Bolehkah Mahkamah Menetapkan Kadar Mas Kahwin Yang Munasabah? Jom Ikuti Soal Jawab Ini.

SOALAN:

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Uruf mas kahwin di Malaysia tidak mahal tetapi adat perkahwinan meminta mas kahwin yang mahal. Bolehkah pihak mahkamah atau mereka yang berautoriti dalam agama menetapkan kadar mas kahwin yang munasabah?

JAWAPAN:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebagaimana yang kami nyatakan, mas kahwin adalah wajib dengan nas-nasnya, makanya menetapkan kadar mas kahwin ini telah dibahaskan oleh ulama’. Kami nukilkan daripada guru kami, Syeikh Mustafa Khin dan rakan-rakannya berkata:

Mas kahwin tidak mempunyai kadar minimum dan maksimumnya. Setiap sesuatu yang dinamakan harta atau boleh ditukar dengan harta, boleh dijadikan mas kahwin sama ada sedikit atau banyak, tunai atau hutang, atau sesuatu yang bermanfaat, seperti kain, sejadah, wang, tempat kediaman atau mengajar sesuatu kemahiran.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

"Dan dihalalkan bagi kamu selain yang demikian (iaitu) mencari isteri-isteri dengan hartamu".(Surah al-Nisa’: 24)

Ayat ini hanya menyebut harta (المال) semata-mata tanpa menetapkan kadar yang tertentu.

Begitu juga, hadith Rasulullah SAW bersabda:

“Engkau berikanlah perempuan itu walaupun sebentuk cincin besi.” [Riwayat al-Bukhari (4741) dan Muslim (1425)]

Dan hadith yang lain, daripada Amir bin Rabi’ah RA, katanya:

“Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwinnya, seperti kasut. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Adakah kamu redha dengan mendapat sepasang kasut sebagai mas kahwin?” Perempuan itu menjawab: “Ya!” Lalu Baginda membenarkannya.” [Riwayat al-Tirmizi (1113)]

Allah SWT berfirman:

"Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun." (Surah al-Nisa’: 20)

Ayat ini menjelaskan bahawa suami harus memberikan isterinya harta yang banyak. Hal ini menunjukkan bahawa tiada had maksimum bagi pemberian mas kahwin terhadap isteri.

Walaupun begitu, mas kahwin tersebut sunat hukumnya, tidak kurang daripada 10 Dirham bagi mengelakkan percanggahan Mazhab Hanafi yang mewajibkannya.

Begitu juga sunat tidak melebihi 500 Dirham berdasarkan mas kahwin anak-anak perempuan dan isteri Rasulullah SAW.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Umar bin al-Khattab, katanya:

“Janganlah kamu berlebihan memberi mas kahwin kepada perempuan. Sekiranya mas kahwin sebagai penghormatan di dunia ataupun tanda taqwa di akhirat, nescaya Rasulullah SAW menentukan kadarnya lebih mahal daripada kamu. Baginda tidak pernah memberikan isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya mas kahwin melebihi 12 uqiyyah.”

[Riwayat Ahmad (1114)]

Satu uqiyyah bersamaan 40 dirham. Oleh itu, 12 uqiyyah ialah 480 dirham. Kadar ini bersamaan dengan 2 ½ kali ganda nisab zakat bagi perak. Ia berbeza-beza mengikut matawang sesebuah negara dan nilaiannya. 

Berdasarkan kenyataan di atas seperti yang dihasratkan oleh Saidina Umar, adalah dibolehkan bagi pihak pemerintah berdasarkan maslahat dan maqasid perkahwinan itu sendiri. Walaupun begitu, perundingan dan persetujuan dari pihak isteri perlu diambil kira agar ia tidaklah dibuat dengan sewenang-wenangnya. Kisah seorang perempuan yang membaca nas Ilahi kepada Saidina Umar adalah salah satu daripada jawapan bahawa perlunya keredaan daripada pihak isteri.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan ibubapa atau wali agar mempermudahkan urusan perkahwinan anak perempuan apabila wujudnya kufu’ dan mempunyai agama serta akhlak. Ini akan menatijahkan rasa kebahagiaan dari semua pihak yang akhirnya dapat menzahirkan baiti jannati yang menjadi idaman semua pasangan hidup.

Kami akhiri dengan berdoa kepada Allah sepertimana yang diajar:

"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”(Surah al-Furqan: 74)

Semoga Bermanfaat!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen