Anak Asyik Tergaru-Garu Tiap Masa, Kenali Punca Yang Menyumbang ke Arah Pembentukan Penyakit Eczema.

Oleh: Zuzu Yasmine

Kadang kala kesian tengok anak-anak yang tergaru-garu sepanjang masa. Ada kalanya sehingga berdarah kawasan yang digarunya itu. Itu belum lagi melihat kesan parut yang akan ditinggalkan selepas itu. Banyak anak-anak yang mengalami masalah gatal-gatal yang sangat teruk sehingga terpaksa sapu pelbagai jenis ubat gatal.

Tapi itulah, kebanyakan ibu bapa hanya memandang mudah sahaja apabila anak mengalami masalah ini. Ada yang beranggapan anak terlalu banyak bermain tanah di luar rumah ataupun terkena gigitan nyamuk. Kesian anak kecil itu, mereka tidak tahu untuk meminta bantuan bagaimana.

Menurut Dr. Huda, ada pelbagai punca yang menyumbang ke arah pembentukan penyakit eczema. Antaranya seperti sejarah keluarga ataupun menghidap penyakit atopic. Biasanya mereka yang mengalami eczema ini akan mempunyai masalah kulit kering, alahan dan radang.

Bagaimana nak menangani masalah ini, mari ikuti perkongsiannya di Medical Mythbusters Malaysia.



Dari jauh boleh nampak si anak yang berusia kira-kira 3 tahun itu tergaru-garu. Kulit di lengan dan kaki kering dan kasar serta kemerahan.



"Sila duduk puan, encik" saya mempersilakan ibu bapa pesakit duduk.

"Mungkin boleh pangku anak" saya mempelawa apabila melihat si anak malu-malu mahu duduk di kerusi pesakit.

"Jadi, klinik buat rujukan atas masalah kulit adik. Boleh mak ayah cerita sejak bila anak ada masalah kulit ni?" Saya memulakan pengambilan sejarah penyakit.

"Sejak dia baby lagi doktor. Dalam umur 3 bulan mula ada ruam, tergaru-garu. Pakai ubat sekejap hilang, kemudian dia mai balik"

"Ada apa-apa yang sebabkan gatal kulit itu makin teruk?"

"Kalau cuaca panas sangat, atau dia main berpeluh-peluh, dia akan jadi lagi teruk"

"Ada sesiapa dalam keluarga ada masalah kulit yang sama?"

"Tak ada doktor"

"Ada sesiapa dalam keluarga ada asthma, resdung, pagi-pagi bersin?"

"Saya doktor. Saya ada resdung, sekarang ada temujanji ENT" jawab si ayah.

"Apa punca penyakit ni doktor?"

"Ada makanan yang perlu kita elakkan?"

"Ada ubat yang boleh sembuhkan penyakit ini?"

Baik mak, ayah, mari saya terangkan.

Anak mak dan ayah menghidap eczema.

Ada pelbagai punca yang menyumbang ke arah pembentukan penyakit eczema.

Sejarah keluarga yang menghidap penyakit atopic (hypersensitive kepada faktor persekitaran seperti habuk, debu, panas, peluh). Penyakit-penyakit atopic termasuklah asthma dan resdung (allergic rhinitis)

Kulit pesakit eczema lebih kering berbanding kulit normal. Kulit mereka tidak 'memegang' lembapan dengan baik seperti kulit normal. Lembapan mudah tersejat dan menjadikan kulit tersebut kering dan gatal.

Kulit pesakit eczema juga mengalami radang/inflamasi. Radang tersebut dimanifestasi sebagai kemerahan dan kegatalan di permukaan kulit.

Kebanyakan pesakit bukan alah kepada makanan. Mereka sensitif kepada persekitaran seperti habuk, debu, perubahan cuaca dan sebagainya.



Tidak ada SATU saja punca khas yang boleh dielakkan untuk menyembuhkan penyakit eczema. Tidak ada SATU ubat yang boleh sembuhkan terus penyakit ini.

Kata kuncinya KAWAL. Dengan rawatan yang betul, kita boleh kawal penyakit ini daripada menjadi teruk.
Kita kena rawat tiga punca di atas. KERING. RADANG. ALAHAN.

i. KULIT KERING.

Mak ayah, jangan pakaikan sabun antibakteria untuk anak. Sabun antibakteria boleh mengeringkan kulit, membuatkan kulit bertambah gatal.

Cukup guna sabun untuk bayi. Atau kalau mahu, gunakan sabun khas untuk kulit sensitif yang dijual di farmasi-farmasi.

Pelembap sangat penting. Sapukan pelembap pada kulit sekurang-kurangnya 3 kali sehari, lebih kalau kulit sangat kering.

Walaupun kulit tak merah dan gatal, pelembap wajib digunakan setiap hari untuk mengelakkan kulit kering kembali

ii. RADANG.

Ubat yang biasa kita guna untuk radang adalah ubat sapuan yang mengandungi steroid.

Mak ayah jangan risau bila dengar perkataan 'steroid', kita sesuaikan jenis steroid dengan jenis kulit dan keadaan penyakit.

Yang penting steroid digunakan dengan pemantauan daripada doktor.

Ubat steroid hanya digunakan ketika kulit gatal atau timbul ruam, kecuali jika diarahkan oleh doktor. Jangan gunakan lebih daripada frekuensi yang diarahkan dan jangan gunakan di kawasan yang tidak dikhususkan.

Jika doktor kata krim ini hanya untuk bahagian muka, gunakan di muka sahaja. Jika hanya di badan, jangan sapu di muka. Kerana ketebalan kulit berlainan di bahagian tubuh yang berlainan. Penggunaan steroid secara melulu akan membawa kesan buruk kepada kulit

iii. ALAHAN/ALERGI.

Kulit pesakit eczema ini sensitif. Kulit pesakit eczema akan bertindakbalas kepada elemen-elemen yang tidak memberi kesan kepada kulit normal seperti habuk, debu, peluh, cuaca panas dan sebagainya.

Kurangkan pendedahan kepada elemen-elemen yang menyebabkan eczema mengganas. Sekiranya terdedah kepada habuk dan peluh, cepat-cepat lap peluh dan cuci habuk tersebut.

Elakkan mainan/karpet yang berbulu-bulu serta minimakan sentuhan dengan binatang berbulu seperti kucing.

Boleh gunakan penghawa dingin untuk menyamankan suhu bilik tetapi jangan dipasang suhu yang terlalu sejuk kerana boleh menyebabkan kekeringan dan radang. Disyorkan suhu 23 darjah celcius ke atas.

Ini asas penjagaan kulit bagi pesakit eczema. Eczema mempunyai banyak 'wajah', setiap 'wajah' ada rawatan tertentu.

Yang penting mak ayah mesti ikut arahan rawatan untuk mengawal penyakit ini.

Ingat, tiada satu ubat ajaib untuk penyakit eczema!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen