Kaedah Untuk Menimba Ilmu Rumah Tangga.

Kebiasaannya masyarakat kita mengambil remeh tentang ilmu rumah tangga. Ada sebahagian daripada mereka hanya mengharapkan daripada kursus perkahwinan sahaja. Tetapi selepas itu, tidak dipraktikkan pula, oleh kerana itu ramai yang terkandas untuk melayari bahtera perkahwinan ini.

Jadi, jom ketahui antara cara-cara untuk menimba ilmu rumah tangga…

AMBIL PENGAJARAN DARI ORANG YANG LEBIH BERPENGALAMAN.

Kadang-kala orang yang sudah berumah tangga ada sahaja dari kalangan yang golongan muda. Yang berstatus janda juga, ramai dari kalangan bawah 30-an. Jadi, janganlah mengukur umur seseorang untuk melihat kematangan dan pengalaman mereka. Cuma, mereka yang sudah meningkat usia ini sudah lebih memakan asam garam kehidupan.

Jadi, teladanilah kisah orang lain supaya ia boleh dijadikan pengajaran bagi kita. Yang baik kita ambil, yang buruk jangan pula diikut tetapi cuba cari solusi untuk setiap keburukan tersebut. Pasti ada hikmah yang tersembunyi. Misalnya, jika orang itu mempunyai masalah dalam hubungan suami isteri, anda boleh jadikan sebagai panduan dalam cara menangani masalah tersebut.

Menjadikan pengalaman hidup seseorang sebagai teladan adalah bagus kerana kita boleh mempraktikkan cara mereka membetulkan kesilapan yang mereka lakukan. Ambil perkara yang bagus berdasarkan pengalaman mereka. Kemudian adaptasikan ke dalam hidup anda sekiranya anda mempunyai masalah yang sama.

Mungkin mereka mengamalkan kaedah terapi perhubungan, misalnya, komunikasi dua hala yang bagus, menghargai pemberian, meraikan hari istimewa, panggilan-panggilan sayang dan manja, kebersihan diri yang terjaga dan sebagainya. Cubalah lakukan perkara yang serupa supaya anda dapat turut sama hidup bahagia seperti mereka.

RAJINKAN DIRI UNTUK MEMBACA BUKU ILMIAH.

Bahan bacaan adalah salah satu cara untuk mendapatkan maklumat yang boleh dijadikan panduan. Kadang-kala ada sahaja individu dari kalangan kita, lebih suka membaca buku dari membaca terus di internet. Bagi mereka ‘ada feel’ kerana bukan mudah untuk melihat zaman sekarang, orang sentiasa memegang buku ke mana sahaja, kecuali mereka yang masih lagi belajar.

Terdapat banyak lagi buku lain yang turut membincangkan isu rumah tangga. Anda perlu banyak membaca kerana aktiviti ini sangat membantu untuk anda kekal bahagia dengan pasangan anda. Golongan wanita adalah golongan yang suka membaca berbanding lelaki. Justeru sekiranya pasangan anda kurang gemar membaca, rajinkan diri untuk menulis kembali kata-kata hikmat tersebut.

Atau ceritakan kembali apa sahaja yang anda ingat pada pasangan, sudah tentu ia adalah salah satu cara berkomunikasi dengan sihat.

MELALUI SOSIAL MEDIA.

Internet adalah salah satu punca ilmu yang tidak boleh dinafikan. Walaupun ada banyak maklumat yang kurang sahih ketepatannya, namun anda perlu mengakui bahawa Internet memang menjadi punca maklumat. Sesuai dengan istilahnya Internet gerbang maklumat terbuka.

Sebelum mengambil maklumat yang ingin anda cari, pastikan sumber laman sesawang itu ditulis oleh mereka yang bertauliah. Jangan main ambil sahaja kerana kini sesiapa sahaja boleh menulis blog.

Anda boleh menggunakan maklumat dalam laman sesawang untuk diterapkan dalam perhubungan anda. Pun begitu, bukan semua boleh anda gunakan kerana ada penulis yang menulis mengikut suasana Barat. Kita harus bijak mengaplikasikannya panduan itu mengikut acuan kita sebagai orang Melayu beragama Islam.

Kesimpulannya, hubungan suami isteri perlu dijaga dengan baik apatah lagi jika anda bersifat sensitif. Jika tidak bijak menangani emosi, tidak mustahil akan berlaku perkara kurang elok seperti perceraian.

 

 

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen