Hak Isteri Dalam Perkahwinan: Hak Terhadap Harta Sepencarian.

HAK TERHADAP HARTA SEPENCARIAN.

Harta sepencarian menurut bahasa ialah harta benda yang diperolehi daripada usaha suami isteri. (Kamus Dewan. 2002. 443). Aset yang diperoleh oleh suami isteri dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama mereka, adalah sinonim dengan “harta sepencarian” dan tidak melibatkan aset isteri yang diperolehi dari usaha tunggalnya sendiri atau harta pusaka yang diwarisinya.



“Harta sepencarian” telah ditafsirkan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) sebagai “harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’. (Akta undang- undang keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.)

Pembahagian harta sepencarian sebenarnya mempunyai hubungkait dengan adat yang seringkali dihubungkan dengan kelaziman masyarakat Melayu. Amalan ini berlaku kerana menghormati usaha pemilikan harta yang diperoleh secara bersama dalam tempoh perkahwinan. Walaupun pada kebiasaannya tidak timbul soalan mengenai pembahagian harta jika perkahwinan mereka tidak bermasalah, namun dalam keadaan tertentu, misalnya apabila berlaku perceraian atau suami ingin atau telah berpoligami, akan timbul desakan daripada pihak isteri untuk menuntut haknya kerana dia telah memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memperolehi harta itu. Islam mengiktiraf bahawa adat yang tidak bercanggah dengan hukum Syara’, baik secara khusus atau umum, adalah menjadi salah satu sumber hukum Syara’. Sesuatu adat itu boleh diterima apabila sudah menjadi kelaziman. Kaedah fiqh yang menjadi sandaran dalam hal ini ialah “al-Aa’dah Muhakkamah” yang ertinya sesuatu adat adalah menjadi hukum.



Walaupun harta sepencarian tidak secara khusus dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh, namun, ia boleh diterima sebagai suatu adat bagi pasangan Melayu Islam yang bersama-sama berusaha untuk memperoleh harta, baik dalam rumah atau di luar rumah. Harta yang diperoleh dari usaha bersama itu akan menjadi harta bersama. Adat ini telah diterimapakai, diamalkan dan dijadikan asas kepada prinsip harta sepencarian yang dimasukkan ke dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang diamalkan di negara kita sekarang ini. Undang-undang Keluarga Islam memberikuasa kepada Mahkamah untuk membahagikan harta sepencarian ini antara suami dan isteri apabila tuntutan dibuat di Mahkamah. Sumbangan secara tidak langsung oleh isteri seperti sumbangan ke arah kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga diambilkira sebagai sumbangan untuk memperolehi harta sepencarian. Penyertaan isteri dalam kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya. Oleh itu apa-apa aset/harta sama ada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi semasa perkahwinan adalah menjadi harta sepencarian. Sumbangan tidak langsung ini telah diiktiraf oleh hukum Syara’. Dalam ayat 228 surah al-Baqarah, Allah berfirman:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ

yang bermaksud: ”… Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum Syara’)…..”.

Dari kenyataan di atas jelas bahawa dalam suatu tuntutan harta sepencarian, sumbangan satu pihak hanya timbul jika suami sahaja yang berkerja mendapatkan harta tersebut manakala pihak isteri berada di rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dalam keadaan ini isteri dianggap sebagai memberi sumbangan secara tidak langsung dan sumbangan itu diakui oleh Syara’. Jika isteri bekerja dan memperoleh harta sedangkan suami tidak bekerja tetapi mendakwa bahawa beliau telah memberi sumbangan secara tidak langsung dengan menjaga keluarga seperti menghantar isteri ke tempat kerja dan menjaga anak-anak di rumah, maka tuntutan suami untuk mendapatkan bahagiannya daripada harta tersebut tidak diiktiraf oleh hukum Syara’. Ini adalah kerana tanggungjawab sebenar mencari rezeki dan mencari harta untuk kebahagian rumahtangga adalah terletak pada suami.

Anda masih keseorangan?

1,050,000 orang sudah mendaftar di Baituljannah.com, sebuah platform cari jodoh muslim dan hampir 10,000 pasangan sudah melangsungkan perkahwinan.


Saya merupakan seorang
- pilih -

Mencari calon pasangan
- pilih - berumur

25 - 40 tahun

Artikel Lain

Tinggalkan Komen