Antara Kesan Menceraikan Isteri Ketika Sedang Hamil Dan Hukumnya Yang Perlu Anda Ketahui.

Oleh: Zuzu Yasmine

Netizen di Malaysia ini begitu sensitif dengan pasangan yang curang. Nak-nak lagi jika mereka itu telah bergelar suami atau isteri orang tetapi bermain kayu tiga di belakang pasangan. Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila seorang suami yang sanggup menceraikan isterinya hanya gara-gara ingin berkahwin dengan wanita lain. Perkara inilah yang akan menjadi topik perbualan yang begitu hangat di media sosial dan netizen tidak akan berhenti untuk memberi sebarang komen dan pendapat.

Sejak akhir-akhir ini, topik sebegini menjadi satu perbualan hangat yang sentiasa bermain di mulut-mulut nitezen. Jadi sebelum anda memberi komen akan isu ini dengan lebih dalam, apa kata kita fahami dahulu perkongsian dari Ustaz Farid Rashidi mengenai hukum menceraikan isteri ketika hamil dan kesan-kesannya.



Sehari dua ini kecoh pasal kes penceraian seseorang yang dikenali melalui program realiti TV. Mengikut sumber, dia menceraikan isterinya ketika mengandungkan anak pertama mereka.

Ramai juga netizen yang kecam sebab ceraikan isteri ketika mengandung dan mahu berkahwin lain. Allahu, kesian dengar.

Risau sangat takut jadi fitnah pada masyarakat apabila melibatkan agama.

Pun begitu, sebagai langkah berhati-hati saya tak mahu ulas panjang. Sebab tak tahu pun kisah sebenar macammana. Biarlah mahkamah selesaikan.

Yang salah tetaplah bersalah jika dibuktikan bersalah, tiada kompromi walaupun siapa dia.

Baik, di sini saya cuma nak respon berkaitan apakah sah menceraikan isteri ketika mengandung dan kesannya pada isteri.

Mari kita ikuti perbincangan ulama’ biar jelas dan jernih. Baca dengan tenang ya. Yang beremosi, ambil wudhuk dulu bagi rileks.



Hukum Menceraikan (Talak)

Mengikut pandangan majoriti ulama’, mereka mengharuskan talak isteri sewaktu dia sedang hamil.

Ini berdasarkan sebuah hadis berbunyi:


عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ طَلَّقَ امْرَأَتَهُ وَهِيَ حَائِضٌ فَذَكَرَ ذَلِكَ عُمَرُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مُرْهُ فَلْيُرَاجِعْهَا ثُمَّ لِيُطَلِّقْهَا طَاهِرًا أَوْ حَامِلًا
Dari Ibnu Umar r.a bahawa dia pernah menceraikan isterinya dalam keadaan haid. Kemudian Umar bin Khattab r.a menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi. Lantas beliau pun berkata kepada Umar bin Khattab r.a, “Perintahkanlah kepada dia (Ibnu Umar r.a) supaya dia kembali kepada isterinya, kemudian talaklah dia dalam keadaan dia suci atau hamil.”
[Hadis Sahih Muslim, no. 1471]


Berdasarkan hadis ini, telah dijelaskan dua hukum, iaitu haramnya talak sewaktu isteri sedang haid, dan harusnya talak sewaktu isteri sedang hamil.

Berikut beberapa pandangan ulama’ mengenainya:

1. Imam al-Nawawi sewaktu mensyarahkan hadis ini berkata, ia menjadi dalil keharusan talak sewaktu isteri sedang hamil yang jelas kehamilannya, dan ia merupakan pandangan mazhab Syafi’e.

Berkata Ibnul Mundzir, pandangan ini juga dipegang oleh majoriti ulama, antaranya Thawus, Al-Hasan, Ibnu Sirin, Rabiah, Hammad bin Abi Sulaiman, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Tsur, dan Abu Ubaid.

2. Ibnul Munzir turut menambah bahawa terdapat sebahagian ulama mazhab Maliki yang mengharamkannya, manakala Al-Hasan al-Basri memakruhkannya.
[Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/65. Salah satu qaul Imam Malik juga (Rujuk Al-Mudawwanah 2/4)]

Talak ketika isteri sedang hamil terletak di bawah kategori talak yang bukan Sunni, dan bukan Bid’ie. Maka hukumnya adalah harus. Hal ini kerana eddahnya tertakluk kepada kelahiran kandungan, bukan kepada haid.
[Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah 3/478, Syarh al-Zarqani ‘ala Mukhtasar al-Khalil 4/144, Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah 3/349, Bahr al-Mazhab 10/18, Manar al-Sabil fi Syarh al-Dalil 2/237 dan Al-Taqrirat al-Sadidah fil Masai’l al-Mufidah, hal. 92]

Justeru, pendapat yang dianggap kuat adalah pendapat majoriti ulama yang mengharuskan talak isteri yang sedang hamil. Dan eddah bagi wanita hamil yang ditalak adalah sehingga dia melahirkan kandungannya sebagaimana firman Allah SWT:


وَأُولاتُ الأحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ
“Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.”
[Surah al-Talaq 4]


Kalau ditinjau dari sudut perundangan, isteri yang diceraikan ketika dia sedang hamil dia juga layak mendapat hak-hak seperti perempuan yang diceraikan dengan talaq rajie. Hak-hak itu seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan apa-apa perbelanjaan lain yang patut.

Konklusinya, menurut majoriti ulama, bahawa hukum menceraikan isteri sewaktu dalam keadaan hamil ialah harus, tidak haram dan tidak juga makruh.

Namun begitu sebagai suami yang matang, fikirlah masak-masak sebelum bertindak kerana ia MEMBERI KESAN BESAR kepada isteri:

1. Emosi jadi tak baik kepada isteri. Mencederakan emosinya hingga boleh menyebabkan tekanan perasaan dan kemurungan.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad:

“Hampir semua wanita hamil akan mengalami perubahan emosi yang bercampur iaitu perasaan gembira kerana berjaya hamil dan pada masa sama berasa tertekan dan letih. Dalam tempoh itu, suami adalah individu paling penting yang perlu berkongsi susah senang dan melayani semua rungutan dan perubahan emosi itu.”

2. Terkesan kepada anak dalam kandungan. Jangan dibuat main, ini juga memberi kesan kepada anak di dalam kandungan.

Kajian daripada Clinical Obstetrics Gynecology menunjukkan bahawa strees yang berpanjangan saat hamil juga dapat meningkatkan risiko autisme, depresi, dan gangguan kognitif pada anak.

3. Menambah penderitaan dan kesusahan kepada isteri. Berat nak menanggungnya. Kasihanilah dia. Iyalah, bukan senang nak hadapi tekanan mental dan fizikal. Apalagi dengan berdepan dengan masyarakat dan buah mulut orang.

4. Memanjangkan waktu eddah isteri kalau baru mengandung, terus cerai. Tapi, jika suami itu bertimbang rasa dan mahu berbaik semula, ia memberi lebih masa untuk berfikir dan rujuk.

Apapun, sebagai lelaki bergelar suami sejati apa jua alasan perlulah bertindak secara rasional dan mengambil kira banyak aspek. Jangan terburu-buru mengikut emosi. Kesannya agak besar yang dialami khususnya pihak isteri. Ingat memori waktu mula-mula nak berkahwin, buat cara elok bukan?

Jika betul-betul mahu menyelesaikan masalah berkaitan undang-undang kekeluargaan Islam, terus bawa ke mahkamah Syariah.


Minta pandangan ahli mesyuarat tingkap, memang jadi nelayanlah. Ke laut jawabnya.

Mintalah nasihat mereka yang berkelayakkan dan berautoriti agar keputusannya lebih rasional dalam keadaan tenang.

Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan kesulitan mereka yang diuji. Hati-hati, jangan bangkitkan fitnah yang sedang tidur.

Sharelah tulisan ini, agar sama-sama dapat ambil iktibar dan manfaat khususnya para suami dan isteri.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen