5 Tips Berbuka Puasa Dengan Cara Yang Sihat.

"Ada orang lepas berbuka puasa sahaja mesti perut senak. Nak jalan pun tak larat. Teruk betul..."

Apa jua kaedah untuk kita jaga kesihatan pada bulan puasa ini, perkara yang perlu kita utamakan adalah ketika berbuka puasa. Perlu lihat makanan apa yang kita makan, cara untuk mengawal kuantiti makanan, dan juga gaya pemakanan.

Jadi, untuk mengelakkan perut berasa senak selepas berbuka anda perlu lakukan 5 tips ini…

1. Minum air dan makanan ringan dahulu kira-kira 10 minit selepas waktu berbuka.

Dengan minum air dahulu dan makan makanan ringan selepas masuk waktu Maghrib sebenarnya dapat memberi ‘signal’ kepada otak bahawa perut sedang bersedia untuk menerima makanan. Ia juga dapat membezakan antara rasa dahaga atau rasa lapar yang sebenar.

Mengikut kajian, otak mengambil masa 20 minit untuk ‘menyedari’ bahawa perut anda telah kenyang. Maka dengan mengalas perut dengan makanan yang ringan dahulu ketika berbuka, ia dapat mengelakkan anda makan secara berlebihan.

2. Makan buah terlebih dahulu.

Oleh kerana terlalu lapar, anda terus menjamah makanan yang berat seperti nasi, mee goreng, murtabak dan sebagainya. Selepas minum air, anda sepatutnya makan makanan ringan dahulu seperti buah-buahan. Dengan makan buah terlebih dahulu, anda akan kurang minum air yang berlebihan yang menyebabkan perut kembung.

3. Kunyah makanan dengan perlahan.

Apabila sudah seharian perut kosong, tekak pula terasa kering dan dahaga, mudah sekali untuk kita ‘menyerang’ makanan yang ada di hadapan mata. Mengunyah makanan dengan perlahan dapat memberi masa kepada perut anda ‘mengembang’, menerima makanan dan juga untuk membuat anda berasa kenyang.

4. Ambil perhatian dengan perubahan badan anda.

Bagi mengawal perasaan ingin makan terlalu banyak apabila berbuka, apa kata anda ambil masa bertenang sebelum berbuka. Apabila anda mula menjamah kurma dan minum air, cuba perhatikan bagaimana perut anda bertindak balas.

Pasti setelah beberapa minit berlalu, perasaan yang tadinya lapar perlahan-lahan berkurang tanpa anda perlu makan banyak. Apabila anda mula makan makanan berat, rasakan pula bagaimana perut anda mula terisi dan apabila anda merasakan sedikit tekanan pada perut, maka itu adalah tanda perut anda sudah penuh dan anda perlu berhenti makan.

5. Jangan tidur terlalu lambat.

Kajian juga menunjukkan bahawa tidak mendapat tidur yang cukup juga boleh membuatkan seseorang makan lebih banyak. Kajian yang pernah dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa wanita yang tidak mendapat tidur yang cukup mengambil sebanyak 300 kalori lebih dalam sehari.

Jadi setelah anda melakukan solat sunat tarawih pada waktu malam, elakkan berjaga hingga larut malam. Rutin ini dapat membantu agar anda tidak makan terlalu banyak sewaktu berbuka.

Akhirnya, bulan Ramadan adalah bulan cabaran bagi mengekalkan produktiviti sekalipun berpuasa. Ramadan bertujuan untuk membaiki dan ‘refresh‘ semula rutin kita menjadi lebih baik.

Selamat Berpuasa!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen