Soal Hati, Soal Jodoh.

Saya mempunyai beberapa orang teman yang masih belum memperoleh jodoh. Ada antara usia mereka akhir 20an, ada yang sudah menginjak 30an dan tak kurang pula 40 an. Soal jodoh, Allah yang tentukan, itu pegangan saya sejak dulu dan kita sebagai hambanya hanya berusaha mendapatkannya dan seterusnya bertawakal. Bagi saya sendiri, jodoh hadir dikala usia saya 30 tahun. Agak 'tua' dipandangan masyarakat barang kali, tapi who cares! Kalau saya yang memegang kuasa itu, saya tidak akan putuskan pada usia tersebut baru saya akan berkahwin.



Berkahwin di usia lewat, tidak langsung merisaukan saya ketika itu tetapi fikiran agak serabut juga dibuatnya apabila orang sekeliling seperti keluarga dan saudara mara asyik membincangkan perkara itu. 'Bila nak kawin?' 'Tak elok lambat'dan macam-macam lagi. Saya berpegang kepada satu perkara ketika itu iaitu menamatkan pengajian saya, sebab saya ingin mengubah hidup menjadi seseorang yang berjaya dan saya yakin pendidikan mampu merealisasikannya. Ok, bukan kisah saya yang sebenarnya ingin saya ketengahkan tetapi keluhan teman-teman yang masih belum dikurnia jodoh. Saya masih ingat lagi, kata-kata seorang saudara yang merupakan ustazah bahawa dalam mencari jodoh biarlah sekufu atau dalam istilah lain sedarjat. Ini penting bagi memastikan keluarga kita dimuliakan oleh keluarga mertua dan diri kita sendiri tidak diperlekehkan apabila tidak sekufu. Sebagai contoh berkahwin dengan orang kaya (dalam konteks orang kaya yang tidak beriman) sedangkan keluarga kita cuma biasa-biasa je. Sudah tentu keluarga kita sering dihina oleh mertua dan tidak mustahil juga mertua meletakkan diri kita setaraf orang gaji apabila berada di rumah mereka. Lagi satu, soal pendidikan pula. Yang ini yang paling sering saya lihat menjadi perbalahan di kemudian hari. Isteri yang berpendidikan / berjawatan lebih tinggi daripada suami karakternya agak keterlaluan apabila semua keputusan dialah yang akan tentukan yang mana akhirnya si suami itu diperlekehkan dan tidak dipandang sebagai ketua keluarga hanya disebabkan pendidikan / jawatan yang lebih rendah daripada isteri. Ini yang berlaku.



Sering saya nasihatkan teman-teman saya yang rapat, janganlah berkahwin sekiranya kita sudah menduga perkahwinan itu hanya akan membawa dukacita ke dalam hidup kita. Kalau berkahwin dengan tanggapan bahawa seseorang itu akan berubah, itu juga harus dilupakan sebab seorang lelaki (kecuali yang betul-betul baik) memang sangat susah untuk berubah! Itu yang saya lihat menerusi pemerhatian dan pengalaman. Kalau berkahwin demi untuk memenuhi tuntutan agama sehinggakan pakai sapu je orang yang kurang dikenali, bersiap sedialah di masa akan datang nanti. Dalam beberapa kejadian, seorang lelaki itu telahpun menunjukkan beberapa sikap yang menjelekkan, namun dek kerana cinta atau ikatan (sudah bertunang contohnya) sikap sedemikian seolah-olah tidak dipandang, dibutakan mata hati. Satu lagi, ini juga saya lihat menerusi pengalaman.

Seorang lelaki yang berkahwin lewat, harus diselidik betul-betul dirinya sebab kebanyakan kes yang saya perhatikan, mereka ini sebenarnya ada sikap yang agak something yang membuatkan ia memberatkan jodohnya. Satu kes yang saya ketahui, lelaki tersebut berkahwin pada usia 30an, seorang yang agak pendiam dan kurang berkawan namun berkerjaya agak baik, berkahwin dengan seseorang yang saya kenali dan beberapa tahun kemudian mereka memilih untuk berpisah dan perpisahan mereka pula melalui proses yang agak sukar disebabkan lelaki tersebut sebenarnya mempunyai sikap/penyakit yang agak keterlaluan sekiranya hendak dicerita. Kes kedua, seorang lelaki berkahwin pada usia 30an juga, ada rupa, pendidikan tinggi dan berkerjaya agak best juga tetapi rupanya seorang yang hanya mementingkan kawan-kawan berbanding keluarga selain baran dan tidak langsung mahu mendengar nasihat walaupun sudah acap kali ditegur oleh mertua.



Ada teman saya beritahu, seorang lelaki tu tidak kahwin lagi walaupun usia sudah banyak disebabkan kecewa dengan cinta pertama yang tidak kesampaian. Saya tidak gelak mendengarnya, namun hati saya yang gelak! Mungkin teman saya itu masih naif, tidak mengenali insan bernama LELAKI dan menerima sahaja apa jua yang disampaikan atau diceritakan oleh orang sebagai kisah benar. Satu sikap lelaki yang mungkin ada yang tidak tahu, apabila mereka gagal, tidak kiralah gagal dalam apa sekalipun lebih-lebih lagi dalam perhubungan, mereka akan cuba melakukan sesuatu untuk membuktikan yang diri mereka masih 'laku' dan bukan bekas kekasihnya sahaja yang mahukan dirinya tetapi ramai lagi perempuan di luar sana yang menanti! Dia akan cuba segera untuk mendapatkan buah hati baru dan seterusnya ingin menayangkan, kalau boleh, kekasih barunya itu kepada bekasnya. Di situlah letaknya ego lelaki yang mungkin perempuan tidak fahaminya. Ada seorang teman saya, menolak cinta seorang lelaki disebabkan oleh beberapa perkara pada lelaki tersebut yang tidak disukainya dan seminggu dua kemudian dia bercerita bahawa temannya itu sudahpun mempunyai buah hati baru! Hah! Apa cerita tu?? Tapi itulah cerita seorang lelaki. Seorang teman baik saya yang sedang menjalin hubungan dengan seseorang, saya nasihatkan kepadanya untuk selidiki latar belakang teman barunya itu betul-betul dan dia sering menceritakan perkara itu kepada saya apabila mereka keluar bersama.

Saya sayangkan teman saya itu, sebab dia sahabat rapat saya, dan dalam usianya yang sebaya saya, saya tidak mahu dia kecewa hanya disebabkan seorang lelaki dan perkahwinan. Dia ada kerjaya yang baik, kehidupan yang baik dan semua itu tidak harus dimusnahkan sewenangnya oleh seorang lelaki! Dia bahagia dengan kehidupannya bersama keluarga kini namun saya tahu dia juga menginginkan jodoh itu mendekatinya kalau boleh. Dengan sesiapapun yang rapat dengan saya, sering saya nasihatkan jangan mudah mempercayai lelaki. Selidik betul-betul diri mereka dan penting juga untuk kita tidak berkahwin dengan lelaki yang berpenyakit sebab perkara tersebut akan memudaratkan diri kita sendiri kelak jika kita berkahwin dengannya.



Akhir sekali, untuk teman-teman saya yang di luar sana yang masih belum mendapatkan jodoh, hidup kita bukannya akan bermula apabila mempunyai seorang suami. Hakikatnya, hidup kita sudah lama bermula tanpa kehadiran mereka dan oleh sebab itu janganlah biarkan kehidupan ini dimusnahkan oleh seorang lelaki hanya kerana sebuah ikatan dan juga kealpaan kita untuk menilai. Wallahualam. Perkara ini ada dalam kuasa Allah s.w.t. Dia sudah tuliskan semuanya dan jangan dikesali sekiranya masih belum dikurniakan jodoh kerana sesungguhnya Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya. Mungkin juga Allah telah merencanakan untuk mengangkat martabat anda sebagai seorang wali seperti Rabiahtuladawyah, maka sebab itulah dia tidak dikurniakan jodoh yang akhirnya Allah berikan syurga sebagai ganjarannya.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen