“Pernikahan Tanpa Wali, Adakah Ia Sah Atau Perlu Dinikahkan Semula?” – Ikuti Perkongsian Ini.

Oleh: Zuzu Yasmine

Sebelum mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga, adalah lebih elok jika kita sediakan serba sedikit ilmu mengenai perkahwinan ini. Hal ini dapat dijadikan panduan dalam perjalanan menghalalkan satu ikatan. Baru lah tiada rasa ragu-ragu dan lebih rapi persiapannya. Jadi mari kita ketahui, adakah pernikahan tanpa wali ini sah atau perlu dinikahkan semula melalui soal jawap ini.

Soalan :

1. Saya mempunyai pekerja menjadi suami isteri yang dinikahkan oleh yang tidak bertauliah. Adakah sah nikah mereka atau perlu dinikahkan semula?

Jawapan :

Islam meletakkan pada setiap pernikahan perlulah memenuhi rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan berlandaskan panduan Al Quran dan As Sunnah maka, kekurangan atau tidak memenuhi rukun dan syarat-syarat pernikahan sudah tentu akan mendatangkan masalah dan kecacatan bagi mana-mana pernikahan yang dilangsungkan.

Adapun Permasalahan Wali sebagaimana yang dipersoalkan termasuk dalam perkara rukun nikah dan ini dinyatakan secara jelas dalam sebuah hadith,
Rasulullah s.a.w bersabda :

لا نكاح إلا بولي و شاهدي عدل و ما كان من نكاح على غير دلك فهو باطل

Mafhumnya : “Tidak ada pernikahan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil. Jika pernikahan berlaku tanpa kehadiran mereka, nikah itu batil”.Hadith riwayat Ibnu Hibban dalam Mawarid al Zham aan ila Zawaid Ibn Hibban; kitab Nikah bab hadith-hadith mengenai wali dan saksi."

Dalil diatas menunjukkan keperluan hadirnya wali dan dua orang saksi yang adil yang merupakan rukun nikah.



Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz Al Malibariy didalam kitabnya Fathu Al Mu’in beserta Hasyiahnya I’anah At Tolibin karangan Al Allamah Abu Bakar Uthman Bin Muhammad Syatto Ad Dumyati Al Bakri, jilid ke-3, halaman 518,523 dan 527.

Menyatakan kedudukan Wali menurut susunan iaitu :

1- Bapa sekiranya tiada samaada telah meninggal dunia atau terdapat penghalang kemudian,
2- Ayahnya ayah (datuk) dan terus keatas,
3- Saudara lelaki seibu sebapa
4- Saudara lelaki sebapa
5- Anak lelaki saudara lelaki seibu sebapa
6- Anak lelaki saudara lelaki sebapa
7- Bapa saudara lelaki seibu sebapa
8- Bapa saudara lelaki sebapa
9- Sepupu (anak lelaki bapa saudara seibu sebapa)
10- Sepupu (anak lelaki bapa saudara sebapa)

“Kemudian setelah tiada Ashabah dari nasab sebagaimana senarai di atas, maka Ashabah dari Wala’ (Hamba Abdi dan ini tidak berlaku dizaman ini) dengan urutan sebagaimana dalam perwarisan. Kemudian sekiranya semua diatas tidak ada maka yang memegang hak kewalian ini adalah Qadhi (hakim) atau wakilnya, sebagaimana Sabda Nabi s.a.w :

السلطان ولي من لا ولي لها

Maksudnya : “Sultan adalah walinya seorang wanita yang tidak mempunyai wali”.

Dan yang dikehendaki dengan maksud Sultan disini ialah mereka yang memegang kuasa kewalian samaada dari kalangan para Imam, Qadhi mahupun para wakil mereka (iaitu wakil yang dilantik atau ditauliahkan)”.

Mengenai pernikahan yang telah berlaku namun diwalikan oleh mereka yang tidak bertauliah sedangkan wujud disana wali hakim maka ia samalah bernikah dengan tanpa wali yang sah, oleh itu menurut hukum syariah, pernikahan mereka tidak sah dan batil sebagaimana keterangan nas diatas bahawa setiap wali hakim atau para wakil mereka adalah yang dilantik atau ditauliahkan oleh Sultan, Raja atau pemerintah.



Ini lebih jelas lagi sebagaimana yang termaktub dalam Enakmen Keluarga Islam 2004, bahagian ii PERKAHWINAN, berkaitan Orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwnan, dalam seksyen 7, halaman 178 dan 179, (1) Sesuatu perkahwinan di Negeri Sabah hendaklah mengikut Enakmen ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syarak oleh-

(a) wali di hadapan Pendaftar;
(b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau
(c) sebagai wakil wali.
(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja

Menurut BAHAGIAN I Tafsiran Seksyen 2 halaman 176 (1) menjelaskan bahawa maksud wali Raja ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab .

Seterusnya menurut BAHAGIAN ii PERKAHWNAN, berkaitan Orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwnan, dalam seksyen 11, halaman 180, menjelaskan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu menurut hukum syarak untuk menjadikannya sah.

Oleh yang demikian perkahwinan yang tidak berwalikan dengan wali yang tidak bertauliah adalah tidak sah disisi undang-undang syarak.

Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz Al Malibariy didalam kitabnya Fathu Al Mu’in beserta Hasyiahnya I’anah At Tolibin, jilid 3, halaman 535-536 menyatakan lagi ;

“Apabila seseorang melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah tanpa berwali (termasuk tanpa menggunakan wali hakim yang sah apabila ketiadaan wali dari nasab) seperti wanita yang mengahwinkan dirinya sendiri sedangkan hakim tidak menetukan hukum sah atau tidaknya nikah tersebut, maka orang tersebut diwajibkan membayar mahar misil bukan mahar yang ditentukan, kerana (fasad) rosaknya nikah yang ada.”

Maka berlandaskan perkara yang telah dijelaskan di atas maka perkahwinan tersebut dikira rosak dan perlu dibubarkan atau difaraqkan, manakala pihak perempuan wajib mendapat mahar misil iaitu harta yang diberikan kepada pengantin perempuan dengan kadar pada kebiasaannya sepadan dengannya apabila mereka telah bersama.

Dan sekiranya kedua pasangan tersebut ingin kembali sebagai pasangan yang sah menurut syariat mereka perlulah bernikah semula dengan akad nikah yang baru.

Rumusan :

1. Hanya Wali Hakim atau wakil Wali yang bertauliah sahaja layak dan berhak mewalikan seorang wanita ketika ketiadaan wali nasabnya.
2. Pernikahan yang tidak berwali samaada wali nasab atau wali hakim adalah tidak sah dan ia dikira sebagai nikah fasid (rosak) atau batil.
3. Pernikahan yang fasid menyebabkan pasangan yang terlibat perlu di faraqkan atau di bubarkan dan memerlukan akad nikah yang baru sekiranya ingin kembali bersama sebagai suami isteri yang sah.



Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen