Persegaran Dalam Rumahtangga.

Semalam saya ada mengikuti sebuah filem yang mengisahkan tentang sepasang suami isteri yang mempunyai tiga orang anak yang sedang membesar. Apa yang menarik perhatian saya ialah mesej yang cuba disampaikan oleh filem tersebut tentang betapa pentingnya hubungan suami isteri yang sudah sampai usia matang membuat persegaran semula.



Seorang isteri yang sibuk mengurus rumahtangga dengan anak-anak yang masih kecil dan sentiasa bertambah saban tahun, kadang-kadang terlupa dengan keperluan dirinya sendiri. Ada isteri memberi alasan tidak sempat menghias diri kerana sibuk mengurus anak-anak yang kecil dan sedang membesar. Ada isteri memberi alasan tidak sempat memanjakan diri di SPA atau di sauna kerana waktu yang cukup terhad dengan aktiviti keluarga dan keperluan mereka yang tidak pernah putus.

Ada isteri mengakui sudah lama tidak bersama suami kerana karenah anak-anak yang sentiasa merengek dan minta perhatian. Ada isteri mengakui tidur asing asing dengan suami kerana masing-masing mempunyai komitmen untuk menidurkan anak-anak. Kesemua insiden dan kisah ini mungkin juga pernah berlaku dalam rumahtangga kita.

Kesibukan mengurus anak-anak dan rumah tangga, ditambah lagi kesibukan dan tekanan tempat kerja mengakibatkan badan cepat penat dan emosi yang tidak stabil. Situasi ini juga menyebabkan suami atau isteri tidak berupaya membina hubungan intim yang sempurna dalam tempoh yang agak lama.



Lama kelamaan sekiranya tiada usaha daripada pihak suami atau isteri untuk mengatasi permasalahan ini, hubungan akan menjadi semakin hambar dan kosong. Masing-masing hanya melaksanakan tugas rutin tanpa wujudnya perasaan seumpama ketika pada awal perkahwinan dahulu. Malah yang lebih dahsyat lagi, baik suami atau isteri tidak menyedari masalah ini dan menganggap ia adalah sebuah hubungan yang normal kerana usia perkahwinan yang semakin meningkat.

Masalah ini sekiranya tidak tidak diatasi dengan baik dan bijaksana akan membawa kepada masalah yang lebih besar dan sukar. Sebab itu ramai pakar dalam perkahwinan dan mereka yang berpengalaman menyarankan agar rumahtangga yang sudah sampai tahap matang perlu mempunyai sesi persegaran semula. Ia bertujuan mengembalikan semula momentum indah perkahwinan dan mengingatkan kembali saat manis, suka duka sewaktu awal melayari bahtera rumahtangga.

Berikut adalah beberapa panduan persegaran semula rumahtangga:

1- Biasakan diri menghadirkan diri bersama pasangan ke majlis akad nikah kawan-kawan atau saudara mara. Biasanya dalam majlis akad nikah tersebut, tok qadi akan membacakan khutbah nikah sebagai tazkirah dan peringatan kepada bakal pengantin dan hadirin yang menghadiri majis tersebut. Peringatan seumpama ini penting untuk mengingatkan semula detik perkahwinan yang dilalui serta tanggungjawab suami dan isteri dalam mengharungi pasang surut rumahtangga.

2- Peruntukkan waktu khusus untuk bersama dengan pasangan seperti makan-makan, jalan-jalan atau sekadar window shopping. Tinggalkanlah sementara waktu anak-anak di rumah bawah jagaan bibik, saudara mara atau ibu bapa. Gunakan masa anda bersama pasangan sebaiknya. Jangan tunjukkan perasaan risau dan gelisah anda kerana meninggalkan anak-anak kepada suami. Nikmati waktu bersama-sama itu dengan sebaiknya. Apabila pulang ke rumah, bawalah ole-ole yang disukai anak-anak sebagai ganjaran kerana memahami.



3- Mangambil masa untuk cuti bersama-sama tanpa kehadiran anak-anak dan keluarga yang lain. Pada waktu tersebut anda boleh menggunakannya untuk menunjukkan kasih sayang yang selama ini terabai akibat kesibukan dan tekanan rumahtangga. Ramai yang berpendapat pasangan yang telah matang dalam perkahwinan wajar mengulangi semula saat-saat yang pernah dilakukan bersama-sama sewaktu honeymoon dahulu. Ini adalah merupakan tempoh untuk kita memahami kehendak pasangan masing-masing. Memberi dan menerima sebagaimana pernah dilakukan sewaktu awal-awal usia perkahwinan dahulu.

4- Ubah penampilan diri kepada lebih menawan dan menarik. Kadang-kadang kesibukan harian menghilangkan kecantikan asli yang sedia ada dalam diri. Kesibukan juga kadang-kadang menyebabkan kita tidak menjaga penampilan diri dengan baik dan menarik. Bentuk fizikal badan yang sudah berubah dan semakin kembang kadang-kadang menutup kejelitaan yang masih tersisa dalam diri. Secara tidak langsung, ramai isteri yang semakin tidak yakin kepada penampilan diri sendiri dan merasa rendah diri kerana usia yang meningkat dan rupa fizikal yang berubah. Ubahlah penampilan diri, pemakaian dan gaya bicara dengan pasangan bagi meningkatkan semula keyakinan diri. Walaupun mungkin fizikal sudah kurang menarik, tetapi penampilan baru yang segar boleh menutup kekurangan tersebut.

5- Mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilawati sewaktu honeymoon dahulu. Sedikit sebanyak ini juga boleh membuat persegaran semula kepada usia perkahwinan dan mewujudkan perasaan baru dalam hati. Tempat-tempat nostalgia biasanya akan mencuit hati nurani dan mengembalikan semula ingatan kepada kemesraan dan kehangatan yang pernah terjalin.



6- Melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan seperti memberi hadiah jambangan bunga, hadiah harijadi atau apa-apa perkara yang diluar kebiasaan pasangan. Biasanya pasangan generasi the baby boom (lahir tahun 1946 – 1964) agak kurang terbuka dalam menunjukkan perasaan sayang dan cinta kepada pasangan masing-masing, jauh sekali untuk meluahkan secara terbuka sebagaimana yang dilakukan oleh pasangan hari ini. Apabila anda melakukan kejutan ini kepada pasangan, ia akan amat menghargai dan tersentuh. Memuji kehebatan dan kekuatan pasangan jarang diamalkan oleh pasangan generasi the baby boom. Apa salahnya anda ambil langkah proaktif puji dan hargai pasangan hadapan anak-anak dan rakan-rakan. Cuba tengok apa reaksi pasangan anda ketika itu.

7- Mengubah dan menyusun atur ruang rumah termasuk bilik tidur serta perabot rumah. Suasana fizikal yang berbeza biasanya akan menimbulkan perasaan dan emosi yang berbeza kepada penghuninya. Mengubahsuai bilik tidur utama seumpama bilik pengantin atau hotel lima bintang mampu membentuk persegaran baru dan mood positif dalam jiwa anda dan pasangan.

Mungkin sebahagian kita tidak melihat kepentingan persegaran semula rumahtangga dengan alasan rumahtangga anda sentiasa segar dan harmoni. Walau bagaimanapun, bagi sebahagian yang sentiasa sibuk dengan urusan rumahtangga dan anak-anak, persegaran semula menjadi keutamaan dan kemestian bagi memastikan kelansungan hayat sebuah rumahtangga. Satu ungkapan seorang suami kepada isterinya; “… bukan masalah anak yang awak kena risau… yang awak patut risau sekarang ialah masalah kita…”.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen