"Wanita Terlebih Hormon Oestrogen Berisiko Menghidap Barah Dinding Rahim" - Prof Dr Imelda Balchin.

Oleh: Zuzu Yasmine

Masalah kesihatan ini tidak boleh dipandang ringan. Mana tidaknya, jika tidak segera dapatkan rawatan awal, ia mungkin akan memudaratkan tubuh badan sendiri. Sebab itu pentingnya lakukan pemeriksaan bulanan atau tahunan ini, dengan lakukan perkara ini anda dapat mencegah apa yang perlu dicegah.

Wanita sememangnya sangat menyayangi rahimnya, ini kerana ia adalah salah satu anugerah yang paling berharga buatnya. Namun hanya menyayanginya sahaja tidak mencukupi, ini kerana anda perlu menjaga serta memastikan rahim anda sihat dan dalam kedaan yang baik.

Menurut Profesor dan Konsultan Perbidanan dan Sakit Puan UM, Prof Dr Imelda Balchin, untuk kesihatan rahim wanita, keseimbangan hormon wanita itu penting.



Jelasnya, kalau terlebih hormon oestrogen ada risiko mendapat barah dinding rahim, iaitu endometrial cancer.

Oestrogen berlebihan juga ada kemungkinan boleh membesarkan fibroid, dan ada juga risiko sejenis barah payudara - iaitu oestrogen-receptor-positive breast cancer.

Sebab inilah pakar gynae tidak akan memberi wanita yang masih ada rahim, hormon oestrogen saja tanpa mengimbangkannya dengan hormon progestogen yang melindungi dinding rahim.



Salah satu fungsi hormon progesterone atau progestogen ialah menipiskan dinding rahim. Inilah kandungan pil perancang keluarga seperti progestogen-only-pill (POP) yang diambil setiap hari, suntikan perancang keluarga depo provera yang diambil setiap tiga bulan dan susuk implant untuk merancang keluarga yang ditukar setiap tiga tahun. Sebab itulah ramai wanita tiada haid bila menggunakan kaedah ini dan kami akan kata jangan bimbang jika haid menjadi sedikit saja atau tiada langsung bila menggunakan kaedah perancang keluarga progestogen.

Jika anda diberi pil combined oral contraception (COC, yang makan tiga minggu, rehat seminggu) yang bukan hanya digunakan sebagai kaedah perancang keluarga tetapi bagus untuk haid yang tidak teratur, iaitu ia boleh regulate period anda, pil ini ada oestrogen bersama progestogen. Disebabkan kandungan dos progestogen yang lebih tinggi dalam pil COC, ia telah terbukti mengurangkan risiko endometrial cancer.



Garis panduan perubatan yang diikuti oleh pakar gynae ialah tidak membahayakan pesakit wanita dengan memberi oestrogen saja kecuali

1) Pesakit sudah buang rahim atau hysterectomy

2) Hanya memberi oestrogen dalam bentuk krim yang berdos kecil (bukan pil)

Jika benar kacip fatimah mempunyai bahan yang bertindak sebagai oestrogen, maka ia juga boleh meransangkan risiko endometrial cancer kerana anda mengambil oestrogen saja dan tiada pantauan dari doktor gynae.

Sebab inilah saya mencari-cari apakah kajian perubatan yang membuktikan bahawa penggunaan kacip Fatimah tidak meningkatkan risiko barah endometrial cancer kepada wanita kita, jawapannya ialah tiada kajian.

Jadi saya tidak akan mengesyorkan pengambilan kacip Fatimah selagi tiada kajian membuktikan ia selamat.

Siapakah wanita lain, selain daripada wanita yang mengambil hormon oestrogen saja yang ada risiko mendapat endometrial cancer?

1) Mereka ialah wanita obese - kerana lemak yang berlebihan di dalam badan juga boleh membuat oestrogen dan ini boleh menyebabkan lebih masalah akibat oestrogen yang berlebihan dalam badan.

2) Wanita yang ada Diabetes atau tekanan darah tinggi - kerana ramai di kalangan mereka ada kelebihan lemak badan.

3) Wanita yang ada PCOS - kerana ramai diantara mereka tiada cukup hormon progesterone untuk memberi perlindungan kepada rahim, terutamanya jika haid tidak datang secara semulajadi (ini tidak sama dengan haid yang tidak datang sebab menggunakan kaedah merancang keluarga berhormon yang memberi perlindungan progestogen).

4) Wanita yang sudah menopos - kerana tiada lagi pengeluaran hormon progesterone yang melindungi rahim, tetapi masih ada sedikit oestrogen yang dibuat oleh lemak badan.



Wanita-wanita ini mesti lebih lagi berjaga-jaga mengelakkan pengambilan hormon oestrogen saja.

Sebab ini jugalah bersenam dengan kerap telah terbukti mengurangkan risiko barah payudara dan endometrial cancer. Kurangkanlah lemak badan anda melalui senaman.

Sebab ini juga saya akan menyarankan penggunaan pil COC kepada wanita yang ada PCOS, sebagai kaedah yang baik untuk merancang keluarga, untuk perlindungan rahim anda, selagi anda tiada masalah perubatan lain yang tidak sesuai dengan pil COC. Pil COC juga boleh digunakan oleh wanita PCOS yang ada masalah haid tidak teratur untuk regulate period anda, selagi anda belum bersedia untuk hamil, seperti wanita yang belum kahwin, juga untuk perlindungan rahim anda.

Jangan beli ubat sendiri. Berjumpa dengan doktor anda untuk masalah perubatan anda. Semoga ilmu pengetahuan ini bermanfaat kepada anda semua.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen