Kaum Wanita Perlu Tahu Batasan Jika Dalam Tempoh ‘Iddah.

Perkataan ‘iddah’ adalah sinonim dengan penceraian, sama ada cerai hidup atau cerai mati. Iddah hanya dikenakan kepada golongan wanita sahaja bagi tujuan memuliakan wanita Islam itu sendiri.

Iddah adalah bertujuan untuk mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang baharu (akan) dikahwininya.

Selain itu, iddah juga merupakan tempoh dalam memberi ruang kepada pasangan untuk berfikir dan menilai semula segala kesilapan serta tindakan mereka, seterusnya membuka peluang untuk mereka rujuk dan berbaik semula.

Sebab wajib iddah terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

  • Perceraian pasangan semasa hidup
  • Kematian suami

Setiap bahagian iddah tersebut mempunyai pengiraan tersendiri yang akan menentukan tempoh iddah seseorang wanita tersebut.

Pengiraan iddah terbahagi kepada tiga iaitu:

  • Iddah dengan kiraan suci (quru’)
  • Iddah dengan kiraan bulan
  • Iddah dengan kelahiran atau keguguran kandungan

BATASAN HUKUM TALAK RAJ’IE

Talak raj’e ialah talak yang memberi hak kepada suami untuk kembali rujuk kepada isterinya selagi dalam tempoh iddah

1. Tidak boleh menerima pinangan lelaki ajnabi. Hukumnya adalah haram.

2. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Perkahwinan dalam tempoh tersebut adalah tidak sah.

3. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali diizinkan suami.

4. Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal. Suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan kecuali jika terdapat kemudaratan. Suami juga wajib menanggung semua nafkah isteri termasuk tempat tinggal. Firman Allah s.w.t:

“Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.” (Surah al-Talak:1)

5. Tidak boleh berkabung. Sebaliknya dituntut untuk berhias kepada suaminya sebagai dorongan untuk rujuk semula.

BATASAN HUKUM SEMASA DALAM TEMPOH `IDDAH TALAK BA’IN

Talak ba’in adalah talak yang tidak memberi hak kepada suami untuk rujuk kepada isteri yang diceraikan kecuali dengan mahar dan akad yang baharu.

1. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

2. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Perkahwinan dalam tempoh tersebut adalah tidak sah.

3. Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dalam batas yang diperlukan sahaja. Seperti bekerja, mendapatkan rawatan atau keperluan yang mendesak sahaja. Menunaikan haji dan bermusafir juga adalah perbuatan yang dilarang.

4. Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya.

Sepanjang tempoh iddah dengan talak ba’in, bekas suami masih wajib menyediakan tempat tinggal dan dilarang menghalau isteri (yang diceraikan) kecuali jika terdapat bahaya dan kemudaratan.

5. Disunatkan berkabung dan tidak berhias kerana dibimbangi mendorong kepada maksiat dan fitnah.

BATASAN HUKUM SEMASA DALAM IDDAH KEMATIAN SUAMI

1. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

2. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Perkahwinan dalam tempoh tersebut adalah tidak sah.

3. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had yang diperlukan sahaja.

Antara keperluan penting yang dibolehkan adalah untuk bekerja, mendapatkan rawatan, membeli barangan asasi (sekiranya tidak orang lain yang boleh melakukannya) dan keperluan mendesak lain, dengan syarat menjaga peraturan yang disyariatkan Islam. Waktu untuk keluar pula adalah pada siang hari, kecuali terpaksa.

4. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya sepanjang tempoh perkahwinan, kecuali terdapat bahaya dan mudarat seperti kebakaran dan tanah runtuh.

5. Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah, iaitu wajib meninggalkan semua perkara yang berhias, seperti:

  • Berpakaian terang atau berwarna-warni dan menarik perhatian
  • Mengenakan barangan kemas (walau sebentuk cincin, rantai, gelang dan perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak dan permata)
  • Memakai wangian pada badan, rambut dan pakaian.
  • Bersolek (memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut) serta perbuatan berhias lain pada pandangan masyarakat terdekat.

[Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan pada tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya. Ini juga tidak bermakna berkabung dengan mengabaikan kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga.]

Semoga Bermanfaat!

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen