Marah Pada Anak? Ini Apa Yang Anda Perlu Lakukan

Oleh: Zuzu Yasmine

Anak-anak ini sememangnya akan menguji kesabaran setiap ibu bapa mereka. Tidak kiralah apabila mereka ini sudah dewasa ataupun masih lagi kanak-kanak, mereka ini akan sentiasa menguji ibu bapa mereka. Namun begitu, sebagai ibu bapa kita tidak boleh marah anak-anak dengan kerap sehingga bermasam muka dan hubungan menjadi renggang.

Setiap anak yang masih kecil semestinya mempunyai pelbagai karenahnya yang tersendiri. Kadangkala, perbuatan atau percakapan mereka akan membuat ibu bapa senang hati dengan kecomelan yang ditunjukkan. Kadangkala pula, kelakuan dan kata-kata mereka yang tidak menepati cita rasa pasti akan mengundang kemarahan ibu bapa.

Bayangkan jika anda baru pulang ke rumah setelah penat lelah seharian bekerja lalu mendapati rumah anda bersepah dengan permainan si kecil. Sudah pasti situasi seperti ini akan membuat anda menjadi marah lalu menyebabkan pertimbangan anda menjadi tidak terkawal.

Namun begitu, adakah anda perlu menyalurkan amarah anda ini kepada mereka dengan menengking, memukul atau menghukum mereka? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa yang anda perlu lakukan ketika sedang dihantui perasaan marah terhadap anak anda.



1. Tenangkan diri sendiri.

Perkara pertama yang perlu anda lakukan ketika sedang berasa marah adalah tenangkan diri. Ini dapat dilakukan dengan mengawal pernafasan anda. Caranya adalah tarik nafas sedalam mungkin dan hembus dengan perlahan-lahan. Ulangi teknik ini sehingga anda mulai berasa tenang. Selepas itu, baru mulakan perbincangan dengan anak anda.

2. Tetapkan batasan.

Kebiasaannya, kanak-kanak akan berkelakuan buruk akibat ibu bapa mereka tidak tetapkan batasan. Oleh itu, anda perlu beritahu kepada anak anda agar mengawal kelakuan atau anda mungkin akan memarahinya jika mereka masih berdegil. Sekiranya tidak membuahkan hasil, beri amaran dan ingatkan mereka bahawa tidak akan ada lagi amaran yang seterusnya.



3. Elakkan ancaman.

Ketika sedang marah, ibu bapa seringkali memberi ancaman yang tidak munasabah. Ancaman hanya akan berkesan jika anda melakukannya selepas itu. Ancaman kosong seperti akan meninggalkan anak di satu tempat hanya akan membuat mereka tidak lagi takut kepada anda dan hanya akan menganggap anda bermain-main dengan mereka.

4. Lakukan kiraan.

Bagi mengawal kemarahan anda dan kelakuan anak, anda boleh lakukan kiraan. Teknik ini boleh dilakukan apabila anda ingin meminta anak anda berhenti berkelakuan buruk atau melakukan sesuatu untuk anda. Sebagai contoh, teknik ini boleh dilakukan jika anda ingin menyuruh mereka mengemas kembali permainan yang disepahkan mereka.



5. Jangan menengking dan memukul.

Walaupun agak sukar, anda perlu mengawal perasaan anda daripada menengking dan memukul mereka. Kajian menunjukkan bahawa jika individu berusaha menggunakan bahasa dan nada yang tenang, ia akan mempengaruhi emosi individu serta memberi kesan kepada tindak balas individu lain. Penggunaan bahasa dan nada yang kesat dan negatif hanya akan memburukkan keadaan seterusnya mengakibatkan individu hilang sabar.

Ibu bapa yang hilang sabar dengan anak pula sering naik tangan dengan anak. Ini adalah tidak betul untuk dilakukan kerana ia hanya akan melukakan hati si kecil dan menyebabkan mereka hilang rasa hormat kepada anda. Ingat, anda perlu menjadi contoh yang baik buat mereka.

6. ‘Time-out’.

Ini merupakan salah satu cara mengawal kemarahan yang paling berkesan. Ketika dihantui kemarahan, apa yang anda perlu lakukan adalah beredar. Ini dapat mengurangkan risiko ibu bapa naik angin sehingga boleh menyebabkan kekerasan. Sesudah tenang, datang semula kepada anak untuk berbincang dengan mereka.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen