Luahan Suami Yang Buat Isteri Menangis.

Diari buat isteriku,

Setiap pasangan suami isteri pasti mendambakan keluarga yang bahagia dan harmoni meskipun adakalanya terpaksa berhadapan dengan masalah dan dugaan. Dengan komunikasi dan persefahaman yang baik dapat meminimakan masalah dalam rumah tangga. Walaupun pencetus masalah dalam rumah tangga adalah berpunca daripada suami, isteri mahupun orang ketiga.



Tindakan ini bukan bermaksud untuk membuka pekung di dada atau mencari salah pasangan, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu merungkai pelbagai persoalan yang timbul. Sekiranya ada yang berpendapat berdiam diri itu lebih baik kerana tidak mahu menyakiti hati dan merendahkan maruah pasangan, maka tiada salahnya untuk berbuat demikian. Namun andai kata dengan komunikasi boleh memberikan kesan yang positif, maka berbincanglah secara lembut dan halus tanpa menyakiti hati sesiapa. Sama ada melalui lisan mahupun tulisan. Semoga dengan tindakan anda ini, akan dapat membuatkan diri sendiri dan pasangan berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya.



Sebagaimana ingatan dan tulisan dari seorang suami buat isterinya yang tercinta di bawah ini. Luahan hati dan teguran yang digarap dengan rasa cinta akan dapat merubah pasangannya menjadi isteri yang lebih sempurna baik di dunia mahupun di akhirat. Suami yang mencintai isterinya akan cuba berusaha untuk membuktikan apa yang tersimpan di dalam lubuk hatinya. Tanda kasih dan cinta itu tidak hanya dalam bentuk hadiah, bahkan boleh diserlahkan melalui perhatian dan tingkah laku. Namun, tanda cinta yang begitu menyentuh dan begitu memberikan impak dalam perhubungan adalah tanda cinta berbentuk 'perhatian'. Ia begitu istimewa dan tidak boleh dibeli di mana-mana kedai, dan pusat membeli belah, meskipun anda seorang yang kaya raya. Maka berbahagialah wahai wanita yang ditakdirkan memiliki seorang suami yang kaya dengan kasih sayang dan perhatian. Sebagaimana mendapat perhatian tersebut. Sebagaimana bahagianya sang istri yang telah mendapat tulisan dibawah ini dari sang terkasih. Semoga dari diary ini boleh dijadikan renungan buat para isteri yang ingin menambahkan amal dalam mengharungi bahtera rumah tangga.



Dairi seorang suami buat isterinya yang tercinta.

Isteriku tercinta, tintaku ini sebagai bukti cintaku padamu dan keredaanku memperisterikanmu. Dalam hatiku berkata, inilah wanita yang boleh menjadi ibu kepada anak-anakku. Dan inilah mawaddah dan sakinah, inilah raihanah rumahku. Aku bimbing tanganmu bersama-sama mengharungi samudera dalam rumahtangga, menuju ke pantai yang penuh kedamaian di sisi Ar Rabb Ar Rahman. Akan tetapi, di tengah perjalanan kita terpaksa mengharungi badai dan ribut taufan yang bertiup kencang. Andai kata kita tidak sehati dan bersama, nescaya bahtera yang kita bina kan hancur dan musnah. Namun, dalam hatiku kuat mengatakan, kita akan tetap bersama walau apa jua dugaan yang melanda. Aku tidak akan membiarkan bahtera kebahagiaan kita karam di landa badai. Lantas, atas rasa cinta dan kasihku yang kuat buatmu isteriku, lembaran kertas ini menjadi saksi bertapa agungnya cintaku padamu. Lalu ku tulis teguran halus ini dari seorang kekasih kepada kekasih.

  • Isteriku tercinta tidakkah kau ingat pada awal pernikahan kita dahulu, kaulah lambang kecantikan buatku. Namun kini, aku seolah tidak mengerti mengapa kini kau tidak lagi seperti dahulu. Adakah kau lupa sayangku, salah satu sifat wanita solehah adalah, menggembirakan hati suami saat memandangnya.
  • Sayangku, tidakkah kau ingat, berulang kali kau ungkiti jasamu padaku, menyebut-nyebut kewajiban rumahtangga yang telah engkau lakukan untukku, serta layanan yang telah engkau berikan buat tetamu-tetamuku. Namun sebenarnya kau lupa dengan firman Allah SWT, 'Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima).' (Al Baqarah: 264)
  • Tidakkah engkau ingat wahai kekasihku, janji-janji yang pernah kita ikat bersama di awal pernikahan kita? Kita bersama berikrar untuk membentuk dan mendidik anak-anak kita dengan pendidikan islami, namun realitinya kita sama-sama hanyut di dalam arus kemodenan.
  • Sayangku, berulang kali kamu merungut, tidak qana'ah (puas) dengan rezeki yang telah Allah berikan kepada kita. Haruskah aku mencari rezeki yang haram demi memenuhi keinginanmu sayang? Apakah engkau sudah lupa kisah wanita yang berkata kepada suaminya: 'Bertaqwalah engkau kepada Allah dalam memperlakukan kami, sungguh kami boleh menahan lapar namun kami tidak akan sabar menanggung panasnya api neraka.'
  • Ingatkah dirimu di saat aku bangun dari tidurku di bahagian akhir malam, ku dapati kau sedang asyik menonton filem dan muzik. Bukankah lebih baik engkau berzikir mengingati Allah dan mengerjakan solat malam dua rakaat sementara jiran-jiran kita sedang asyik dibuai mimpi. Atau adakah lebih baik kau tidur lebih awal agar mudah untuk bangun menunaikan solat Subuh?
  • Sayangku, ingatkah dirimu ketika engkau keluar dari rumah tanpa keizinanku untuk mengunjungi keluargamu dan ketika engkau membawa temanmu ke dalam rumahmu sedangkan aku telah melarangmu kerana ia hakku?
  • Kekasihku, ingatkah dirimu ketika kau menunjukkan muka masammu ketika keluarga dan teman-temanku datang ke rumah kita? Kau hidangkan mereka makanan yang lazat dan istimewa, namun ia tidak bererti buatku kerana wajahmu tidak menunjukkan keikhlasanmu.

Sayangku, aku senantiasa mengatakan kepadamu dengan sepenuh hatiku bahawa aku mencintaimu. Aku berharap kita bersama-sama dapat meraih reda Allah. Barangkali aku juga banyak melakukan kesalahan dan mengabaikan hakmu. Dan barangkali aku tidak menyedari kekuranganku dalam melaksanakan kewajibanku terhadapmu, juga menjaga perasaanmu. Aku bermohon agar kau balas tintaku ini, dan luahkanlah apa yang terdetik di dalam hatimu. Bukankah kita berdua adalah satu? Sama-sama berbahagia di dunia dan juga di akhirat.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen