Nenek Mana Yang Akan Tolak Untuk Menjaganya Cucu-Cucunya, Tapi Sebagai Anak Ini Janganlah Pula Ambil Kesempatan.

Oleh: Zuzu Yasmine

Mak-mak kita ini sememangnya tidak akan pernah menolak sekiranya diminta untuk menjaga cucu-cucunya. Lagi lah mereka suka kerana di kampung hanya tinggal mereka suami isteri sahaja, maka rumah akan sunyi. Jadi apabila cucu tinggal bersama mereka, barulah kembali ceria rumah tersebut. Lagi pun nenek dan datuk mana yang tak sayang akan cucu mereka.

Nak-nak lagi kini pelbagai kejadian berlaku dari perbuatan pengasuh menyebabkan ibu bapa banyak yang trauma untuk menghantar anak mereka di bawah penjagaan orang lain. Itu yang mula minta ibu bapa di kampung untuk menjaga anak.

Nenek dan datuk di kampung pula, niat untuk membantu kerana risau jika berlaku apa-apa yang tidak ingini pada cucu mereka, tapi sebaliknya pula berlaku. Kebaikan yang mereka berikan itu, diambil pergunakan oleh anak mereka dengan mengambil kesempatan ke atasnya.

Sampai satu tahap, ibu bapa di kampung sudah tak larat nak kejar cucu, sudah mula sakit-sakit lutut dan mula menghidap darah tinggi dan kencing manis. Anak pula, masih lagi serahkan semua pada ibu bapa.

Satu kisah benar yang dikongsikan oleh Husna Adnan, mengenai kesihatan seorang nenek yang menjaga cucu-cucunya. Semoga kita dapat manfaat da
ri perkongsian ini.



Tiap kali sakit, kami sering berjumpa dengan dua tiga doktor sekitar Kajang ini. Salah seorangnya Dr. Nizam (bukan nama sebenar).

Baru-baru ini beliau dikunjungi pesakit berusia 60-an, seorang pesara kerajaan. Sudah lima enam tahun juga jadi pesakit tetapnya di situ.

Selama menjadi pesakit, rekod kesihatan puan ini tahap terkawal. Tiada kencing manis, tiada darah tinggi. Cuma perlu pantau kolesterol.

Tiba-tiba hari itu, Dr. Nizam terkejut.

"Darah tinggi juga ni, 150/90."

Beliau bertanya, "Ada jaga cucu?"

Pesara tadi mengangguk.

Dr. Nizam juga mengangguk. "Saya boleh jangka, sebab beberapa pesakit saya yang dulu tak ada penyakit, bila darah tinggi macam ini, semuanya sama faktor; sebab jaga cucu."

                        

Berapa ramai antara kita yang menghantar anak-anak ke rumah ibu bapa sebagai pengganti pengasuh?

Sama ada anak-anak dijaga oleh ibu bapa atas permintaan mereka sendiri kerana risaukan keadaan cucu-cucu, mahupun terpaksa kerana tiada pilihan sama ada tiada pengasuh yang diyakini ataupun tiada bajet ... tidaklah saya hakimi kerana tiap kita tidak sama situasi.

Walau bagaimanapun, ini satu kisah yang membuka mata.

Dr. Nizam menyambung, "Dulu kita muda, kita sihat, boleh tahan tekanan. Tapi makin berusia, beginilah Puan. Jaga cucu pun boleh tension, sampai naik darah tinggi.

"Sebab itu saya nasihatkan pesakit saya, jika terpaksa jaga cucu, jaga ala kadar sahaja. Jangan terlalu stress sampai pening, sakit sendi, sampai mudarat kepada diri sendiri.

"Ada peluang, pergilah travel. Keluar dari rumah. Cucu-cucu itu biar anak kita uruskan. Mak bapak mereka kan ada."
Ya kan?

Ibu bapa kita, ada masa tidak sampai hati nak berterus terang dengan anak-anak. Faham anak-anak ini sedang mengukuhkan ekonomi. Sibuk, tak tertangan.

Namun jangan sampai kita butakan mata akan kepenatan orang tua kita, biar pun mereka tidak mengadu mengeluh hiba. Kita yang muda ini jaga anak sendiri pun dah naik hantu, inikan pula yang tidak berapa berkudrat.

Apabila situasi memaksa, ada beberapa cara bagi mengurangkan kepenatan ibu bapa.

1) Belikan barang dapur.

Ada orang, sekadar hulur duit. Syukur masih hulur duit. Tapi dengan usia ibu bapa, adalah lebih baik kita sendiri belikan barangan dapur dan penuhkan peti ais di rumah ibu bapa dengan kaki tangan kita sendiri. Jangan bebani ibu bapa sampai mereka pula perlu berjinjit beg plastik dengan ikan ayam sayuran buahan.

2) Masakkan lauk. Kurang-kurang masak nasi, hantar terus dengan periuk canggih kita. Nak makan, tinggal panaskan saja.

3) Sebelum sampai rumah, makan siap-siap di luar jika sempat. Jangan balik terus angkat tudung saji mengharap mak masakkan tiap hari. Biarlah waktu lewat petang dan malam itu, waktu mereka berehat dan beribadah.

4) Jika balik awal, mandikan anak-anak sendiri. Kembali uruskan anak-anak sejurus tiba di rumah. Kita penat, ibu bapa kita lebih penat. Mereka penat sejak kita dilahirkan. Bayangkan berapa puluh tahun punya penat tu.

5) Hujung minggu, manjakan ibu bapa. Goyong-royong bersihkan rumah mereka, panggil tukang urut / tukang bekam / home facial / home saloon. Duduk mendengar cerita mereka sepanjang kita sibuk bekerja.

Ada banyak lagi cara supaya ibu bapa kita yang dah penat jagakan cucu-cucu tadi, rasa lebih dihargai dan tidak terlalu terbeban.

Dan apabila emosi mak ayah kita turun naik, jangan kita pun sama melantun. Merajuk sampai tak hantar dah cucu-cucu jenguk nenek dan atuk. Fahamilah betapa mereka juga penat.

Kita kalau penat, bagaimana?

Dan apa perasaan kita, apabila anak-anak kita dikata punca mak ayah kita yang selama ini sihat, akhirnya disahkan darah tinggi?

Tidakkah tuan puan berasa sesuatu?

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen