Bagaimana Untuk Menzahirkan Rasa Syukur Kepada Ilahi? Ikuti Penjelasan Ini.

Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya.

Bersyukur adalah diperintahkan oleh Tuhan. Allah SWT berfirman:

"Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah al-Nahl (114))

Untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT adalah dengan cara berikut:

HENDAKLAH MEMUJI ALLAH SWT DI ATAS SEGALA NIKMAT YANG TELAH DIKURNIAKAN.

Ini sepertimana ungkapan Nabi Allah Sulaiman AS:

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.” (Surah al-Naml (40))

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Dhuha:

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya."

Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini berkata:

“Sebarkanlah apa yang Allah SWt kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiraf nikmat tersebut adalah satu bentuk kesyukuran.”

LAKUKANLAH AMALAN-AMALAN SEBAGAI SATU BENTUK DAN TANDA KESYUKURAN.

Allah SWT berfirman:

"Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!" (Surah Saba’ (13))

Ibn Kathir berkata:

"Iaitu, Kami katakan kepada mereka: "Beramallah kamu sebagai tanda bersyukur atas segala nikmat yang diberikan kepada kamu dalam agama dan dunia. Perkataan adalah masdar yang bukan dari fi'il atau ia adalah dalam bentuk maf'ul lahu Atas asas kedua-dua taqdir tersebut, menunjukkan bahawa syukur boleh dilakukan dengan perbuatan serta perkataan dan niat."

Abu Abd al-Rahman al-Hubuli berkata:

“Solat adalah syukur, puasa adalah syukur dan setiap kebaikan yang dikerjakan kerana Allah SWT adalah syukur. Seafdhal-afhal syukur adalah pujian.”

Beliau dan Ibnu Abi Hatim meriwayatkan bahawa Muhammad bin Ka'ab al-Qurazhi berkata:

“Syukur adalah takwa kepada Allah SWT dan beramal soleh.” Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan perbuatan. Demikian juga keluarga Daud AS, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan."

Rasulullah SAW bersabda:

“Solat yang paling dicintai oleh Allah adalah solat Nabi Daud AS. Puasa yang paling dicintai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud AS. Beliau tidur setengah malam, kemudian bangun (solat) sepertiga malam dan tidur lagi seperenam malam. Beliau berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari (secara berselang seli)."

[Riwayat al-Bukhari (1131) dan Muslim (1159)]

BANGUN MENUNAIKAN SOLAT MALAM.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW berdiri solat (malam) sehingga pecah kedua kaki Baginda.

Lalu beliau bertanya kepada Baginda SAW: “Kenapa engkau lakukan ini, hai Rasulullah? Bukankah Allah SWT telah mengampunkan dosamu yang telah lalu dan akan datang?

Lalu Baginda SAW menjawab:

“Wahai Aisyah! Tidakkah engkau menyukai aku menjadi hamba yang bersyukur.”

[Riwayat al-Bukhari (4837)]

Akhir kalam, marilah kita melazimi dengan berdoa sepertimana doa Nabi Allah Sulaiman AS:

Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (Surah al-Naml (19))

Semoga Allah SWT menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang bersyukur.

Amin.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen