Dulu-Dulu Wang Hantaran Ini Milik Bakal Isteri Untuk Membina Hidup Selepas Berkahwin, Bukannya Sebagai Belanja Majlis Perkahwinan.

Oleh: Zuzu Yasmine

Masuk topik bab hantaran dalam perkahwinan sahaja, mulalah orang lelaki garu-garu kepala yang tak gatal itu ataupun mula sengih macam kerang busuk. Mana tidaknya nak bantah nanti dikata tidak sayang kekasih tapi bila tak bantah diri itu tak punya wang yang mencukupi.

Kesian kita tengok orang-orang lelaki yang nak kahwin ini. Mereka ini selalunya berada dalam dilema nak buat pilihan, akhir sekali pilihan mereka adalah buat loan peribadi untuk wang hantaran yang mungkin akan habis bayar selepas miliki 5 orang anak.

Hantaran ini sebenarnya apa kegunaannya? Sekadar untuk berbelanja pada majlis belah perempuan sahaja ke?

Mari kita baca sedikit perkongsian dari Puan Farizal Radzali ini. Semoga kita dapat permudahkan urusan nikah kahwin ini.



Bila sebut pasal wang hantaran, banyak cerita mengenainya. Ada yang kata wang hantaran tak wajib, wang hantaran tinggi penyebab kesukaran pasangan berkahwin, wang hantaran kena ikut tahap bakal pengantin lelaki atau bakal pengantin perempuan, begitulah beginilah.

Ada juga ibu ayah sebelah perempuan, bila letak hantaran, mulalah mengira harga barangan untuk kenduri. Harga barang dah mahal la, nak sembelih lembu untuk kenduri la, saudara mara ramai la, belanja banyak nak pakai. Tahap paling mengarut saya pernah dengar, yang nak kahwin ni anak sulung, rumah kami dah teruk, kena betulkan bahagian dapur untuk buat kenduri. Haaa??? Saya garu kepala sekejap. Kenapa semua ni kena guna wang hantaran? Apa kena mengenanya? Kenapa pihak lelaki kena tanggung semua tu

Sebenarnya kan...

Dulu-dulu, pihak lelaki perlu bayar hantaran kepada pihak perempuan kerana bila rumahtangga dibina, isteri adalah bendahari dalam keluarga. Maka simboliknya, si suami akan beri wang belanja kepada isteri untuk keperluan keluarga mereka (selain nafkah khas untuk isteri). Dari sini perlu difahami, wang hantaran adalah milik bakal isteri untuk membina hidup selepas berkahwin, bukannya sebagai belanja kenduri di sebelah perempuan.

Sebab itu, wang hantaran perlu mengikut kemampuan bakal pengantin lelaki, bukan ditetapkan ikut gred perempuan. Kalau nak ikut gred perempuan, kerja kilang ke kerja doktor ke, harga barang tetap sama. Bukannya doktor beli harga lain, pekerja kilang beli harga lain pun.

Sebab tu wang hantaran telah jadi pemberat sebuah perkahwinan masa kini, kerana disalah erti & sikap ambil kesempatan di pihak perempuan.

Jenuhlah kat pihak lelaki, dia perlu sediakan belanja untuk wang hantaran yang digunakan untuk kenduri sebelah perempuan, belanja untuk kenduri sebelah lelaki lagi, nanti nak mulakan hidup lepas kahwin, kena cari belanja lagi. Itu yang buat perkahwinan nampak sukar.

Kenduri perempuan, sebelah perempuan yang tanggung. Kenduri lelaki, sebelah lelaki yang tanggung. Janganlah pulak bila rombongan pihak keluarga sebelah lelaki datang ke majlis sebelah perempuan, ada yang berbunyi "Aiii... hantaran sampai beribu riban, lauknya mcm ni je????" Ingat, wang hantaran bukan untuk kenduri, tapi adalah untuk pasangan pengantin baru ni mulakan hidup lepas berkahwin.

Melainkanlah pihak lelaki berkemampuan, bolehlah dia tanggung semua. Besar pahala dia. Dan pihak lelaki pun, bila pihak perempuan bertolak ansur, janganlah sampai wang hantaran dinafikan pemberiannya pula.

Tak mampu kenduri besar, buat ala kadar. Jangan ikut trend masa kini sangat. Rukun nikah tak pernah berubah, sama je dari dulu.

Yang paling penting adalah hidup lepas berkahwin sebab masih panjang yang perlu dilalui. Bukan pada hari majlis perkahwinan semata-mata. Memang benar, berkahwin sekali seumur hidup, perlu ada kenangan. Kenangan yang paling indah ialah bila segala urusan kita dipermudahkan & diredhai Allah swt.

Wallahu'alam.
Coretan Farizal Radzali

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen