Ketahui Pentingnya Vaksin Pada Anak-Anak Anda.

Oleh: Zuzu Yasmine

Isu mengenai vaksin ini sentiasa akan menjadi topik hangat buat ibu bapa di luar sana. Ada yang menolak untuk anak mereka divaksinkan dan ada juga yang tidak menolak untuk anak mereka divaksinkan. Bukan sekadar ibu bapa sahaja, malah tadika-tadika swasta juga kini mula menyediakan satu borang pengakuan mengenai vaksin ini.

Kenapa vaksin ini ditolak oleh sesetengah orang? Sesetengah pendapat menyatakan bahawa vaksin ini adalah salah satu punca kepada penyakit kanser. Bukan itu sahaja, ada juga yang menyatakan bahawa vaksin ini diperbuat daripada barangan yang haram di sisi agama Islam.

Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa vaksin ini mampu melindungi diri seseorang itu dari mudah terkena penyakit yang berjangkit seperti kanser pangkal rahim, demam campak, tibi, dan lain-lain lagi.



Vaksin itu apa sebenarnya?

Vaksin merupakan satu bahan kimia yang mengandungi antigen. Antigen ini diperolehi daripada sebahagian mahupun keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dilemahkan atau dimatikan. Mutakhir ini, kebanyakan vaksin disatukan dalam bentuk kombinasi. Beberapa jenis vaksin digabungkan menjadi satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan atau imuniti daripada penyakit-penyakit ini dengan hanya satu suntikan sahaja.

Menurut pakar pediatrik, suntikan vaksin atau vaksinasi merupakan cara paling efektif untuk melindungi anak-anak daripada pelbagai jenis penyakit berjangkit yang boleh membawa kematian. Prosedur ini merupakan cara yang paling mudah, selamat dan berkesan untuk membentuk imuniti dalam tubuh anak-anak sekaligus melindungi mereka daripada pelbagai jenis jangkitan penyakit berbahaya.


Mengapa vaksinasi penting kepada bayi dan kanak-kanak?

1. Tubuh badan kanak-kanak tidak mampu untuk melawan penyakit.

Badan kanak-kanak adalah sangat lemah dan masih belum mempunyai sebarang imuniti di dalam badan. Imuniti semula jadi dalam badan kanak-kanak hanya akan dibentuk sejurus anak anda mendapat sesuatu penyakit dan sembuh daripadanya. Proses ini sangat berisiko dan kadang-kadang boleh membawa maut. Oleh itu, suntikan vaksin pada seawal usia anak anda merupakan cara terbaik bagi mengelakkan mereka menderita penyakit tersebut kelak.

2. Anak anda yang masih kecil sangat mudah dijangkiti penyakit.

Anak-anak yang masih kecil mempunyai sistem imun yang sangat lemah kerana sistem imun mereka belum lagi berkembang sepenuhnya. Oleh itu, suntikan vaksin sangat membantu dalam pengembangan sistem imun lantas menguatkannya. Program Imunisasi Kebangsaan (jadual imunisasi kanak-kanak) menyarankan kanak-kanak diberi suntikan vaksin seawal kelahiran lagi untuk memastikan mereka selamat dari segala kemungkinan penyakit.

3. Anak anda masih berisiko mendapat penyakit meskipun kelihatan sihat.

Anda tidak boleh menilai tahap kesihatan anak anda berdasarkan luaran sahaja. Meskipun kelihatan sihat dan kuat, penyakit-penyakit berbahaya boleh menyerang mereka bila-bila masa sahaja. Oleh itu sebagai tindakan berjaga-jaga, ibu bapa seharusnya memastikan anak mereka mendapatkan suntikan vaksin seawal usia lagi bagi menjamin kesihatan anak sepanjang mereka membesar kelak.

4. Perlindungan imuniti yang diperolehi daripada ibu tidak mencukupi.

Pada beberapa minggu terakhir kehamilan, ibu mampu memindahkan imuniti yang berbentuk antibodi-antibodi dalam badan mereka kepada anak dalam kandungan mereka. Namun begitu, proses ini hanya boleh berlaku sekiranya ibu tersebut pernah dijangkiti sesuatu penyakit dan sembuh daripadanya lantas menghasilkan imuniti. Imuniti ini juga boleh dipindahkan melalui susu ibu. Walau bagaimanapun imuniti ini hanya bersifat sementara kerana imuniti ini bukan dihasilkan oleh anak tersebut.

5. Merupakan cara paling efektif melindungi anak daripada serangan penyakit.

Suntikan vaksin ini merupakan cara paling efektif kerana mencegah lebih baik daripada mengubati penyakit. Selain itu juga, vaksin turut berfungsi baik bersama dengan ubat-ubatan global lain contohnya antibiotik dan tidak mempunyai kesan sampingan yang lain.

Sentiasa peka untuk ambil dos penggalak dari masa ke semasa.

Imuniti yang terdapat dalam badan anak anda akan berkurangan dan lemah dari masa ke semasa. Oleh itu, berwaspada dan sentiasa peka dengan waktu yang sesuai untuk mengambil dos penggalak. Ini bertujuan untuk merangsang kembali sistem imun yang sedia ada dalam badan agar lebih efektif.

Tuntasnya, suntikan vaksin merupakan cara yang paling mudah, selamat dan efektif dalam usaha menangani serangan penyakit berjangkit yang berbahaya. Oleh itu, ibu bapa diingatkan untuk peka dan mengambil peduli tentang setiap suntikan vaksin yang boleh didapati di mana-mana pusat perubatan demi menjamin kesihatan anak-anak.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen