Ibu Ayah Jangan Lupa Didik Anak Solat Dahulu Sebelum Paksa Mereka Untuk Berpuasa Penuh. Ikuti Perkongsian Ustaz Ini.

Bulan-bulan puasa ini pasti ramai ibu bapa yang mengalakkan anak-anak mereka untuk berpuasa penuh. Ada yang siap berjanji macam-macam kalau anak mereka ini mampu puasa penuh selama sebulan. Ada yang janji basikal barulah, ada yang janji duit raya banyaklah dan pelbagai lagi. Ada pula yang akan terus memaksa anak-anak untuk berpuasa sedangkan anak-anak kelihatan begitu tidak larat untuk meneruskan puasanya.

Dalam kita memaksa dan mendidik anak-anak untuk berpuasa itu, janganlah pula kita lupa untuk mendidik dan menjaga solat mereka. Ini kerana, solat merupakan tiang agama yang perlu dijaga malah ia juga akar kepada keimanan kita.

Sedikit perkongsian Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mungkin akan memberi manfaat kepada anda. Ibu ayah, didik anak jaga solat dahulu!



Saya teringat kepada peristiwa beberapa tahun lepas yang telah berlaku di sekolah kami.

Tamat sahaja kelas prasekolah jam 12.00 tengah hari, keluarlah anak-anak kecil pra kami dari kelas menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang. Mak dan ayah semua dah tunggu.

Dari dalam bilik, boleh dengar riuhnya suara budak-budak kecil ini bertanya kepada kawan masing-masing tentang puasa ke tidak.

Kami yang di dalam pejabat, melayan ajelah dengan melihat dan mendengar jawapan serta gelak ketawa sesama mereka.

Sedang kami perhati, lalulah di luar pintu pejabat kami seorang anak prasekolah. Berjalan perlahan dan duduk betul-betul depan pintu pejabat kami.

Muka dia sayu. Nampak macam menangis. Saya buka pintu dan bertanya,

"Kenapa awak ni? Ada orang usik ke?"

Dia menjawab dalam sedu "Nak minum air, nak minum air. Penat".

Kawan saya, Amirul pun datang menghampiri kami, lalu berkata "Lah minum ajelah. Pergi kat water cooler tu. Ambil air dan minum".

Budak tadi menjawab lagi "Mak tak kasi. Nanti mak marah. Mak cubit. Mak suruh puasa. Mak tak bagi minum. Tak nak minum. Tapi haus. Nak minum air, nak minum air".

Kasihan.

Kemudian datanglah kawan-kawan kami yang lain memujuk. Puas pujuk, dia tak nak juga. Akhirnya, kami sepakat bagi dia sebotol air mineral, paksa dia minum.

Saya gunakan nama saya dan bagitahu "Kalau mak tanya atau marah-marah cakap siapa suruh minum air ni, bagitahu mak, Ustaz Wan yang kasi minum".



Dia pun minumlah air tu. Adalah dalam 2-3 teguk. Tak nak dah. Bimbang sangat dia kalau-kalau maknya tahu.

Inilah yang kita alami sekarang. Mak dan ayah sibuk suruh anak berpuasa. Bangga sangat anak kecil mereka sudah boleh berpuasa penuh dan ada juga yang berbangga anaknya hanya tinggal beberapa hari sahaja tak berpuasa.

Habis satu kampung dijaja pasal anak kecilnya hebat berpuasa, dimasukkan juga berita tentang anaknya itu ke dalam grup whatsapp minta pujian.

Kalau anak yang tak puasa pula, siaplah diugutnya dengan berkata lebih kurang kalau tak puasa tak dapat beli baju raya, tak dapat duit raya, tak dapat main game dalam telefon dan macam-macam lagilah.

Kawan-kawan,

Sama ada kita mak atau ayah, guru, pengusaha tadika, pengasuh kepada anak-anak kecil ini, pastikanlah kita tak memaksa mereka berpuasa.

Kalau ya pun nak didik dan ajar anak-anak ini berpuasa, tidaklah perlu sampai menyeksa mereka. Tak pasal-pasal pahala yang kita patut dapat berganda di bulan mulia ini, hilang begitu sahaja

Bagi mak dan ayah, bekalkan anak dengan makanan dan minuman bila dihantar mereka ke sekolah, rumah pengasuh, tadika dan lain-lain tempat yang seumpamanya. Ini kerana memang banyak tempat kita hantar anak tu yang sibuk memaksa anak-anak kita berpuasa. Suruh anak kita puasa, dalam bilik dia ada bau maggi boleh aje kan.

Eh nak termembawang pula.

Anak-anak yang mampu berpuasa tanpa paksaan itu adalah bonus bagi mereka. Itu pun tetap kita kena tanya dia daya ke tidak untuk berpuasa. Yang tak mampu, yang tidak berpuasa, tiada masalah.



Didik anak dengan solat dahulu. Bila dia jaga solat, pandailah dia jaga semua tu.

Lihat mana keutamaan yang perlu kita buat kepada anak-anak dalam mendidik hal-hal agama kepada mereka.

Dahulu, Almarhum Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz dah sebut pasal ini. Boleh cari dalam Youtube atau mana-mana sumber dalam media sosial yang lain.

Pahala puasa kita tak akan terjejas apabila kita didik anak-anak dengan cara yang betul dan tidak menyeksa mereka dalam bab puasa.

Bayangkan, andai kita menongkah arus, memaksa mereka, menyeksa mereka dengan menyuruh berpuasa sampai habis, tak bagi mereka makan dan minum apabila lapar sedang mereka masih budak-budak, masih anak-anak kecil,agak-agak kita ini masih diberi ganjaran pahala atau tidak?

Semua dah besar panjang. Boleh berfikir secara waras. Tahu jawapannya.

WS Adli W Muhammad,
Didik anak dengan cara yang betul, bukan ikut membuta tuli.

Artikel Lain

Tinggalkan Komen