Urus Kewangan Kahwin Elak Terjerat Hutang.

Oleh: Rafi

Sebut sahaja mahu kahwin, perkara pertama yang muncul adalah duit! Kalau tiada duit, macam mana nak kahwin. Betul tak? Kebiasaannya, si pengantin lelakilah yang paling sakit kepala kalau bercakap soal pengurusan kewangan menjelang perkahwinan. Zaman pun kian berubah, majlis yang berlangsung semuanya tak nak kalah. Setakat lima ribu punya persiapan, orang bertunang lagi meriah! Ada yang menabung, ada yang membuat pinjaman bank malah yang paling teruk ada juga yang berhutang keliling pinggang! Ish....tidak perlulah sampai berhutang sehingga menjerat diri. Jangan kerana lihat perkahwinan orang lain mewah, anda juga mahukan begitu. Di manakah silapnya semua perkara ini? Jom kita lihat tujuh kesilapan si bakal pengantin dalam menguruskan bajet perkahwinan dan cara mengatasinya agar tidak terjerat dalam bebanan hutang kelak.



1. Wang hantaran.

Biasanya, wang hantaran sering menjadi masalah nombor satu tatkala ingin mendirikan rumahtangga. Keluarga pihak perempuan adakalanya dengan sengaja meletakkan harga yang tinggi seperti hendak 'menjual anak'. Inilah yang menjadi bebanan besar ke atas lelaki. Duduklah berbincang sekiranya anda benar-benar tidak mampu, berterus-terangkan lebih baik daripada menanggung hutang?

2. Dekorasi hantaran.

Hantaran merupakan bahan asas yang perlu ada dalam sesebuah majlis perkahwinan. Barang-barang hantaran ini kadangkala memakan belanja yang agak besar. Kos untuk membeli bahan hiasan pun mahal, belum kira lagi barangan yang bakal diletakkan di atas dulang tersebut! Dalam hal ini, anda perlu bertindak bijak. Jika anda mempunyai kepakaran dalam membuat dekorasi, apa kata anda sendiri yang menggubah hantaran itu, dapat juga mengurangkan kos mengupah orang lain untuk menggubah hantaran.



3. Butik pengantin.

Rajin-rajinlah keluar dan cari butik pengantin yang menyediakan khidmat perkahwinan secara pakej tetapi murah. Jangan hanya bergantung kepada satu butik sahaja. Bagi memudahkan proses pencarian itu, anda boleh melawat ke mana-mana pameran pengantin ataupun festival perkahwinan untuk mendapatkan tawaran yang hebat. Kemudian, jangan lupa untuk melihat pakej apa yang ditawarkan. Lebih bagus lagi jika butik tersebut menawarkan perkhidmatan seperti beberapa persalinan untuk majlis berbeza, solekan, pelamin, bunga tangan dan aksesori pengantin. Lebih banyak perkhidmatan yang ditawarkan, lebih bagus asalkan bersesuaian dengan harga yang diberi.

4. Makanan.

Hal makanan perlu diberi perhatian kerana tetamu yang hadir akan pulang dengan gembira sekiranya perut mereka kenyang dengan makanan yang sedap. Jika anda berhasrat untuk masak sendiri, pastikan bahan mentah yang dibeli tidak berlebihan untuk mengelakkan pembaziran. Jika khidmat katering yang dipilih, pastikan anda mencari pakej yang berpatutan, membuat 'food tasting' serta menawarkan khidmat lebih daripada hanya makanan. Ada sesetengah pihak katering yang menawarkan khidmat kerusi, meja dan kanopi. Barulah berbaloi!



5. Kad kahwin.

Sebut sahaja bentuk apa, syarikat pengeluar kad kahwin sedia membuatnya untuk anda. Namun, semuanya tepuk dada tanya selera. Berbaloikah anda ingin menghabiskan duit hanya untuk kad kahwin yang belum tentu orang akan simpan lama? Tidak dinafikan memang rambang mata untuk memilih rekaan yang comel dan cantik tetapi cukuplah sekadar yang ringkas dengan harga yang murah. Asalkan maklumat penting yang perlu diletakkan harus ada di dalamnya. Tiada gunanya kad kahwin yang mahal seandainya tidak ada peta jalan untuk ke rumah pengantin!

6. Pakej bulan madu.

Ramai juga bakal pengantin yang menempah siap-siap pakej bulan madu kerana berhasrat untuk pergi bulan madu sebaik mendirikan rumah tangga. Bagi pasangan yang ingin menempah pakej berbulan madu, dapatkan pakej yang berbaloi dengan bajet anda. Andai percutian itu memerlukan anda menaiki kapal terbang, tempahlah tiket tambang murah lebih awal agar bajet anda akan terkawal. Jangan lupa juga simpan sedikit wang untuk dibelanjakan di sana nanti.

7. Kelengkapan lain.

Antara lain yang sering diperlukan adalah jurugambar. Carilah jurugambar yang menawarkan pakej murah. Selain itu, lihat dahulu portfolionya untuk mendapatkan hasil yang bagus. Ada juga beberapa bentuk hiburan lain yang rasanya tidak perlu digunakan untuk sesebuah majlis perkahwinan. Antara hiburan yang dimaksudkan adalah persembahan seperti pasukan silat, kompang, gamelan atau muzik asli, kugiran dan banyak lagi. Seandainya majlis yang bakal berlangsung itu merupakan majlis yang bajet, gantikan semua bentuk hiburan ini dengan benda yang lebih jimat kosnya seperti memasang CD lagu sahaja.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen