Lelaki Memakai Emas Putih, Apa Hukumnya? Ikuti Penjelasan Ini.

Oleh: Zuzu Yasmine

Seorang lelaki yang beragama Islam haram memakai barangan yang berunsur emas, tidak kiralah cincin, rantai mahupun gelang. Banyak yang beranggapan bahawa emas itu hanya berwarna kuning sahaja, tetapi emas juga mempunyai warna putih. Telah menjadi adat perkahwinan, selesai sahaja akad nikah maka sesi untuk membatalkan air wuduk antara pasangan pengantin, pada ketika itu suami akan menyarungkan cincin kepada isterinya manakala, si isteri akan menyarungkan cincin berwarna putih kepada suaminya itu.

Yang menjadi kekeliruan adalah, seseorang lelaki itu memakai emas putih, adakah ia sama hukumnya dengan emas kuning ataupun ia dibolehkan? Mari ikuti soal jawap di bawah ini.



Soalan:

Apakah hukum seorang lelaki memakai cincin emas putih? Adakah hukumnya sama dengan emas kuning yang biasa?


Jawapan:


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Memakai cincin emas bagi lelaki bahkan pengharamannya jelas melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA:

                                                    أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.
Riwayat Muslim (2089)

Berkenaan dengan hukum lelaki memakai emas putih, maka ada sedikit perincian yang perlu dilakukan.

Emas putih merupakan satu bahan yang terhasil daripada campuran dua unsur logam iaitu emas dengan salah satu logam putih (white metal) iaitu nikel, manganese dan palladium.[1]

Formulasi yang biasa digunakan dalam menghasilkan emas putih ialah campuran emas kuning dan dialoikan dengan nikel, dengan nisbah 90% emas dan 10% nikel.[2]



Asalnya, tidak ada satu bahan yang dinamakan emas putih, yang ada hanyalah satu campuran antara emas dan bahan logam yang lain yang membentuk emas yang telah berubah warnanya dan tidak lagi berwarna kekuningan.


Maka hukum lelaki memakai emas putih ini yang disaluti dengan platinum, atau dicampur dengan bahan seperti zink, perak dan tembaga, maka hukumnya adalah haram. Adapun jika yang dimaksud emas putih adalah platinum, maka tidak mengapa bagi lelaki untuk memakainya kerana ia tidak mempunyai unsur emas.

Hal ini berdasarkan kaedah:

                                       إذا اجتَمَع الحلالُ والحرامُ غُلِّبَ الحرام
Maksudnya: Apabila berkumpul perkara halal dan haram maka perkara haram akan lebih menguasai. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Imam al-Suyuti Rahimahullah hal. 105)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 juga telah membincangkan Hukum Lelaki Memakai Emas Putih, dan Muzakarah telah memutuskan bahawa haram memakai emas putih ke atas golongan lelaki.

Begitu juga ahli Fatwa Lajnah al-Da’imah Arab Saudi juga telah memfatwakan pengharaman cincin emas putih ke atas lelaki. (Rujuk Fatwa Al-Lajnah al-Da’imah, nombor fatwa 21867, 24/67)

Wallahu a’lam.



[1] https://www.wikiwand.com/en/Colored_gold#/White_gold

[2] Emsley, John (2003) Nature's building blocks: an A-Z guide to the elements, Oxford University Press, hal. 168

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen