Hukum Solat Di Masjid Yang Jauh Dari Tempat Tinggal? Ikuti Soal Jawab Ini.

SOALAN:

Assalamualaikum pada waktu subuh saya pergi menunaikan solat ke masjid yang jauhnya lebih kurang 6KM dan meninggalkan surau di tempat saya. Adakah salah perbuatan saya ini? Terima kasih.

JAWAPAN:

1. Kelebihan mengimarahkan Masjid.

Allah SWT berfirman:

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.” (Surah At-Taubah: 18)

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya:

“Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan”.

2. Keperluan Mengimarahkan Masjid Dan Kelebihan Mengerjakan Solat Jemaah.

Mengerjakan solat di tempat yang mempunyai ramai jemaah dan jauh perjalanan adalah lebih besar ganjarannya.

Ini seperti yang dinyatakan di dalam hadis daripada Abi Musa Al-Asya’ri RA Sabda Nabi SAW:

“Manusia paling besar ganjaran pahalanya di dalam solat adalah yang paling jauh perjalannya, kemudian yang lebih jauh jaraknya. Dan seseorang yang menunggu solat sehingga melakukannya bersama imam lebih besar pahalanya daripada yang melakukannya (bersendirian) kemudian tidur.”

(Riwayat Imam Al-Bukhari: 651)

Imam Al-Shaukani dalam mensyarahkan hadis di atas semakin jauh jarak perjalan dari rumahnya ke masjid adalah lebih afdhal berbanding jarak rumah yang berdekatan dengannya.

Begitu juga dengan hadis yang menceritakan tentang kelebihan melakukan solat secara berjemaah.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA Sabda Nabi SAW:

“Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.”

(Riwayat Imam Muslim: 650)

Di dalam konteks untuk menentukan keperluan mengimarahkan masjid Imam Al-Syirazi menyebut di dalam kitabnya:

“Sekiranya berdekatan dengannya terdapat masjid yang kurang jemaahnya maka lebih baik menghadirinya bertujuan untuk meramaikan jemaah daripada menghadiri ke masjid yang mempunyai ramai jamaah. “

Begitu juga Imam Nawawi di dalam kitab beliau mengariskan beberapa panduan sepertimana yang dinukilkan di dalam kitabnya:

Lebih afdhal sekiranya mengimarahkan masjid yang jauh dan ramai jemaahnya berbanding dengan masjid yang berdekatan dan kurang jemaahnya melainkan dalam dua perkara:

  • Sekiranya untuk mendamaikan permusuhan di antara jemaah dengan imam atau sekiranya ia hadir ke masjid maka orang ramai akan hadir dengan keberadaannya. Oleh itu sebaiknya hadir ke masjid yang berdekatan dengannya bertujuan untuk mengimarahkannya.
  • Adapun afdhal hadir ke masjid yang lebih dekat sekiranya masjid yang jauh itu berimamkan orang yang sesat, fasik dan tidak mengambil berat tentang rukun solat.

Begitu juga Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menukilkan tentang keperluan untuk menghidupkan masjid atau surau yang lebih memerlukan seperti yang dinyatakan:

“Sekiranya sekitar tempatnya atau di tempat yang lain terdapat masjid yang tidak mempunyai jamaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama. Ini bertujuan mengimarahkan dan mendirikan jamaah di dalamnya.”

KESIMPULAN:

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan di atas dengan melihat kepada nas dan dalil yang didatangkan seharusnya kita meneliti keadaan dan situasi masjid dan surau tersebut. Ia juga dapat dibahagikan kepada beberapa situasi:

  • Sekiranya surau yang berdekatan dengan rumah itu sudah mempunyai jemaah yang ramai maka afdhal menunaikan solat di masjid.
  • Sekiranya surau yang berdekatan itu tidak mempunyai jemaah yang ramai dan memerlukan kepada pengimarahannya maka sebaiknya menunaikan solat di surau.

Oleh itu sebaik-baiknya kita meraikan kedua-dua tempat dengan menggilirkannya sekiranya surau yang berdekatan itu sudah mempunyai jamaah yang ramai. Ini kerana bagi mendapatkan kelebihan ganjaran pahala melakukan solat di masjid serta dapat mengimarahkan surau yang berdekatan dengannya. Namun sekiranya surau yang berdekatan itu tidak mempunyai jamaah yang ramai maka sebaiknya kita dapat mengimarahkan dan menghidupkannya.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen