Antara Ciri-Ciri Sebuah Keluarga Sakinah, Ada Dalam Keluarga Anda?

Oleh: Zuzu Yasmine

Sebuah keluarga yang bahagia adalah apabila suami dan isteri lebih suka untuk tinggal di rumah berbanding meluangkan masa di luar. Antara tanda yang boleh kita lihat adalah seperti suami dan isteri tersebut ingin terus pulang ke rumah apabila selesai berkerja. Bahkan mereka ini juga tidak suka menghabiskan banyak masa di luar rumah dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Hal ini kerana, mereka merasakan bahawa rumah tersebut adalah satu ketenangan bagi mereka, bahkan mereka juga boleh menseleskan emosi mereka ketika berada di rumah mereka. Ia sangat berlainan dengan keluarga yang kurang bahagia, mereka akan merasakan isi rumah itu adalah beban malah merasakan bahawa rumah itu bukan tempat yang tenang.

Setiap pasangan yang berkahwin pasti mendambakan sebuah keluarga yang bahagia. Tanggungjawab suami dan isteri perlu dijalankan dengan sempurna agar keharmonian rumah tangga terjamin. Berikut adalah ciri-ciri keluarga Sakinah.



1. Komunikasi yang berkesan.

Komunikasi adalah elemen paling penting dalam sesebuah perhubungan. Dalam sebuah keluarga adalah amat penting untuk mengetahui cara-cara berbicara dan berhubung yang efektif. Terutamanya antara suami dan isteri.
Ini kerana seringkali terjadi perbalahan gara-gara salah cara atau tidak memahami bahasa isyarat yang diberikan oleh pasangan. Untuk itu, gunakan masa yang berkualiti untuk berhadapan dan berbicara dari hati ke hati mengenai diri masing-masing.

Antara suami dengan isteri, bapa dengan anak mahupun ibu dengan anak. Jangan pandang remeh ada kekuatan komunikasi yang berkesan. Inilah kunci rumahtangga bahagia yang paling utama.

2. Berusaha sebaik mungkin untuk menjalankan tanggungjawab dengan sempurna disamping berusaha menerima kekurangan.

Setiap pasangan mesti berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarganya.

Ini kerana, kita perlu sedar, apabila masuk ke alam perkahwinan, tanggungjawab yang dipikul akan semakin bertambah. Apatah lagi apabila dikurniakan anak.

Pada masa yang sama, jangan sesekali merendah-rendahkan kekurangan pasangan anda. Ingat, anda juga mempunyai kekurangan. Sekiranya si dia boleh menerima anda seadanya, mengapa tidak anda? Perkara ini penting sebagai langkah mewujudkan keluarga bahagia yang harmoni.


3. Banyakkan aktiviti bersama yang akan mengeratkan lagi hubungan.

Hari ini, jarang sekali kita melihat isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Desakan ekonomi yang semakin mencengkam memerlukan sekurangnya dua sumber pendapatan untuk menyara hidup sebuah keluarga, lebih-lebih jika tinggal di tengah Bandar.

Disebabkan hal itu, banyak masa yang dihabiskan bersama rakan sekerja atau di pejabat berbanding dengan keluarga di rumah. Perkara ini secara tidak langsung akan membuatkan perasaan cinta dan kasih sayang sesama ahli keluarga semakin pudar. Oleh itu, suami atau bapa sebagai ketua keluarga perlu menyusun masa keluarga agar dapat beraktiviti bersama dengan lebih kerap.

Walaubagaimanapun, kepentingan keluarga bahagia harus menjadi keutamaan setiap ahlinya, bukan hanya terletak pada bahu suami atau bapa.

4. Tunjukkan teladan yang baik.

Suami menunjukkan contoh yang baik kepada isteri. Begitu juga isteri. Dan ibubapa pula lebih utama untuk menjadi role model kepada anak-anak. Ini kerana, ibubapa lah hero pertama yang ada dalam hidup anak-anak.
Kepimpinan melalui tauladan.

Sebagai contoh, seorang bapa yang menyuruh anaknya membasuh pinggan dan cawan setiap kali selepas makan, tetapi si bapa sendiri meninggalkannya selepas selesai makan.

Bagaimana anak-anak mahu mendengar kata-kata bapa mereka?

Begitu juga adalah amat digalakkan ibubapa untuk melakukan amal soleh dan ibadah agar dapat dilihat oleh anak-anak. Bukan bertujuan untuk riak dan menunjuk, tetapi sebagai inspirasi kepada anak-anak. Sebagai contoh, bacalah AlQuran di ruang tamu atau berikan anak-anak duit untuk mereka sedekahkan ke dalam tabung masjid.

5. Mendekatkan diri kepada Allah.

Ini adalah petua rumahtangga bahagia yang mesti diutamakan. Kerana Allah lah yang akan mencampakkan rasa bahagia dan tenang dalam hati setiap ahli keluarga. Anak-anak dari kecil lagi harus diperkenalkan mengenai Allah dan Islam. Cari bahasa yang mudah agar mereka mudah faham.

Ceritakan kepentingan mengetahui adanya Pencipta yang mencipta manusia. Semakin anak-anak meningkat dewasa, secara berperingkat ubah cara pendidikan anak untuk mengenal dan mengamalkan Islam.

Suami terutamanya harus berperanan menjalankan tanggungjawab ini. Menegur isteri jika ada buat kesilapan, pada masa yang sama sentiasa terbuka apabila ditegur oleh isteri pula. Jadikan solat berjemaah di rumah sebagai rutin agar hati setiap ahli keluarga dipertautkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Rahsia kebahagiaan rumahtangga Muslim terletak pada bagaimana kita mengendalikan keluarga kita mengikut syariat Allah.

Secara ringkas inilah ciri-ciri atau rahsia bagaimana mendapatkan keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. Ingat, kebahagiaan yang dicari bukan sekadar di dunia, tetapi yang lebih utama adalah di akhirat.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen