3 Situasi Ini Seorang Isteri Boleh Lakukan Tuntutan Harta Sepencarian.

Oleh: Zuzu Yasmine

Harta selalu menjadi punca bermasam muka, pertelingkahan ataupun pergaduhan di antara adik-beradik, suami isteri dan seisi keluarga. Untuk mengelakkan pergaduhan seperti ini, pembahagian harta melalui ilmu faraid adalah lebih adil. Dalam faraid ini, setiap seorang ahli keluarga bagi si mati akan memiliki bahagian di dalam hartanya.

Apabila seseorang meninggal dunia, perkara utama yang diuruskan adalah pengurusan pengebumian. Kemudian perkara yang penting dan menyebabkan harta nilai berbillion beku di Amanah Raya adalah pengurusan harta pusaka.



Sudah pasti harta pusaka ini melalui Faraid.

Sebelum membahagikan harta, apa yang perlu kita tahu ada beberapa ‘pemotong’ yang perlu dilalui oleh harta pusaka.

1. Pembayaran mengenai urusan pengebumian. Ini hanya terhad kepada upah berkaitan urusan pengebumian. Kenduri-kendara atau pemberian hadiah kepada tetamu yang hadir perlu dari poket waris sendiri – tidak dibenarkan menggunakan harta pusaka untuk perbelanjaan ini.

2. Urusan hutang-piutang; kereta, rumah, hutang kepada bank seperti pinjaman peribadi dan pinjaman dari rakan-rakan.

3. Urusan percukaian yang tertunggak atau zakat yang masih belum diselesaikan.

4. Waris juga perlu tahu, samada ketika hidup arwah ada meng-hibahkan harta tertentu kepada insan tertentu. Sudah pasti, harta dihibahkan tidak boleh difaraidkan. Juga, pastikan perjanjian hibah itu mempunyai dokumen hitam dan putih.

5. Adakah harta sepencarian dimiliki bersama isterinya; misalnya rumah, hartanah tertentu, kenderaan dan simpanan tertentu?

6. Bagaimana dengan wasiat, adakah arwah telah mewasiatkan 1/3 dari harta untuk tujuan tertentu.

Setelah kesemua ini diketahui dan diselesaikan, barulah harta pusaka itu di Faraidkan.

Faraid sebenarnya adalah ilmu paling luas. Kalau tahu ilmu Faraid, insha Allah akan tahu ilmu-ilmu berkaitan sebelum Faraid.

Hari ini saya akan sentuh mengenai Harta Sepencarian.

                        

Harta Sepencarian (Matrimonial Assets)

Harta sepencarian adalah harta pemerolehan sepanjang perkahwinan, ia meliputi harta alih (wang tunai dan kenderaan) dan harta tak alih (rumah, tanah, saham). Sumbangan ini tidak tertakluk secara langsung tapi melibatkan sumbangan secara tak langsung.

Kebanyakkan penuntut harta sepencarian adalah dari pihak perempuan. Tuntutan ini dibenarkan sebagai melindungi hak isteri. Harta sepencarian ini dibenarkan dalam perundangan Syariah Malaysia.


Kedudukan Tuntutan Harta Sepencarian dalam Islam.


Konsep harta sepencarian adalah konsep berasalah dari Adat Melayu dan pastinya, tidak bertentangan dengan syarak. Jadi ia boleh diterima pakai.

Menurut E-Muamalat, kaedah fiqh yang diakui sebagai hukum dan uruf (custom / adat) itu diiktibarkan oleh syarak. Ianya bersandarkan pada Masalih al-Mursalah. Objektifnya, tuntutan harta sepencarian memelihara kemaslahatan atau kepentingan kedua-dua pihak dalam memelihara harta.

Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang, Perak, Selangor, Perlis dan Kelantan mendefinisikan harta sepencarian sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.

Firman Allah:

“ Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan ” ( Surah An-Nisa’ : 32 )

Maksudnya disini, sesuatu uruf (custom / adat) apabila diperakui baik dan sesuai oleh undang undang kedudukannya, maka ia menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Ini juga dijelaskan dalam hadis;

“Apa-apa yang dipandang baik oleh orang Islam baik juga di sisi Allah dan perkara yang dilihat buruk oleh orang Islam maka demikian juga di sisi Allah.” (Riwayat Abu Daud)

Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) negeri Selangor telah memutuskan fatwa dan telah diwartakan pada 23 Jun 2005 bahawa;

                        

Harta sepencarian selepas kematian boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungjawab si mati.

I. Persetujuan pembahagian dibuat melalui perintah mahkamah.

II. Kadar Tuntutan Harta Sepencarian


Tuntutan ini perlulah dibuat barulah harta sepencarian itu boleh dibahagikan.

Ada beberapa situasi tuntutan harta sepencarian ini berlaku.

i. Apabila berlaku penceraian – bila berlaku penceraian, isteri tidak menuntut sebarang harta dari suaminya kecuali harta sepencarian.

ii. Apabila berlaku kematian – satu cara isteri hendak mendapat lebih daripada 1/8, katakan 50% ialah melalui tuntutan harta sepencarian di mahkamah.

iii. Apabila berlaku poligami – ini penting apabila, isteri pertama akan merasakan kedudukannya terancam. Suami mungkin lebih menyayangi isteri kedua dan akan membahagi harta kepada isteri kedua dan melupakan isteri pertama.

Kadarnya bukan ditentukan oleh isteri itu sendiri, ia adalah kadar yang ditetapkan oleh Hakim di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Syariah. Kebiasaanya kadar tersebut berlegar-legar di antara 1/2 atau 1/3 dan boleh berubah mengikut prosiding dan proses pendengaran di mahkamah.

Proses tuntutan sebenarnya mudah. Tapi proses tuntutan ini melibatkan emosi, jadi apabila melibatkan emosi prosesnya menjadi agak sukar. Ianya proses melibatkan pembuktian. Adakalanya melibatkan masa yang panjang, penangguhan oleh mahkamah (akibat bukti tidak cukup) ataupun saksi tidak hadir.

Oleh itu sebaik-baiknya dalam perbincangan harta pusaka, suami dan isteri perlulah melakukan Deklarasi Harta Sepencarian. Ia satu dokumen perjanjian bersama antara suami isteri untuk menyatakan pembahagian tertentu yang dipersetujui bersama dalam memberikan hak kepada mereka terhadap satu-satu harta.

Ianya boleh dilakukan melalui badan-badan tertentu yang menyediakan perkhidmatan sedemikan.


Kebaikan Mempunyai Deklarasi Harta Sepencarian.


1. Dengan menandatangani Deklarasi Harta Sepencarian masalah yang mungkin timbul akibat tuntutan Harta Sepencarian dapat diatasi .

2. Aset tidak termasuk dalam pembahagian mengikut Faraid.

3. Kedua-dua pihak boleh membuat keputusan dan bersetuju dengan pembahagian masing-masing

4. Hak suami isteri sentiasa dilindungi sepertimana yang dipersetujui di dalam deklarasi tanpa pertelingkahan .

5. Proses pembahagian yang cepat tanpa perlu membuat tuntutan ke mahkamah.

6. Menjimatkan kos tanpa perlu ke mahkamah untuk membuktikan sumbangan kedua-dua pihak.

7. Memudahkan dan memberi keselesaan kerana kehendak semua pihak telah dipenuhi.


Cara mengendalikan harta pusaka adalah ilmu yang wajib dipelajari.


Jika anda tidak melakukan perkara ini, sebaik-baiknya buatlah Hibah Takaful sebagai instrumen urus pusaka. Jika tidak, cepat-cepatlah urus harta sepencarian dengan membuat Deklarasi Harta Sepencarian.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen