7 Cara Surirumah Boleh Selamatkan Kewangan Keluarga Tanpa Slip Gaji.

Oleh: Rafi

Walaupun tidak mempunyai pendapatan tetap, siapa kata jadi surirumah tidak boleh menyumbang kepada kewangan keluarga? Besar peranan seorang surirumah ini sebenarnya. Malah, menurut sebuah artikel oleh Majalah TIME, ramai yang tidak menyedari bahawa net worth seorang surirumah itu sahaja sudah bernilai $65,283.81/tahun, iaitu $5440.25/bulan. Ini belum lagi ditukar kepada mata wang Malaysia yang boleh mencecah sekitar RM 20,000 sebulan! Tidak dinafikan seorang surirumah atau ibu itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit, tetapi jumlah tersebut menggambarkan bahawa seorang surirumah berkebolehan melakukan pelbagai jenis pekerjaan yang bukan saja meliputi tugas harian seperti mengemas, mencuci, menjaga anak-anak, menyediakan makanan, dan menghantar anak ke sekolah; tetapi juga sebagai pengurus kewangan rumah tangga. Oleh itu, jika anda berasa anda tidak dapat menyumbang kepada kewangan keluarga sungguh pun anda tidak mempunyai pendapatan, anda sebenarnya salah. Berikut merupakan beberapa strategi yang boleh anda lakukan untuk menjadikan pengurusan kewangan keluarga anda lebih berkesan.



1. Catatkan setiap aliran wang.

Menurut pakar perancang kewangan, salah satu teknik menyimpan wang adalah dengan memantau perbelanjaan seharian. Seorang surirumah sebenarnya memainkan peranan yang besar dalam merangka bajet keperluan keluarga. Catatkan setiap aliran wang dengan teliti termasuklah perkara-perkara kecil yang dibayar seperti makanan dan snek. Boleh juga guna pelbagai apps pengurusan bajet kalau nak lebih mudah. Kalau selama ini asyik tak cukup wang belanja, anda kini boleh melihat ke mana perginya wang yang telah dibelanjakan. Melalui catatan ini juga, anda dapat mengetahui kedudukan kewangan yang diperlukan oleh keluarga. Di samping itu, dapatlah kita menilai semula di antara keperluan dan kehendak berdasarkan kecukupan dan keutamaan keluarga.



2. Rancangkan trip membeli-belah.

Rancangkan menu masakan mingguan, semak kelengkapan dapur, bilik air, barang sekolah anak, dan sebagainya. Jadi, apabila keluar membeli-belah, dapatlah beli semua sekali harung. Tak adalah yang tertinggal sana sini. Apabila kita lebih kerap keluar, lebih banyak peluang untuk kita 'membocorkan poket' dengan membeli barang-barang yang tidak ada dalam senarai. Lagi satu tips berguna, elakkan membeli-belah semasa tengah lapar. Memang semua benda nak dibelinya!

3. Masak di rumah, walaupun 'simple'.

Kalau setiap hari fikir, 'Nak masak apa hari ini?', memang boleh sakit kepala jadinya. Apatah lagi jika melihatkan barang masakan yang serba tak cukup untuk membuat sesebuah hidangan. Inilah pentingnya kita merancang menu masakan, sekurang-kurangnya untuk 1 minggu. Sambil-sambil tengok Facebook, simpanlah resepi yang nak dibuat dan catatkan bahan yang diperlukan dalam sebuah buku nota. Jadi, mudahlah apabila anda hendak keluar membeli-belah nanti. Lagi best, makanan yang anda sediakan juga boleh dijadikan bekal atau bento untuk anak-anak dan suami. Satu keluarga dapat berjimat!



4. Buat tabung kecemasan.

Jangan ingat sebagai surirumah anda tak perlu ada simpanan. Sebagai permulaan, buat jadual untuk menyimpan secara tetap ke dalam akaun simpanan anda melalui wang yang diberi oleh suami. Mulakan dengan jumlah yang kecil, contohnya RM10 seminggu. Pastikan anda teruskan rutin ini secara berdisiplin. Setelah beberapa lama, anda akan terbiasa dengan tabiat ini dan mungkin boleh meningkatkan kepada RM20 seminggu dan seterusnya. Setiap hujung bulan, masukkan ke dalam akaun walaupun jumlahnya kecil. Seeloknya masukkan ke dalam akaun yang tak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya menggunakan kad ATM agar ia lebih lama 'terperam'. Sekiranya tabung kecemasan ini sudah dijadikan rutin, bolehlah anda buka akaun yang berbentuk 'pelaburan selamat' seperti Tabung Haji atau ASB. Apabila simpanan semakin stabil, boleh juga mempertimbangkan untuk memiliki skim takaful yang sesuai untuk masa hadapan.

5. DIY / recycle.

Untuk mengelakkan pembaziran, gunalah sesuatu barang sehingga habis. Atau pakai sehingga ianya rosak. Guna apa yang ada sahaja. Jangan membeli barang-barang yang anda tidak perlukan. Ada banyak inspirasi dan cara kreatif untuk kita mengguna semula sesuatu barang yang ada di rumah. Sekarang, ada macam-macam teknologi untuk kita mendapatkan inspirasi melalui Google, Pinterest, Facebook, dan sebagainya. Contohnya, anda boleh menggunakan bahan-bahan terpakai untuk membuat mainan atau aktiviti anak-anak pada hujung minggu. Di samping itu, dapat juga memupuk sikap inovatif dan berjimat-cermat. Bukan itu saja, ianya juga dapat menyelamatkan alam sekitar daripada pencemaran. Malah, hobi ini juga mungkin boleh diperkembangkan kepada sesuatu yang mampu menjana pendapatan.



6. Jana pendapatan sambilan jika mampu.

Menjadi seorang surirumah adalah di antara pekerjaan yang paling sibuk di dunia. Mana tidaknya, setiap hari kita melakukan pelbagai pekerjaan di rumah dan melayan setiap ahli keluarga tanpa pernah 'bercuti'. Namun begitu, banyak contoh surirumah yang kita dapat lihat hari ini berjaya merencanakan perancangan harian dan pada masa yang sama melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan. Ini membuktikan ianya tidak mustahil - yang penting perlu ada minat, disiplin, dan juga kecekalan. Kebanyakan daripada surirumah ini bukanlah terus berjaya, tetapi mereka bermula dari bawah, mencari ilmu dan pengalaman, dan terus melakukannya dengan konsisten tanpa pernah berputus asa.

7. Sedekah.

Di samping kita berjimat-cermat dengan wang yang terhad, jangan lupa bahawa masih ada ramai orang yang lebih susah dan memerlukan di luar sana. Oleh itu, ringankanlah tangan untuk bersedekah dan menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk yang kita mampu kerana ini juga merupakan salah satu punca keberkatan rezeki dalam keluarga. Utamakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan keluarga terdekat, seterusnya kepada masyarakat. Ada banyak cara untuk memberi selain dengan wang ringgit; contohnya, dengan menggembirakan kedua ibu bapa, anak yatim, atau golongan gelandangan - mahupun dengan hanya sebungkus nasi. Selain itu, boleh juga berbuat baik dengan haiwan seperti kucing jalanan, mengucapkan kata-kata yang menyenangkan, dan murah senyuman.

Anda tidak rugi apa-apa pun dengan hanya senyum, dan ia juga dikira sebagai suatu sedekah yang paling mudah untuk dilakukan. Aset Paling 'Mahal' Adalah Anak-anak Walau apa jua yang anda lakukan untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga, jangan lupa bahawa anak-anak merupakan aset anda yang paling berharga. Di mata masyarakat, mungkin kita tidak menjana pendapatan beribu ringgit, tetapi didikan dan kasih sayang terhadap anak-anak serta keluarga tidak mungkin dapat dinilai setara dengannya. Maka, bersyukurlah apabila diberi kesempatan untuk menjaga dan membesarkan anak-anak kerana mereka juga adalah sumber anda untuk berbakti dan meraih pahala di akhirat kelak.


Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen