahan-lahan.

4. Makanan bergoreng

Pelbagai jenis makanan bergoreng sering menjadi pilihan ketika berbuka puasa. Tetapi kandungan minyak dalam makanan bergoreng adalah tidak baik bagi sistem pencernaan. Pengambilan makanan bergoreng sewaktu perut masih kosong meningkatkan risiko untuk perut menjadi kejang dan kembung, yang akhirnya menyukarkan sistem pencernaan untuk menghadam makanan tersebut.

5. Makan nasi

Nasi mungkin merupakan antara pilihan bagi kebanyakan individu ketika berbuka puasa. Ini mungkin ia sudah menjadi kebiasaan. Tetapi, pemilihan ini sebenarnya tidak begitu baik untuk sistem pencernaan. Seharian berpuasa, keadaan perut kosong dan memakan makanan berat seperti nasi membuatkan ia terpaksa berkerja keras. Ini boleh menyebabkan perut menjadi kembung, terasa pedih dan anda mungkin berasa mual. Sebaiknya, anda mungkin boleh memakan nasi atau sebarang makanan berat lain selepas 30 minit sehingga satu jam selepas berbuka puasa. Namun, seandainya anda tidak boleh dengan waktu tersebut, paling tidak, memadailah untuk anda menunggu sehingga selepas anda bersolat maghrib.

6. Makanan pedas

Bagi penggemar makanan pedas, pastinya anda tidak dapat menolak keinginan untuk memilih makanan pedas sewaktu berbuka. Walau bagaimanapun, keinginan anda itu adalah kurang baik untuk perut anda. pengambilan makanan pedas ketika berbuka puasa, pada waktu perut kosong, boleh mengakibatkan rasa tidak selesa pada perut dan berisiko untuk menyebabkan sakit perut atau cirit birit.



7. Kekenyangan

Kelaparan lawannya kekenyangan. Ada yang mengatakan, waktu berbuka adalah saat di mana anda boleh membalas dendam setelah seharian tidak makan mahupun minum. Berpuasa untuk selama hampir 12 jam atau lebih bagi sesetengah tempat, menyebabkan waktu berbuka adalah waktu untuk makan sepuas-puasnya sehingga kekenyangan. Hakikatnya, tabiat ini tidak baik untuk badan. Ia boleh mengakibatkan kejutan kepada perut dan sistem pencernaan yang boleh menyebabkan perut kembung dan tidak selesa. Malahan, dengan perut yang kekenyangan itu juga boleh menyebabkan anda malas untuk bersolat.

Kesimpulannya, walaupun seharian kita menahan lapar dan dahaga, tidak makan dan minum, adalah lebih baik untuk kita memilih untuk bersederhana dan ala kadar dalam berbuka. Bukanlah tujuan kita berpuasa untuk mengajar kita erti sabar.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen