9 Perkara Penting Remaja Perlu Buat Di Usia Muda.

Usia remaja adalah zaman yang paling mencabar. Di usia ini, remaja mempunyai sikap ingin mencuba dan mudah terpengaruh, terutamanya dengan ajakan rakan sebaya. Seharusnya golongan remaja menggunakan masa remaja ini dengan hal-hal yang berfaedah agar pengalaman dan pengetahuan ini dapat digunakan ke arah kebaikan kelak. Dalam Islam, telah dicadangkan beberapa panduan dalam mengisi masa muda ini kepada golongan remaja, antaranya;



1. Menuntut ilmu agama.

Islam sangat menitikberatkan pendidikan agama terhadap para pemudanya. Semasa usia remaja inilah, ilmu perlu dicari dan diamalkan agar menjadi remaja yang kukuh keilmuannya. Islam turut memberi contoh dalam Al-Quran tentang kisah pemuda Ashabul Kahfi yang tetap bertahan keimanan mereka dalam kehidupan masyarakat yang rosak akidahnya.

Ini kerana golongan remajalah yang bakal menjadi pertahanan agama dan negara pada masa hadapan dan jika lemah iman dan akhlak, bagaimana mereka boleh menjadi tembok yang kukuh dalam membela Islam?



2. Bekalkan diri dengan pengalaman bekerja.

Rasulullah SAW dan para rasul yang lain telah memberi contoh yang baik dalam menjadi remaja yang berketrampilan. Baginda, semasa kecilnya pernah bekerja sebagai pengembala kambing bahkan Baginda tidak pernah berhenti membekali diri melalui pengalaman sebagai peniaga malah berdagang pula ke Syam.

Bagi remaja kini, usah terlalu memilih pekerjaan dan jangan terikut dengan kesenangan dan komedenan yang tidak memberi erti kepada kehidupan dan usia kita. Bekerjalah bukan semata-mata menambah duit dan pendapatan sahaja, tetapi untuk mengenali cabaran hidup dengan menemui orang ramai dan juga untuk mempelajari cara mengendalikan sesuatu masalah di tempat kerja.

3. Hiasi diri dengan akhlak mulia.

Usia remaja sangat dikaitkan dengan masalah moral seperti tidak menghormati golongan yang lebih tua dan sebagainya. Islam sangat menuntut umatnya terutama generasi muda untuk berakhlak mulia dan menjauhi perbuatan yang tidak berakhlak dalam Islam. Lihatlah bagaimana akhlak Rasulullah ketika Baginda masih kecil dan remaja, yang digelar sebagai ‘al Amiin (orang terpercaya) oleh orang kafir Quraisy. Jika usia remaja, akhlak kita sudah lemah, tidakkah terbawa-bawa sampai ke tua?



4. Mencari idola terbaik.

Imam Malik pernah mengirim anaknya kepada Rabi’ah untuk belajar tentang akhlak yang mulia sebelum menuntut ilmu. Namun berbeza dengan zaman moden hari ini yang lebih gemar menjadikan artis, ahli politik, ahli sukan sebagai idola.

Lebih malang lagi ada dalam kalangan masyarakat kita yang menjadikan golongan yang tidak berakhlak sebagai ikutan, walhal dengan meneladani mereka sedikit pun tidak menguntungkan dan memberi kebaikan di dunia atau akhirat.

Lalu, golongan muda harus menetapkan idola mereka bagi menjadikan mereka lebih terarah matlamatnya dan faham akan tujuan mereka dihidupkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah sebaik-baik ikutan dan pemilik akhlak yang paling agung.

5. Hindari perbuatan terlarang.

Pada usia remaja ini didiklah diri untuk mengawal nafsu dan kehendak yang cenderung kepada hal yang tidak berfaedah. Dengan itu akan mudah menjauhkan diri dari permasalahan sosial seperti pengambilan dadah dan sebagainya. Selain itu, jauhi juga kenalan yang boleh memberi pengaruh kepada hal yang merosakkan akhlak. Mungkin jika sekali terjerumus, selamanya anda akan berada dalam dunia yang gelap itu. Lalu sayangilah usia remaja yang datang hanya sekali seumur hidup.

6. Memilih teman yang baik.

Antara sebab terpenting yang menjerumuskan seseorang ke dalam kesesatan adalah sahabat baik. Oleh sebab itulah, Islam mengajarkan kepada umatnya adab-adab dalam mencari teman. Pesan Rasulullah SWT dalam sabda Baginda:

“Dari Abi Hurairah, Rasulullah bersabda: ‘Seseorang itu berada di atas agama temannya, maka hendaklah kalian melihat siapa yang menjadi teman dekatnya’.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Ingatlah, sekali tersalah memilih teman, pasti akan membawa penyesalan selamanya.



7. Guna waktu dengan sebaik-baiknya.

Sabda Rasulullah SAW;

“Pergunakanlah yang lima sebelum datang masa yang lima; Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa miskinmu, masa kosongmu sebelum datang masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum datang masa kematianmu.”
(Hadis Riwayat Hakim)

Walaupun masa muda masih belum disibukan dengan banyak komitmen atau tanggungjawab lain, itu tidak bermakna masa remaja boleh dihabiskan dengan hiburan, berfoya-foya sebegitu sahaja. Padahal masa muda inilah yang seharuskan dijadikan pelaburan pada masa hadapan. Gunalah kesempatan ini seperti bekerja sambilan, menuntut ilmu, menyertai kursus kemahiran dan pelbagai lagi aktiviti berfaedah.

8. Mengembara.

Mengembara dan bermusafir sudah menjadi seperti satu ‘trend’ pada masa kini. Sebenarnya terdapat banyak hikmah pada usia remaja yang dihabiskan dengan aktiviti ini. Dengan mengembara atau keluar dari tempat sendiri akan mengajar seseorang itu berdikari dengan cara yang paling bermakna.

Selain memperoleh ilmu kepimpinan diri yang kuat, rasa tangungjawab, serta pengurusan masa dan wang yang lebih sistematik, sesorang itu boleh juga mendapat pengalaman melalui perjalanan ke tempat yang bukan kebiasaannya.

Walaupun sekadar untuk bercuti atau melancong, gunakanlah waktu remaja ini untuk melihat tempat orang yang mungkin peluang ini sudah agak sukar didapati kelak dek kekangan masa dan komitmen kerja.

9. Bergaul dengan golongan berilmu.

Walaupun masih muda, cubalah untuk mengenali lebih ramai golongan ilmuan, terutamanya golongan ulama. Tidak cukup dengan itu, banyakkanlah bergaul dengan mereka supaya sedikit sebanyak berkat manfaat dari mereka diperolehi seperti ilmu mereka, mahupun kisah dan pengalaman mereka yang boleh dijadikan pedoman untuk diri sendiri. Bahkan, melalui pergaulan ini juga boleh menjadi ‘networking’ untuk kegunaan pada masa akan datang.

Usia remaja bukanlah satu usia yang hanya dihabiskan dengan bersuka-ria tanpa apa-apa tanggungjawab. Tetapi usia remaja itu adalah satu jangka masa yang harus digunakan untuk semua hal yang positif lebih-lebih lagi keadaan tubuh masih sihat dan sempurna. Golongan muda sepatutnya sedar akan pentingnya tubuh dan tenaga mereka kepada ummah dan negara.

Remaja juga harus ingat betapa perlunya mereka menggembangkan semua potensi diri dalam mengejar ilmu dan pengalaman sebanyaknya demi kepentingan diri sendiri kelak. Sesungguhnya usia remaja juga menjadi kayu ukur yang penting kepada seluruh kehidupan seseorang itu.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen