Jangan Kecewa Kalau Ibadah Kita Tidak Sehebat Orang Lain, Pasangan Dan Anak-Anak Adalah Ladang Pahala.

Oleh: Zuzu Yasmine

Nak pertahankan hubungan ini sememangnya satu cabaran yang agak besar buat kedua pasangan suami isteri terutama jika masuk bulan puasa ini. Mana tidaknya, masing-masing sibuk menguruskan anak-anak, berkerja ataupun mencari rezeki lebih untuk memeriahkan hari raya nanti.

Ada yang kurang berkesempatan lakukan amal ibadah bersama pasangan kerana kekangan anak kecil. Kadang kala itu nak berbuka pun terpaksa bergilir-gilir. Cabaran rumahtangga ini sememangnya agak menguji keimanan dan kesabaran kadang kala. Tidak hanya itu, kita lihat pula pasangan lain bahagia menyambut puasa bersama-sama lakukan persiapan raya. Kita dan pasangan pula tidak sebegitu. Lagi bertambah terdetik dalam hati yang kecil itu.

Bulan Ramadhan ini sepatutnya bulan yang penuh cinta, nah buat anda kebahagiaan bersama, mari kita cuba fahami perkongsian dari Puan Intan Dzulkefli ini.



Tahun lepas, sebak dan terkejut mendengar berita beberapa kenalan bercerai menjelang Syawal. Saat kita merayakan musim raya dengan pasangan dan anak-anak, ada pasangan yang telah pun terlerai ikatannya.

Saya berpesan kepada diri sendiri dan semua yang membaca, jom kita ambil keberkatan dan kemuliaan bulan Ramadan ini untuk niatkan juga segala ibadah yang dilakukan bersama sebagai wasilah untuk menguatkan ikatan hati kita sesama suami isteri, banyakkan doa semoga Allah memelihara ikatan pernikahan kita, menjadikan kita pasangan yang soleh-solehah buat isteri/suami kita.

Sakinah mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga takkan wujud tanpa usaha, kerjasama dan doa kedua pihak suami dan isteri.

Ambil momen ini untuk muhasabah kembali ke mana hubungan suami isteri ini hendak dibawa. Ke syurga atau sebaliknya. Serta tak lupa mendoakan ampunan dan keredhaan Allah buat pasangan kita.

Ada beberapa hal yang 'simple' tetapi sebenarnya mampu menguatkan ikatan hati kita bersama pasangan sempena bulan mulia ini.

(+) Sebelum berbuka, ajak anak isteri duduk di meja, doa sama-sama, baca al-matsurat, suami baca doa Rabithah niatkan agar Allah tautkan hati kita sekeluarga atas iman dan taqwa

(+) Masuk waktu berbuka, jika berbuka puasa di rumah, jangan lupa untuk suapkan juga pasangan dengan senyuman. Sekali suap pun jadilah. Anak-anak yang melihat pun mesti sejuk hati melihat akhlak kita mereka melayani ibu/bapa mereka.

(+) Sesekali jika suami teringin hendak membawa anak isteri ke masjid untuk 'iftar' dan ceramah sempena Ramadan, pastikan yang perempuan menutup aurat sebaiknya sebelum meninggalkan pintu rumah.

(+) Satu hari dalam seminggu mungkin boleh diperuntukkan untuk sama-sama gotong royong menyiapkan juadah berbuka. Atau jika ada modal, masak lebih untuk disedekahkan kepada jiran.

(+) Jika anak-anak masih kecil dan belum memahami arahan untuk menghormati masjid dan jemaah, isteri redhakanlah suami pergi ke masjid. Banyak pahala bila isteri redha suami beribadah.

Suami yang berjemaah di masjid jangan berlengah-lengah pula untuk pulang ke rumah apabila selesai solat. Jangan alpa, suami juga perlu membantu isteri menguruskan anak-anak sementara si dia menguruskan diri dan emosinya. Beri ruang untuk isteri pula beribadah tanpa tangisan anak-anak.

Hanya ibubapa paling kenal keletah anak masing-masing. Bukan semua bayi adalah 'easy baby'. Suami yang bertoleransi pasti menyejukkan hati isteri, InsyaAllah.

(+) Set ibadah-goal sebagai rujukan suami isteri. Tidak terlalu 'advance' hingga sukar dicapai, tidak pula terlalu bersahaja hingga terlepas peluang memperbanyakkan akaun pahala di bulan kemuliaan ini.

(+) Sentiasa 'remind' pasangan tentang target yang ingin dicapai sepanjang Ramadan, seandainya kita lihat pasangan seakan lalai dan bermalasan untuk beribadah.

(+) Lebihkan masa dengan al-Quran. Tadarus bersama juga adalah penyubur kecintaan sesama pasangan. Al-Quran akan memberi syafaat dalam kubur dan di hari akhirat.

(+) Menjelang 10 malam terakhir, isteri galakkanlah suami untuk iktikaf di masjid. Serta jangan lupa berazam untuk sama-sama mengejar lailatul Qadr.

Fokuslah untuk meraih sebanyaknya kebaikan di bulan kemuliaan dan keampunan ini.

Pasangan kita, anak-anak kita adalah ladang pahala, jangan rasa kecewa dan kecil hati jika ibadah kita tak sehebat orang lain atas keterbatasan dan kekangan itu ini, insyaAllah moga Allah juga menerima segala amalan kita.

Atau sekiranya ketika membaca ini, terdetik di hati, "kenapa pasangan saya tak pernah ajak saya untuk buat semua ini?" apakata mulakan dengan istighfar dan berdoa agar Allah permudahkan kita untuk beribadah secara berjemaah dan bersatu hati dengan si dia.

Ya Allah, permudahkanlah...

InsyaAllah. Semoga Allah pelihara rumahtangga para suami dan isteri yang sentiasa bersungguh-sungguh ingin memperbaiki diri mereka dan ibadah mereka di mata Allah, amiin.

Syawal bukanlah tentang berpakaian cantik warna senada, tetapi sebenarnya yang memaknakannya apabila pasangan, anak-anak dan keluarga kita bertaut hati atas ketaqwaan kepada Allah.

InsyaAllah, moga Syawal nanti benar-benar diraih dengan fitrah. Amiin ❤️

Ramadan 5 1440H
5.50pm
10.5.2019

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen