5 Cara Untuk Berbakti Kepada Ibu Bapa Walaupun Mereka Telah Meninggal Dunia.

Untuk membalas jasa kedua ibu bapa bagaikan tiada penghujungnya. Ada yang beranggapan hanya membalas jasa ketika mereka masih lagi hidup, namun sebenarnya perlu dilakukan walaupun mereka sudah meninggal dunia.

Dengan cara bagaimana? Ikuti 5 cara untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ini, walaupun mereka sudah meninggal dunia..

1. Menguruskan Jenazah Ibu Bapa.

Berapa ramai dikalangan anak-anak sudah mempelajari cara untuk uruskan jenazah? Ilmu ini penting kerana sebagai anak perlu ada sifat ambil berat pada jenazah kedua ibu bapa anda supaya tidak disebarkan aib oleh mereka yang tidak amanah. Pada masa kini, apa sahaja boleh berlaku, jadi, belajarlah pada mereka yang mahir untuk urusan jenazah ini. Penting!

2. Melunaskan Hutang Ibu Bapa.

Cara lain untuk berbakti kepada kedua ibu bapa ketika mereka tiada ialah untuk melunaskan hutang mereka. Jika terlalu banyak hutang yang ditinggalkan, mohon pada pihak yang boleh pertimbangkan hal ini. Sebagai umat Islam, harus mudahkan urusan orang lain demi kebaikan dunia dan akhirat.

Sebagaimana seperti hadith ini..

Seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”

Rasulullah menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi”

3. Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibu Bapa.

Sebagai anak juga perlu tahu apa rancangan atau janji yang mereka ingin lakukan selama ini. Maka laksanakan janji tersebut seperti hadith ini…

Jabir bin ‘Abd Allah RA menerangkan: Nabi SAW pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.” Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi SAW wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar (RA) memerintahkan seseorang menyeru:

“Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi SAW datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berjanji kepada aku sekian-sekian.”

Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham).

Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya” – (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya , no. 2296, hadis sahih)

Kisah tersebut menunjukkan bahawa janji yang pernah diberitahu Rasulullah dilunaskan ketika baginda telah wafat dan Saidina Abu Bakar sudah menjadi pemerintah.

4. Mendoakan Ibu Bapa.

Rasulullah SAW bersabda bahawa: Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya. (Dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya, no. 1631 – status hadis sahih)

Doa adalah penghubung yang paling dekat antara kita dan ibu bapa yang telah meninggal dunia. Tidak ada perkara lain lagi yang mereka perlukan setelah meninggal dunia melainkan kebaikan Tuhan hasil doa dan permohonan daripada anak-anak mereka.

Antara doa yang diajarkan di dalam Al-Quran ialah seperti berikut:

“Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’ 17:24)

5. Menghubungkan Silaturahim.

Walaupun ibu bapa anda telah meninggal dunia, ia bukan alasan untuk anda memutuskan hubungan silaturrahim dengan adik-beradik mereka, iaitu saudara mara anda juga. Sekiranya tidak rapat, berhubunglah melalui sosial media atau apa jua cara sekalipun. Tidak boleh juga bersikap sombong.

Semoga Bermanfaat!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen