Sebagai Anak Menantu, Pelihara Lidah Anda Daripada 8 Perkara Ini.

Untuk menjadi anak menantu yang baik, dengan tanggapan yang baik daripada keluarga mertua pasti tidak mudah untuk dilakukan. Buat salah, tak buat pun salah. Buat baik dikatakan bajet alim, buat salah dikatakan tidak pandai mengambil hati pula. Semuanya serba tidak kena, walaupun sudah menjadi diri sendiri.

Buatlah kebaikan, dan jadilah diri sendiri selagi anda tidak melakukan 8 perkara ini…

1. Berkata dusta.

Apabila berkata-kata denga ibu mertua mahupun bersama ipar duai, elakkan diri daripada berkata dusta walaupun dalam bergurau senda. Sekali anda mudah berdusta, pasti tabiat itu akan dilakukan berulang kali, kerana lidah sudah menjadi kebiasaan.

Oleh itu, jangan sesekali biasakan lidah anda untuk berdusta. Jika tidak suka melihat ibu mertua, atau ipar duai berdusta dengan diri anda, maka, jangan mulakan dengan diri sendiri.

2. Melanggar Janji.

Berhati-hati dalam berjanji apabila melibatkan dengan keluarga mertua ini. Ia bukan sahaja sikap yang menjelekkan, malahan orang di sekeliling mula berjauhan. Janji tidak ditepati, Janji Melayu dan pelbagai janji manis lagi.

Jangan berjanji jika tahu tidak berkemampuan untuk lakukan, seperti berjanji dengan keluarga mertua untuk bawa pergi melancong atau bercuti, namun anda bukanlah orang senang untuk lakukan aktiviti tersebut. Ia hanya omongan kosong dimana anda mengelak diri daripada diperkecilkan orang lain.

“Sesungguhnya, melanggar janji adalah salah satu tanda munafiq dan keburukan akhlak” –Imam Ghazali-

3. Mengumpat.

Memang seronok apabila melihat ipar duai bercerita dan bergossip, namun jangan libatkan diri anda pula dalam perbualan tersebut. Sekiranya empunya diri terdengar anda mengumpat tentang dia walaupun hal itu benar, ia jelas sekali kelihatan anda yang tetap bersalah dalam situasi begini.

Rasulullah SAW sendiri pernah menegur perbuatan Saidatina Aisyah R.anha:

Ada seorang wanita yang menemui ‘Aisyah RA.

Tatkala wanita itu hendak keluar, ‘Aisyah berisyarat pada Nabi SAW dengan tangannya untuk menunjukkan bahwa wanita tersebut pendek.

Nabi SAW lantas bersabda, “Engkau telah mengghibahnya.”

[HR. Ahmad 6: 136. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanad hadits ini sahih sesuai syarat Muslim]

Sudah jelas bahawa mengumpat atau dalam bahasa arabnya ghibah tidak semestinya dengan perkataan (lisan) sahaja, melalui isyarat juga boleh dikatakan mengumpat. Nauzubillah.

4. Perselisihan, Perdebatan, Dan Perbahasan Yang Negatif.

Sebagai anak menantu juga elakkan diri dari perbuatan atau percakapan yang boleh mendorong ke arah salah faham sehingga berlaku perbalahan dengan keluarga mertua. Elakkan juga berdebat tentang perkara yang sensitif terutamanya seperti topik politik dan agama, kerana masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza.

Walaupun kelihatan seperti “Alah, pendapat masing-masingkan tiada yang salah..”

Kita tidak tahu isi hati manusia ini. Dalam diam, mungkin berdendam walaupun hanya dengan topik politik atau agama sahaja.

5. Memuji Diri Sendiri.

Sebagaimana Allah SWT berfirman:

“…maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa” (Surah An-Najm: 32)

Mungkin kita selalu mendengar ayat sebegini, “Saya bukanlah nak kata diri saya baik…tapi…”. Ini sudah menunjukkan bahawa anda sebenarnya memuji diri sendiri dan mahu dipuji juga. Hati-hati, takut riak pula nanti.

6. Mencela Atau Mengutuk.

Ketika bujang mungkin anda sudah terbiasa mengata, mengumpat mahupun mengutuk orang yang dilihat bersama sahabat. Jika ini menjadi kebiasaan, pasti ia akan dilakukan ketika meluangkan masa bersama ipar duai juga. Elakkan daripada mencela dan mengutuk orang lain, walaupun bukan dikalangan kleuarga sendiri.

7. Berdoa Sesuatu Yang Buruk Untuk Orang Lain.

Sering ditindas dengan ibu/bapa mertua ataupun ipar duai? Jadi, anda sering doakan sesuatu yang buruk ke atas mereka, supaya dibalas dengan kecelakaan juga. JANGAN!

Serahkanlah urusan tersebut kepada Allah sahaja.

Yakinlah, bahawa doa orang yang dizalimi itu didengari. Dan tanpa mendoakan suatu yang buruk kepada orang lain pun, Allah tetap akan memberi balasan yang adil.

8. Mempersenda.

Lihat ipar duai memiliki pekerjaan yang tidak tinggi, mula mempersendakan mereka....

Lihat ipar duai tidak tinggi tahap pelajarannya, mula dipandang enteng pula....

Peliharalah lidah anda daripada mempersendakan orang lain lebih-lebih lagi dengan keluarga pasangan anda, kerana apabila sudah menjadi satu keluarga ia bakal rosakkan hubungan antara 2 keluarga. Hilang rasa hormat malah bakal menanam perasaan benci dalam hati.

Semoga Bermanfaat Dan Peliharalah Lidah Sendiri!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen